UMUM

14-JAN-2021

Rantaian Industri Oil and Gas (Bahagian 2)


 


Artikel ini adalah kesinambungan dari bahagian 1 yang membincangkan tentang minyak mentah dan gas asli secara ringkas dan proses Upstream. Kali ini, kita akan membincangkan lebih lanjut tentang Midstream dan Downstream.

Midstream

Penyaluran minyak mentah dan gas asli kepada pengguna

Pada peringkat kedua ini, minyak mentah (petroleum) dan gas asli yang telah dikorek akan disimpan terlebih dahulu di “storage tank facilities” sebelum disalurkan kepada pengguna seterusnya. Minyak mentah akan disalurkan menggunakan paip, manakala gas asli akan disalurkan di dalam bentuk gas yang telah dicecairkan (Liquified Natural Gas - LNG).

Gas asli haruslah dicecairkan terlebih dahulu sebelum penghantaran pada suhu yang rendah (-162.22 C). Penyaluran dalam bentuk gas ini adalah amat rumit kerana sifat gas yang tidak berbau dan tidak berwarna. Antara syarikat yang menyediakan operasi penghantaran dan penyaluran (midstream storage and transport) minyak mentah dah gas asli di Malaysia ialah Petronas Gas, MISC, Gas Malaysia dan lain-lain.

gas transportation petronas
Gambar: Petronas Gas

Downstream

Penapisan dan pengedaran minyak mentah dan gas asli kepada pengguna akhir

Pada peringkat ketiga ini, minyak mentah dan gas asli yang diperoleh dari penyaluran “midstream” tidak boleh terus digunakan kerana terdapat beberapa campuran pelbagai jenis petrokimia. Campuran di dalam minyak mentah ini diasingkan melalui formula & struktur dan ianya mempunyai sifat kimia, fizikal & termofizikal yang tersendiri.

Penapisan petroleum

Setiap petrokimia ini perlu dipisahkan dan ditapis (refined) terlebih dahulu melalui pelbagai proses supaya ianya boleh digunakan dalam aplikasi yang spesifik. Proses penukaran minyak mentah ini dilakukan di loji penapisan. Gambar rajah di bawah menunjukkan operasi terpenting di dalam pemprosesan minyak mentah kepada pelbagai produk yang berlainan. 

crude oil products
Gambar: Petropedia

Sebagai contoh, nafta yang merupakan produk penyulingan petrokimia biasanya digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk yang berasaskan bahan kimia. Sebagai contoh, industri pembuatan plastik, elektronik, kosmetik dan lain-lain. Antara pengguna produk nafta ini adalah Petronas Chemical dan LC Titan.

Selain itu, bitumen yang merupakan produk penyulingan kimia yang terberat dijadikan komponen utama untuk jalan raya. Takat leburnya sekitar 350 C adalah cukup tinggi untuk kegunaan dan ketahanan di jalan raya di bawah terik matahari (suhu sekitar 30-45 C).

Maksud takat lebur di sini adalah penukaran sifat fizikal dari pepejal ke cecair. Maka, petrokimia bitumen ini mempunyai takat lebur yang amat sesuai untuk kegunaan jalan raya oleh kerana sifatnya yang kuat melekat & tidak mudah cair di bawah julat suhu terik matahari.

Industri penapisan produk petroleum dan gas asli boleh disifatkan sebagai “downstream operation”. Di Malaysia, antara syarikat terbesar untuk industri penapisan minyak mentah adalah Hengyuan. Selain itu, syarikat yang mempunyai bisnes dalam operasi stesen minyak dan pengedar LPG (gas memasak) seperti PetronM turut diklasifikasikan sebagai syarikat downstream. Syarikat-syarikat lain boleh didapati dalam sektor downstream Oil and Gas.

Impak harga minyak mentah kepada bisnes upstream, midstream dan downstream

Keuntungan syarikat-syarikat oil and gas bergantung kepada harga minyak dunia. Syarikat bisnes upstream akan mempunyai kelebihan positif sekiranya harga minyak naik kerana perkhidmatannya adalah bergantung secara langsung dengan harga minyak mentah.

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan brownfield operation (telaga minyak yang telah diteroka) dari sub-industri pembaikan pulih mempunyai impak yang paling ketara. Ini adalah kerana, kebanyakan telaga minyak di Malaysia telah pun diteroka dan memerlukan servis penjagaan dan pembaikan pulih.

sapura berani
Gambar hiasan: Sapura

Sekiranya harga minyak mentah turun, syarikat yang mempunyai kelebihan positif adalah dari bisnes downstream. Ini kerana margin keuntungan untuk produk yang dijual berdasarkan “crack spread” akan lebih tinggi. Crack spread bermaksud perbezaan harga penukaran bahan mentah ke produk akhir.

Tetapi, harus diingatkan juga, sekiranya permintaan produk petrokimia berkurangan, penurunan harga minyak untuk bisnes downstream tidak akan memberikan impak yang signifikan, malah akan memberikan impak negatif kepada keuntungan syarikat.

Akhir sekali, syarikat yang menjalankan servis midstream mempunyai impak yang agak sederhana kepada pergerakan harga minyak oleh kerana penjualan dan keuntungannya tidak bergantung secara langsung dengan harga minyak mentah.


< kembali ke laman blog utama