FUNDAMENTAL

24-MAR-2022

Syarikat Berkaitan Kayu yang Disenaraikan di Bursa Malaysia


 


Malaysia merupakan salah satu pemain penting dalam pasaran antarabangsa untuk produk kayu dan juga pengeksport perabot kayu terkemuka di dunia. Sektor berasaskan kayu di Malaysia telah menjadi salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara sepanjang dua dekad lalu.

Kenaikan harga komoditi baru-baru ini telah memberi manfaat kepada banyak pihak, termasuklah sektor kayu. Menurut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), eksport kayu dan produk kayu diramalkan meningkat dengan jumlah RM 24 bilion berbanding RM 22.74 bilion pada 2021.

Tahukah anda, terdapat beberapa syarikat berkaitan kayu dan produk kayu disenaraikan di Bursa Malaysia? Penilaian ini disusun berdasarkan jumlah permodalanan pasaran syarikat.

Mieco Chipboard Berhad

Mieco Chipboard Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembuatan, penjualan dan pemasaran papan serpai dan produk lain yang berkaitan di Malaysia, Hong Kong dan China. Syarikat ini telah diperbadankan pada tahun 1972 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1998.

Mieco Chipboard Berhad menawarkan produk papan gentian kenaf dan papan partikel serta produk lain. Ia juga terlibat dengan penanaman semula hutan, penuaian, pengekstrakan, pembekalan dan pemerolehan kayu getah serta perdagangan dan pelaburan hartanah. Pada laporan kewangan terkini, Mieco Chipboard Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM 134.81 juta serta keuntungan sebanyak RM 28.11 juta.

Prestasi kewangan Mieco
Gambar: Laporan Kewangan MIECO

Evergreen Fibreboard Berhad

Evergreen Fibreboard Berhad, bersama-sama anak syarikatnya terlibat dalam pembuatan dan penjualan papan gentian beketumpatan sederhana, papan partikel dan perabot kayu di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Syarikat ini telah diperbadankan pada tahun 1992, memulakan operasinya pada Julai 1993 dan telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada tahun 2004.

Produk syarikat, khususnya papan gentian, digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti perabot, kotak pembesar suara dan pintu. Manakala papan partikel syarikat digunakan dalam pembinaan perabot rumah dan pejabat, rak dan kabinet dapur dan sebagainya. Pada laporan kewangan terkini, Evergreen Fibreboard Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM 287.27 juta dan keuntungan sebanyak RM 16.52 juta.

Laporan Kewangan EVERGRN
Gambar: Laporan Kewangan EVERGRN

Subur Tiasa Holdings Berhad

Subur Tiasa Holdings Berhad merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam pengekstrakan dan penjualan kayu balak, serta dalam pembuatan produk kayu bergergaji. Di samping itu, syarikat ini terlibat dalam pembalakan, pemasaran kayu balak dan kayu bergergaji. Syarikat ini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada tahun 1997 dengan berstatus bukan syariah.

Selain daripada kegunaan tempatan, kayu balak dan produk kayu syarikat dieksport ke lebih 20 negara di seluruh dunia. Pasaran eksport utama untuk kayu balak kebanyakkanya ke negara India, manakala Korea Selatan, Yaman, Jepun dan Indonesia ialah destinasi eksport penting untuk barangan kayu syarikat. Pada laporan kewangan terkini, Subur Tiasa Holdings Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM 93.7 juta dan keuntungan sebanyak RM 30.42 juta.

Laporan kewangan SUBUR
Gambar: Laporan Kewangan SUBUR

HeveaBoard Berhad

HeveaBoard Berhad merupakan sebuah syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Januari 2005. Syarikat ini terlibat dengan pengeluaran, perdagangan dan pengedaran pelbagai produk berasaskan papan partikel. Di segmen pembuatan syarikat, HEVEA memproses bahan mentahnya (kayu getah) sehingga menjadi produk akhir iaitu papan partikel. Sebahagian daripada papan partikel ini kemudiannya diproses untuk menghasilkan perabot sedia untuk dipasang (ready-to-assemble).

Bahagian pembuatan HEVEA
Proses Pembuatan syarikat. Gambar: HEVEA

HeveaBoard adalah salah satu peneraju pasaran dalam pengeluaran papan partikel, panel kayu yang dihasilkan daripada sisa kayu getah, manakala anak syarikatnya pula iaitu HeveaPac Sdn. Bhd. terlibat dalam pembuatan perabot ready-to-assemble. Laporan kewangan terkini HeveaBoard, menunjukkan peningkatan dalam pendapatan iaitu RM 115.75 juta dengan keuntungan RM 7.36 juta berbanding laporan suku sebelumnya.

Laporan Kewangan HEVEA
Gambar: Laporan Kewangan HEVEA

WTK Holdings Berhad

WTK ataupun WTK Holdings Berhad adalah sebuah syarikat berasaskan perkayuan dan perladangan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2 Mei 1972. WTK beroperasi dalam 3 perniagaan utama iaitu perkayuan, perladangan dan tape. Di segmen kayu, syarikat ini terlibat dengan operasi upstream iaitu penuaian kayu, penghutanan semula dan operasi downstream khususnya pemprosesan kayu .

Selain daripada penggunaan tempatan, produk kayu syarikat termasuk kayu balak dan papan lapis dieksport ke pelbagai negara, terutamanya Jepun dan India. Berdasarkan laporan kewangan terkini, WTK menunjukkan penurunan dalam pendapatan iaitu RM 99.25 juta. Penurunan ini disebabkan oleh pengeluaran balak yang lebih rendah terhasil daripada keadaan cuaca yang kurang baik dan kelewatan penghantaran eksport papan lapis yang tidak dijangka.

Laporan Kewangan WTK
Gambar: Laporan Kewangan WTK

Selain daripada syarikat-syarikat ini, terdapat juga syarikat lain yang berkaitan dengan perkayuan yang tidak dinyatakan. Antaranya ialah Dominant Enterprise Berhad (DOMINAN), Focus Lumber Berhad (FLBHD), Annum Berhad (ANNUM), dan pelbagai lagi. Senarai penuh syarikat terlibat ini boleh dilihat di sektor kayu iSaham.


< kembali ke laman blog utama