UMUM

19-JUL-2021

Mohon Rights Issue Secara Online dengan eRights Bursa Anywhere


 


Bursa Anywhere adalah sebuah aplikasi keluaran Bursa Malaysia untuk memudahkan pengurusan CDS. Terdapat pelbagai ciri yang telah diperkenalkan sebelum ini, antaranya pemantauan secara umum, pemindahan saham dan pengaktifan semula akaun. Kini, eRights diperkenalkan di aplikasi ini untuk memudahkan lagi proses permohonan rights issue.

Apakah eRights

eRights bukanlah suatu perkhidmatan yang baru. Sejak 2013 lagi, perkhidmatan ini telah pun dilancarkan dan boleh dibuat melalui ATM dan perkhidmatan online melalui website bank yang berkenaan. Namun, perkhidmatan ini kini dibawa lebih dekat kepada pengguna ke peranti paling mudah alih iaitu smartphone kita. Kini, pelabur tidak lagi perlu pergi ke ATM untuk proses ini.

eRights di Bursa Anywhere

Untuk menggunakan eRights ini, anda cuma perlu muat turun aplikasi Bursa Anywhere dan berdaftar sebagai pengguna. Perkhidmatan eRights ini akan terpapar dalam bahagian My Services. Dari perkhidmatan ini, ada dua tindakan yang anda boleh buat. Pertamanya ialah untuk menghantar permohonan, lagi satu pula ialah untuk melihat permohonan yang lalu. Sekiranya akaun CDS anda tidak mempunyai apa-apa perkara yang berkaitan untuk eRights, maka tiada apa maklumat lanjut yang akan dipaparkan.

Perkara yang tertakluk kepada eRights antaranya ialah saham yang mempunyai akhiran -OR atau -PR yang membawa maksud ordinary rights dan preference rights. Ordinary rights adalah hak untuk mendapatkan saham biasa iaitu saham induk syarikat. Preference rights pula adalah hak untuk mendapatkan saham keutamaan yang tidak memberikan anda kuasa mengundi, tapi memberikan anda keutamaan menerima dividen. Saham keutamaan ini mempunyai simbol saham syarikat diikuti dengan akhiran -PA, -PB dan seterusnya.

Selain OR dan PR, syarikat juga boleh menawarkan hak untuk waran dan saham pinjaman iaitu WR dan LR.

mplus preference share list
Saham keutamaan yang mengikut simbol saham induk dan diakhiri dengan -PA, -PB.

Dalam pengumuman syarikat berkaitan rights issue yang dikeluarkan, mereka akan memberitahu sama ada unit hak pegangan itu boleh ditukar kepada saham biasa atau keutamaan. Sekiranya anda ingin menukarkan hak ini kepada saham yang dicadangkan, anda boleh teruskan permohonan dengan pilihan Submit Application. Kami belum pernah cuba ciri eRights melalui aplikasi Bursa Anywhere, maka tiada paparan lanjut yang dapat kami tunjukkan selain perjalanan untuk sampai ke pilihan pelaksanaan rights issue ini.

perjalanan ke rights issue bursa anywhere

Namun, prosedur eRights menggunakan bank menyatakan anda perlu mengisi borang berkaitan dan seterusnya membuat bayaran untuk pelaksanaan rights issue ini. Kami beranggapan prosedur ini adalah sama. Ia tidak memerlukan borang fizikal, pembayaran boleh dibuat secara online dan tiada proses penghantaran fizikal yang terlibat.

Terdapat kemungkinan mesej error keluar akan setelah memasuki menu Submit Application walaupun anda mempunyai saham hak dalam penyata. Kemungkinan ini adalah disebabkan syarikat itu sendiri yang tidak tertakluk kepada perkhidmatan eRights. Sekiranya anda mempunyai permasalahan seperti ini, boleh hubungi Bursa Anywhere melalui emel di bursaanywhere@bursamalaysia.com.

Perbincangan untuk pelaksanaan rights issue

Rights issue merupakan satu saluran untuk syarikat meminta dana dari pelabur. Tindakan syarikat untuk menggunakan saluran ini menunjukkan bahawa syarikat tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk meneruskan perniagaan. Oleh itu, pelabur diharap dapat pertimbangkan sebaiknya sebelum keputusan permohonan untuk rights issue ini dibuat. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang butiran rights issue dari segi kegunaan dana, anda boleh baca pengumuman syarikat di Bursa Malaysia.

Sekiranya anda merasakan syarikat berada di landasan yang betul untuk memperbaiki keadaan mereka, maka silakan tukar rights issue ini menjadi saham pegangan. Jika tidak, anda digalakkan untuk jual pegangan -OR atau -PR ini secepat mungkin.


< kembali ke laman blog utama