UMUM

16-JUL-2021

Saham Pinjaman dan Saham Keutamaan


 


Kadang-kadang kita ternampak saham yang mempunyai -PA, -PB, -LA, -LB di belakangnya. Namun pernahkah anda mengambil tahu apakah maksud saham tersebut?

Jika anda sering mengambil tahu tentang pasaran saham, pasti anda pernah membaca atau tahu akan kewujudan saham pinjaman (loan stock) dan saham keutamaan (preference shares). Artikel ini akan menjelaskan tentang maksud, ciri-ciri serta perbezaan di antara keduanya.

Saham pinjaman

Saham pinjaman ialah sejenis sekuriti yang dikeluarkan untuk membuat pinjaman pelaburan. Ianya boleh menjadi bercagar, tidak bercagar, boleh ditukar dan tidak boleh ditukar.

Kebiasaanya, saham pinjaman ialah pinjaman yang tidak bercagar. Irredeemable Convertible Unsecured Loan Stock (ICULS) adalah sejenis saham pinjaman yang akan diterangkan dibawah.

ICULS
Irredeemable Convertible Unsecured Loan Stock

Irredeemable Convertible Unsecured Loan Stock

Irredeemable Convertible Unsecured Loan Stock atau di dalam Bahasa Malaysia, saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh ditebus ialah sekuriti hibrid yang mempunyai gabungan bon dan ekuiti.

ICULS dikeluarkan oleh kerajaan atau syarikat untuk membiayai kos perniagaan sedia ada atau yang baharu. Kebiasaannya, syarikat yang mempunyai kewangan tidak kukuh akan mengeluarkan ICULS untuk mendapatkan modal daripada pelabur sedia ada.

ICULS merangkumi ciri-ciri seperti di bawah:

Ciri-ciri ICULS

Ciri-ciri Penerangan
Tidak boleh ditebus (irredeemable) Saham ini tidak boleh ditebus menjadi wang ringgit
Boleh ditukar (convertible) Saham ini boleh ditukar kepada saham induk pada bila-bila masa sebelum tempoh matang
Tidak bercagar (unsecured) Tiada cagaran diletakkan sebagai sokongan pinjaman. Justeru, jika berlaku sesuatu terhadap syarikat tersebut, tiada jaminan bahawa duit anda akan dikembalikan daripada saham pinjaman

Seperti yang telah diberitahu di atas, ICULS adalah sekuriti hibrid di mana terdapat gabungan antara bon dan ekuiti. Justeru itu, ICULS mempunyai aliran pembayaran stabil sama seperti bon iaitu dengan pemberian dividen atau faedah kupon yang telah ditentukan dan dibayar secara berkala atau sekurang-kurangnya sekali pada setiap tahun.

ICULS juga mempunyai ciri-ciri yang sama dengan waran seperti mempunyai premium dan tempoh matang. Perbezaannya, penukaran ICULS kepada saham induk adalah wajib. Jika pelabur tidak berbuat demikian, penukaran paksa wajib akan berlaku secara automatik. Kaedah penukaran ICULS terbahagi kepada 2 iaitu:

Saham keutamaan

Saham keutamaan ialah pemilikan dalam syarikat yang mempunyai tuntutan aset yang tinggi berbanding saham biasa. Perbezaannya dengan saham induk ialah pemegang saham keutamaan tiada hak mengundi di dalam syarikat.

Saham keutamaan ini adalah istimewa dari segi pembayaran dividen dan tuntutan aset, di mana pemegangnya akan diutamakan terlebih dahulu berbanding pemegang saham induk.

Jenis-jenis saham keutamaan
Jenis-jenis saham keutamaan

Saham keutamaan ditentukan mengikut empat aspek seperti berikut:

1. Cumulative

Saham keutamaan kumulatif (cumulative) boleh menuntut dividen tertunggak pada tahun sebelumnya manakala saham keutamaan bukan kumulatif (non-cumulative) tidak boleh menuntutnya.

2. Participating

Saham keutamaan penyertaan (participating) memberi hak kepada pemiliknya untuk memiliki dividen tambahan dari baki keuntungan setelah pembayaran dividen kepada pemegang saham induk telah dibuat. Manakala saham keutamaan bukan penyertaan (non-participating) tidak mempunyai hak tersebut.

3. Convertible

Saham keutamaan boleh tukar (convertible) boleh ditukarkan kepada saham induk manakala saham keutamaan tidak boleh ditukar (non-convertible) tidak boleh ditukar kepada saham induk.

4. Redeemable

Saham keutamaan boleh ditebus (redeemable) mempunyai kelebihan di mana syarikat akan membayar semula apabila telah mencapai tempoh masa yang ditetapkan pada hari penerbitan. Untuk saham keutamaan yang tidak boleh ditebus (non-redeemable), tiada pembayaran yang akan dibuat melainkan berlakunya pembubaran syarikat.

Antara saham keutamaan yang biasa didengari di pasaran Bursa Malaysia ialah Redeemable Convertible Preference Shares (RCPS) dan Irredeemable Convertible Preference Shares (ICPS).

Perbandingan di antara saham induk, ICULS dan ICPS

*syarikat ABC digunakan sebagai contoh untuk perbandingan di bawah

Perbezaan di antara saham biasa, ICULS dan ICPS

  Saham induk ICULS ICPS
Kod saham ABC ABC-LA, -LB, -LC ABC-PA, -PB, PC
Hak mengundi Ada Tiada Tiada (melainkan jika berlaku pembubaran syarikat)
Dividen/ faedah kupon Ada. Tidak tetap Ada Ada. Tetap dan diutamakan
Liquidation Ada selepas membayar kepada kreditor, pemegang bon dan saham keutamaan Tiada jaminan Diberi keutamaan
Tempoh matang Tiada Ada Ada
Penukaran ke saham induk - Ada (wajib) Ada (tidak wajib)

Cara untuk memiliki ICULS atau ICPS

Cara untuk memiliki ICULS dan ICPS adalah sama. Kebiasaannya syarikat akan membuat pengumuman (boleh dilihat di Company Announcement - Bursa Malaysia), kemudian pemegang saham syarikat tersebut akan dihubungi melalui surat atau emel. Pelabur juga boleh menghubungi terus kepada share registrar syarikat tersebut. Pelabur boleh memilih untuk subscribe atau tidak kepada saham yang ditawarkan. Jumlah unit yang ditawarkan adalah berdasarkan jumlah unit pemilikan saham syarikat.

Contoh pengumuman ICULS di laman sesawang Bursa Malaysia
Contoh pengumuman ICULS di laman sesawang Bursa Malaysia

Berbaloikah untuk mendapatkannya?

Jika ICULS syarikat tersebut mempunyai premium yang rendah dan saham induk berpotensi untuk bergerak naik, pembelian ICULS adalah dianggap berbaloi. Namun, perlu diingatkan bahawa ICULS adalah berisiko tinggi kerana ianya tidak bercagar.

Bagi ICPS, risiko pemilikan adalah lebih rendah dan pelabur juga akan menjadi keutamaan dari segi pembahagian dividen dan juga tuntutan aset jika berlaku pembubaran syarikat.

Bagaimanapun, soal berbaloi atau tidak terletak kepada tahap risiko yang anda sedia hadapi.

Kesimpulan

Saham pinjaman dan saham keutamaan ini mungkin lebih kompleks berbanding saham induk atau waran, terutama sekali kepada pelabur baru. Justeru itu, sebelum membuat apa-apa pelaburan, pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu. Pengiraan risiko kerugian juga perlu dibuat supaya risiko kerugian berada pada tahap paling minima.


< kembali ke laman blog utama