UMUM

09-AUG-2021

Pengangkutan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Terpantas di Dunia


 


Pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi ini dapat dilihat terutamanya di kawasan negara yang mempunyai geografi jarak perjalanan yang jauh antara satu tempat ke tempat yang lain. Misalnya di negara China, Jepun, Eropah, Korea Selatan dan lain-lain. Penggunaan kereta api berkelajuan tinggi telah memberi kelebihan kepada penumpang untuk menjimatkan masa dan kos serta mempunyai pilihan yang lain berbanding penggunaan kapal terbang sebagai medium pengangkutan.

Secara umumnya, kereta api berkelajuan tinggi bermaksud sesebuah kereta api yang mampu mencapai kelajuan melebihi 250 km/h. Dalam post kali ni, kita akan melihat antara kereta api berkelajuan tinggi di beberapa buah negara di dunia.

Laluan kereta api di China
Negara China mempunyai jumlah landasan kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 35 ribu kilometer. Gambar: china discovery

E5 Series Shinkasen

E5 Series Shinkasen merupakan generasi terbaharu bagi kereta api berkelajuan tinggi yang mula beroperasi pada bulan Mac 2011. Kereta api yang juga dikenali sebagai "Hayabusa" dikendalikan oleh Syarikat Kereta Api Timur Jepun (JR East). Penggunaan model siri Shinkasen generasi terdahulu mula digunakan semenjak tahun 1964. Sepanjang penggunaannya, ia jarang berlaku kemalangan dan dianggap sebagai simbol keselamatan.

Shinkasen E5 mempunyai 10 gerabak dan kapasiti seramai 731 penumpang. Ia menyediakan perkhidmatan bermula di Stesen Tokyo ke Stesen Shin-Aomory. Ia mengambil masa sebanyak 3 jam 20 minit yang melibatkan perjalanan sejauh 578 kilometer. Sekiranya seseorang menggunakan pengangkutan bas, ia akan mengambil masa sekitar 11 jam untuk tiba di Sin Aomory dari Tokyo.

Selain itu, Jepun juga mempunyai sebuah lagi kereta api berkelajuan tinggi yang dikenali sebagai L0 Series Maglev. Series Maglev ini masih berada dalam fasa percubaan dan pembangunan yang dikendalikan oleh Central Japan Railway Company (JR Central). Ia berupaya mencapai kelajuan 603 km/h dan kelajuan operasi 500 km/h. Ia dijangka memulakan operasi pada tahun 2027 yang akan menjadikan perjalanan dari Stesen Shingawa Tokyo ke Osaka (483 kilometer) dalam tempoh masa sekitar 1 jam 10 minit.

L0 Series Maglev
L0 Series Maglev ketika dalam fasa percubaan. Gambar: wikipedia

Shanghai Maglev

Shanghai Maglev merupakan kereta api berkelajuan tinggi yang menggunakan teknologi maglev (magnetik) yang bergerak tanpa menggunakan roda. Maglev adalah satu teknologi magnet yang menggunakan elektromagnet yang berlaku disebabkan medan magnet di landasan. Kuasa medan magnet yang tinggi menyebabkan kereta api tidak menyentuh trek landasan.

Ia boleh mencapai kelajuan dari 0 km/h sehingga 350km/h dalam masa 2 minit. Kereta api ini telah dibina oleh Thyssen Krupp dan Siemens. Shanghai Maglev hanya memerlukan masa 7 minit untuk melengkapkan jadual perjalanan sekitar 30 kilometer sepanjang laluan kereta api di Stesen Long Yang sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong.

Selain itu, China juga mempunyai beberapa buah kereta api berkelajuan tinggi yang dalam fasa percubaan dan beroperasi seperti:

Shanghai Maglev
Gambar: westchinatour.com

Talgo 350

Talgo 350 atau dikenali sebagai RENFE AVE Class 102 mula menjalankan operasi pada Februari 2005 di Sepanyol. Ia telah dibina oleh sebuah syarikat Sepanyol iaitu Patentes Algo dan Bombardier Transportation. Ia juga dikenali sebagai Pato yang disebabkan muncung hadapan kereta api ini seakan-akan paruh itik. Dalam bahasa Sepanyol Pato bermaksud itik.

Ia menjalankan operasi bermulanya di Stesen Barcelona sehingga lah di Stesen Madrid (506 kilometer) yang mengambil masa selama 2 jam 30 minit perjalanan. Talgo 350 telah dirancang pembangunan prototaip semenjak dari tahun 1995 dan bermulanya percubaan ujian prototaip pada tahun 2002.

Talgo 350
Gambar: railway-technology.com

Frecciarossa 1000

Frecciarossa 1000 juga dikenali sebagai V300ZEFIRO atau ETR 1000 merupakan model terkini dalam kategori kereta api berkelajuan tinggi bagi model Bombardier Zefiro. Model ini berupaya mencapai kelajuan 400 km/h yang merupakan antara kereta api terpantas di benua Eropah. Ia mula digunakan pada 25 April 2015 dengan memulakan perjalanan dari Milan ke Rom.

Kereta api ini direka khas dengan teknologi penjimatan tenaga dan mempunyai ciri kelestarian. Ia diperbuat daripada 95 peratus bahan yang boleh diperbaharui dan 85 peratus bahan daripada yang boleh dikitar semula. Frecciarossa 1000 menawarkan kapasiti 485 penumpang berdasarkan empat kelas tersedia iaitu eksekutif, perniagaan, premium dan standard.

Frecciarossa 1000
Gambar: railway-technology.com

Perbandingan di Malaysia

Pada zaman terdahulu, kereta api di Malaysia digunakan sebagai pengangkutan untuk mengangkut hasil bahan mentah. Ia bermula pada 1 Jun 1885 apabila kereta api pertama dibina yang menyambungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang). Tujuan utama jalan kereta api ini dibina untuk menghubungkan antara kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat Port Weld. Kesannya, ia menjadikan stesen kereta api Taiping sebagai stesen kereta api pertama di bina di Malaysia.

Selain itu, disebabkan berlakunya peredaran zaman dan peningkatan teknologi kegunaan kereta api bukan sahaja melibatkan pengangkutan bahan mentah. Ia juga digunakan sebagai medium pengangkutan awam untuk menghubungkan pengguna dari satu kawasan ke kawasan lain.

Walaupun Malaysia tiada kereta api berkelajuan tinggi tetapi Malaysia mempunyai beberapa kemudahan kereta api atau tren yang dikenali sebagai LRT, KTM, MRT, Monorel, ETS, Express Rail Link (ERL), Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) dan ECRL (fasa pembinaan). Kini, ERL merupakan kereta api terpantas di Malaysia dengan mencapai kelajuan operasi maksimum sehingga 160 km/h.

ERL mampu mencapai kelajuan operasi maksimum sehingga 160 km/h. Gambar: klia2.info

Kesan Terhadap Sektor Sekeliling

Kerancakan dan peningkatan jumlah penduduk terutamanya di kawasan urban iaitu bandar telah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas terutamanya ketika waktu puncak. Peningkatan ini menyebabkan pihak kerajaan melaksanakan inisiatif dengan melaksanakan pembinaan LRT dan MRT untuk mengatasi kesesakan dan memudahkan pergerakan. Antara projek yang berada dalam fasa pembinaan di kawasan bandar seperti LRT3 dan MRT2.

Kesannya, ia telah membuka ruang kepada syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan dan infrastruktur kejuruteraan awam. Mereka bukan sahaja terlibat dalam pembinaan perumahan, malah melibatkan diri dalam pembinaan fasa kemudahan stesen kereta api di Malaysia. Antara syarikat yang terlibat seperti GKENT, MRCB, WCT, Sunway Construction, Gamuda, Eita (kemudahan lift), dan lain-lain.

Syarikat Gamuda terlibat dalam pembinaan MRT Putrajaya Line. Gambar: Gamuda

< kembali ke laman blog utama