IPO

04-JUN-2021

Pekat Mengumpul Dana IPO untuk Kembang Segmen Solar dan ELP


 


pekat group ipo thumbnail

Satu lagi syarikat pemasangan sistem solar akan memasuki pasaran Bursa Malaysia melalui IPO, iaitu Pekat Group Berhad. Permohonan IPO Pekat ini dah dibuka dan butirannya adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.32
Status syariah:
Penilaian tidak dibuat
Pasaran:
ACE Market
Market Capitalisation:
RM 206.4 juta
Nisbah PE:
15.2 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
10 Jun 2021
Cabutan saham:
14 Jun 2021
Tarikh penyenaraian:
23 Jun 2021

Dalam prospektus, penilaian syariah tidak dibuat, namun Elzar Shariah telah memberi penilaian patuh syariah pada IPO ini.

Bisnes Pekat

Pekat menjalankan aktiviti perniagaannya dalam 3 kategori utama, iaitu pemasangan sistem solar PV, pembumian dan perlindungan kilat (ELP) dan jual beli barangan elektrik. Jika melihat pada pecahan pendapatan, 57.4% datangnya dari segmen solar dengan nilai RM 72.1 juta, 21% dari ELP dan 21.6% dari jual beli. Pasaran Pekat ditumpukan sepenuhnya pada pasaran Malaysia.

Bila membincangkan tentang industri solar, satu perkara yang kita biasa jumpa ialah program-program seperti FiT, NEM, SELCO dan MySuria. Banyak program yang ditawarkan oleh kerajaan bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui ini. Ini adalah antara pemangkin yang ada dalam pasaran industri solar sejak sekian lama. Kebanyakan penglibatan Pekat dalam segmen ini adalah sebagai kontraktor utama.

pekat foortop installation
Gambar: Pekat

Untuk segmen ELP, kedudukan Pekat adalah lebih kepada subkontraktor sebagai salah satu bidang kerja M&E. Kebanyakan projek ELP diaplikasikan pada bangunan, namun binaan jenis infrastruktur mendapat lebih banyak permintaan pada tahun 2020. Dalam skop kerja ELP, peralatan ELP dipasang pada bangunan untuk menangkap kilat di bahagian bumbung bangunan untuk dibumikan ke tanah.

Dalam segmen dagangan barangan elektrik pula, produk mereka terdiri daripada barangan ELP, Solar PV, alat perlindungan kilat dan sistem lampu amaran kapal terbang. Mereka juga menjual barangan jenama sendiri yang terdiri daripada 28.8% dari jualan dalam segmen ini, dan selebihnya 71.2% adalah jenama pihak ketiga.

Satu perkara yang kita boleh perhatikan juga adalah kedudukan Hextar sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat. Ini adalah sebahagian daripada pemelbagaian segmen industri oleh Hextar yang juga memiliki bahagian terbesar syarikat sarung tangan Rubberex.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Apabila PKP berjalan, beberapa projek terpaksa ditangguhkan, antaranya adalah projek pemasangan solar dan ELP yang masing-masing bernilai RM 9.8 juta dan RM 2.2 juta. Ini menyebabkan pendapatan berjumlah RM 5.7 juta yang sepatutnya diterima pada suku terakhir 2020 dibawa ke suku kedua 2021. Selain itu, tiada kesan kewangan lain yang memberi impak pada tahun 2020.

Prestasi kewangan

Pekat menunjukkan pendapatan yang menaik bagi tahun 2018. Dari tahun 2018 sehingga 2020, prestasi kewangan syarikat berada pada paras yang sama, antara RM 119.5 juta hingga RM 125.6 juta untuk 3 tahun tersebut. Margin keuntungan adalah lebih baik pada tahun 2019 sebanyak 12.4% berbanding 2020 sebanyak 10.8%.

prestasi kewangan pekat group

Secara keseluruhannya, nilai pendapatan dalam segmen pemasangan solar mengalami kenaikan sepanjang tahun laporan kewangan ini. ELP pada 2 tahun pertama agak mendatar sekitar RM 33 juta hingga RM 34 juta kemudian menurun pada RM 30 juta pada 2019 dan RM 26 juta pada 2020. Segmen jual beli mencatatkan kenaikan secara keseluruhan, namun lebih rendah berbanding rekod tertinggi 2018.

pekat product segmental revenue

Strategi IPO dan masa depan

Pekat akan mengumpul dana sebanyak RM 44.4 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Fasiliti operasi dan ibu pejabat baru 18.00 40.6
Modal kerja 12.67 28.6
Bayaran hutang bank 10.00 22.5
Perbelanjaan penyenaraian 3.70 8.3
Jumlah 44.37 100.0

Bilangan pekerja Pekat di pejabat Cubic Space meningkat hampir 100% dari 61 orang pada 2017 kepada 119 orang terkini. Pada Julai 2020, Pekat telah memperoleh tanah di Elmina Land berkeluasan 138,000 kaki persegi. Tanah ini akan dijadikan sebagai ibu pejabat yang turut memuatkan ruang pameran, stesyen pemantauan berpusat, pusat latihan, bengkel dan gudang.

Modal kerja terdiri daripada pembelian bahan projek seperti modul solar PV, inverter, barangan ELP dan kelengkapan lain. Selain itu, ada projek yang dibida memerlukan Pekat untuk memperuntukkan sebahagian tunai sebagai bon tender atau bon prestasi. Sebahagian daripada dana modal kerja juga akan digunakan untuk kos pemasaran dan juga kos overhead.

Analisis bisnes dan industri Pekat

Tiga aktiviti utama Pekat Group adalah pemasangan solar PV, pembumian dan perlindungan kilat, dan jual beli barangan elektrik. Kita akan lihat satu per satu aktiviti perniagaan ini, bermula dengan segmen solar.

Industri Solar PV

Kami telah pun membuat liputan beberapa IPO berkaitan solar seperti Solarvest dan Samaiden. Kebanyakan isinya bercakap tentang perkara yang sama. Ianya industri yang sememangnya sedang mendapat pergerakan global dengan kos pelaburan untuk sistem solar yang semakin murah, diikuti dengan pelbagai inisiatif kerajaan.

Industri solar boleh dibahagikan kepada 4 fasa, iaitu perangkaan dan rekaan, EPCC, O&M dan juga penutupan atau pembaharuan. Pekat terlibat dalam dua proses terawal iaitu perangkaan dan rekabentuk, dan EPCC. Satu perkara yang kita boleh perhatikan dalam prospektus ialah tidak disebutkan perancangan Pekat untuk meluaskan aktiviti ke luar negara seperti Vietnam sebagaimana IPO berkaitan solar sebelum ini. Oleh itu, kita hanya memerhatikan potensi industri ini di Malaysia.

Jika melihat pada jenis pemasangan solar, jenis On-Grid Centralised atau juga boleh dikenali sebagai Large Scale Solar (LSS) mempunyai CAGR terbesar iaitu 183.7% untuk 2017 hingga 2019. Ia juga merupakan jenis pemasangan yang paling banyak setakat ini dengan 715.59 MW pada 2019. Selain itu, jenis On-Grid dan Off-grid pula mempunyai CAGR yang mempunyai perkembangan yang sihat dengan sekurang-kurangnya 27% pertumbuhan.

Industri ELP

Sistem ELP dipasang pada bangunan dan infrastruktur bagi mengelakkan sambaran kilat kepada bangunan yang boleh menyebabkan kerosakan bangunan, litar pintas dan juga kemalangan jiwa. Ia berfungsi dengan mengalihkan aliran elektrik melalui sebuah saluran dengan selamat ke tanah. Walaupun disebut sebagai pendahulu pasaran, penglibatan Pekat dalam industri ini adalah sebagai subkontraktor di bawah skop kerja M&E. Oleh itu, mereka bergantung kepada prestasi industri pembinaan untuk dapatkan projek.

Setakat prestasi terkini, nilai pembinaan dalam bidang M&E adalah seperti di bawah:

pekat m&e works

Skop kerja M&E dalam pembinaan masih meningkat setiap tahun, namun dengan pertumbuhan yang semakin perlahan dari tahun ke tahun. Menurut kajian Vital Factor, dengan bersumberkan BNM, industri pembinaan dijangka melantun semula disokong oleh projek janakuasa solar, program JENDELA, projek berskala kecil di bawah Belanjawan 2021, pakej stimulus Pemerkasa bernilai RM 20 bilion, dan juga kerja penyempurnaan projek besar.

Industri jual beli produk elektrik

Sebelum ini, kita boleh lihat pemain industri lain dalam segmen ini seperti ACO Group yang mempunyai kepelbagaian produk yang lebih luas. Pekat lebih menumpukan jual beli produk pengedaran, perlindungan dan peranti kawalan elektrik.

Untuk mengukur permintaan, Vital Factor membawa data penggunaan alatan ini yang menunjukkan CAGR -10.4% dari 2018 hingga 2020.

Persaingan

Pekat merupakan pendahulu dalam segmen ELP dengan pendapatan RM 26.4 dalam segmen ini. Namun mereka adalah antara pemain yang lebih kecil dalam industri produk elektrik. Untuk segmen solar, mereka menempatkan diri di kedudukan yang agak baik, sedikit ke belakang dari Samaiden yang tersenarai sebelum ini.

Syarikat Market Cap (RM Juta) NP Margin Nisbah PE
Solarvest 253.4 6.3 52.6
Samaiden 76.2 9.5 N/A
Pekat 72.1 9.1 15.2

Perbincangan

Beberapa aspek yang kurang memberangsangkan adalah kita belum lagi melihat apa-apa minat syarikat untuk mengembangkan aktiviti solar di luar negara buat masa ini. Oleh itu, prospek syarikat buat masa ini adalah pada pasaran Malaysia sahaja. Selain itu, segmen lain yang diceburi seperti ELP mempunyai potensi yang terhad, dan mereka merupakan pemain kecil dalam industri pengedaran barangan elektrik. Pendapatan syarikat pula agak mendatar buat 3 tahun terakhir.

Namun untuk aspek yang baik pula, Pekat menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik sepanjang tempoh dalam laporan. Dana IPO akan digunakan untuk membeli aset iaitu ibu pejabat yang akan menjadi fasiliti yang lebih besar bagi operasi mereka yang semakin berkembang. Kita dapat lihat prestasi yang terus meningkat pada segmen solar Pekat yang juga merupakan sektor dengan pertumbuhan yang tinggi.


< kembali ke laman blog utama