IPO

6-NOV-2019

IPO Solarvest Berhad Kini Boleh Dibeli


 


Pada 30 September baru-baru ni, IPO Solarvest Holdings Berhad telah pun dibuka untuk pembelian secara awam. Sebenarnya, saham untuk syarikat ini telah pun dijual kepada pelabur melalui MITI pada bulan lepas. Kalau anda dah pun mohon melalui MITI, dinasihatkan tunggu sampai keputusan dikeluarkan. Kalau tak dapat saham melalui MITI, barulah beli melalui bank. Sebab dikhuatiri yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Solarvest akan disenaraikan dalam pasaran ACE, dan butiran tarikh adalah seperti di bawah.

Permohonan dibuka:
30 September 2019, 10.00 pagi
Permohonan ditutup:
11 November 2019, 5.00 petang
Cabutan saham:
14 November 2019
Agihan saham:
21 November 2019
Tentatif penyenaraian:
26 November 2019

Perkara yang anda perlu ambil perhatian ialah tempoh menunggu untuk IPO ni agak lama. Jadi gunakan modal anda sebaiknya sebelum masuk ke dalam IPO ini.

Syarikat berteraskan Sistem Solar

Solarvest Holdings Berhad ditubuhkan sebagai syarikat pemegang kepada tiga subsidiari yang menjalankan operasi yang melibatkan sistem solar PV. Subsidiari ini adalah Atlantic Blue Sdn Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd dan Powertrack. Atlantic Blue baru sahaja ditubuhkan pada hujung tahun 2011 berikutan dengan pengenalan Feed-in Tariff (FiT) di Malaysia. Operasi syarikat ini secara keseluruhan adalah seperti di bawah.

operasi Solarvest Operasi Solarvest

Berdasarkan gambar di atas, kita boleh lihat bahawa syarikat ini menjalankan projek berskala besar seperti Large Scale Solar (LSS) dan juga skala kecil seperti pemasangan untuk perumahan. Pasaran utama yang menjadi tumpuan mereka setakat ini adalah Malaysia. Namun, mereka bercadang untuk memasuki Selatan Semenanjung Malaysia, Vietnam dan Taiwan dengan dana dari IPO ini.

Antara peristiwa sepanjang penubuhan syarikat ini

2012
Atlantic Blue mula beroperasi dengan pemasangan PV solar untuk perumahan
2013
Kontrak EPCC pertama untuk memasang PV solar pada bangunan perindustrian
2014
Pelaburan untuk loji penjanaan kuasa PV yang diuruskan sendiri
2016
Powertrack ditubuhkan untuk mengendali operasi dan penyelenggaraan sistem PV
 
NEM dan LSSPV diperkenalkan
2017
Pembelian ekuiti 45% oleh kumpulan Chin Hin
 
Projek LSSPV pertama bernilai RM12.4 juta
2018
Ibu pejabat dialikan dari Alor Setar ke Lembah Klang
2019
Projek LSSPV terapung pertama di Kuala Langat

Ringkasan bisnes ini adalah seperti di bawah:

operasi Solarvest

Prestasi Bisnes

Solarvest menunjukkan prestasi kewangan yang agak cantik. Kita boleh lihat bahawa pendapatan sentiasa meningkat setiap tahun, dan naik mencanak untuk tahun kewangan terbaru berakhir 31 Mac 2019 dengan pendapatan sebanyak RM 112.2 juta. Ini adalah peningkatan sebanyak hampir 150% berbanding tahun sebelumnya pada RM 45.1 juta.

Walaupun kita dapat lihat pendapatan meningkat dengan begitu banyak, nampaknya kos untuk mencapai pendapatan tersebut juga adalah tinggi. Ini dicerminkan dari margin keuntungan yang agak rendah iaitu 10.9% berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih tinggi dari peratusan tahun ini. Apapun, dari segi nilai Ringgit Malaysia, syarikat ini menunjukkan keuntungan yang meningkat untuk setiap tahun.

prestasi kewangan solarvest

Analisis Pasaran untuk Solarvest

Sistem solar PV di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu sistem luar grid dan sistem sambungan grid. Solarvest menjalankan aktiviti yang melibatkan sistem sambungan grid, maka ia akan menjadi fokus kita untuk bacaan ini.

Sistem sambungan grid adalah penetapan sistem yang membolehkan kuasa yang dijana melalui panel PV dibekalkan ke dalam rangkaian tenaga. Kuasa yang dibekalkan ke dalam rangkaian tenaga ini dibeli oleh syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional. Polisi pembelian kuasa yang dijana oleh pihak ketiga ini adalah dinamakan Feed-in Tariff. Di samping sebagai teknologi hijau, polisi inilah yang juga menarik perhatian pelbagai sektor termasuk orang awam untuk membeli atau melabur dalam sistem solar PV. Polisi ini telah pun digantikan dengan NEM yang membenarkan penjualan tenaga dengan pengiraan yang berlainan.

industri solar CAGR CAGR untuk industri solar 2018-2023

Protégé Associates menjangka masa depan yang baik untuk industri solar PV di Malaysia dengan CAGR sebanyak 50% untuk jangka masa 2018 hingga 2023. Faktor yang menjadi tunjang pengembangan sektor ini adalah polisi atau program kerajaan untuk penjualan tarif tenaga.

Syarikat lain yang bersaing dengan Solarvest dalam industri yang sama adalah seperti di bawah. Antara syarikat tersenarai yang boleh dibandingkan ialah CYPARK. Selain itu semuanya adalah syarikat sendirian berhad. PE ratio untuk CYPARK berada pada angka 8.2 manakala Solarvest pada 12.5, yang masih dikira tak terlalu mahal.

Penggunaan Dana IPO

Solarvest akan mengumpul dana sejumlah RM 34.6 juta daripada IPO ini. Pembahagian dana ini adalah seperti berikut:

Jenis Dana RM (Juta) %
Pengembangan bisnes 3.00 8.7%
Perbelanjaan modal 4.00 11.5%
Modal kerja 19.19 55.5%
Bayaran pinjaman bank 5.00 14.5%
Perbelanjaan untuk IPO 3.40 9.8%
Jumlah 34.60 100%

Dana pembangunan bisnes akan digunakan untuk melebarkan tapak ke luar negara seperti Vietnam dan Taiwan. Mereka merancang untuk membentuk JV dengan syarikat tempatan untuk projek solar PV di masa akan datang. Dana akan digunakan untuk membuka pejabat, peralatan dan penggajian pekerja tempatan Taiwan dan Vietnam. Perbelanjaan modal akan digunakan untuk pelbagai peralatan, modal projek dan operasi harian. Bayaran bank pula adalah RM5 juta yang merupakan 14.5% daripada keseluruhan dana IPO.

Kesimpulan

Kami berikan skor kepada IPO Solarvest ini sebanyak 4/4. Anda boleh lihat rekod analisis IPO sebelum ini untuk menilai sekiranya anda patut beli. Perkara yang positif untuk saham ini adalah ia berada dalah sektor yang diberikan perhatian oleh kerajaan. Polisi kerajaan untuk bayaran tarif juga memainkan peranan untuk menjadikan sektor ini menarik kepada umum. Tambahan pula, pelbagai pelepasan cukai diperuntukkan dalam sektor ini dalam perbentangan belanjawan 2020. Ini sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada kegiatan perniagaan sektor tenaga hijau ini.

Cara Membeli

IPO Powerwell Berhad ni boleh dibeli melalui bank. Sekiranya anda menggunakan Maybank atau CIMB, anda boleh gunakan link yang disediakan ini.

Tutorial video membeli IPO dengan Maybank

Tutorial video membeli IPO dengan CIMB Clicks

Blog membeli IPO dengan Maybank


< kembali ke laman blog utama