IPO

02-OCT-2020

Samaiden Ingin Bergerak Lebih Agresif dengan Dana IPO


 


samaiden pv rooftop project kluang Gambar: Samaiden

IPO untuk Samaiden Group Berhad (SAGB) telah dibuka sebelum ini untuk permohonan melalui MITI. Permohonan IPO ini kini dibuka dengan butiran di bawah:

Permohonan dibuka:
28 September 2020, 10.00 pagi
Permohonan ditutup:
5 Oktober 2020, 5.00 petang
Cabutan saham:
7 Oktober 2020
Agihan saham:
13 Oktober 2020
Tarikh penyenaraian:
15 Oktober 2020

Harga IPO:
RM 0.48
Pasaran penyenaraian:
ACE
Status syariah:
Disahkan oleh SAC
Nisbah PE:
13.91 (apabila tersenarai)
Market Cap:
RM 100.8 juta

Satu perkara yang anda perlu cakna ialah harga saham dinaikkan dari RM 0.45 semasa dibuka melalui MITI ke RM 0.48 untuk IPO. Ia boleh bermaksud pihak pengurusan yakin pada kekuatan syarikat dan harga yang diletakkan.

Syarikat Pemasangan Sistem Solar PV

Kumpulan syarikat Samaiden terbahagi kepada SAGB iaitu pemegang pelaburan dan operasi melalui tiga syarikat dibawahnya, Samaiden, Samaiden Consultancy dan SC Green. SC Green adalah anggota baru di antara syarikat operasi ini yang dibeli dengan milikan 60%.

samaiden pv rooftop project kluang

Model bisnes syarikat adalah dengan menyediakan khidmat EPCC iaitu kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk projek sistem solar PV dan loji janakuasa. Dalam masa akan datang, SAGB juga akan turut memiliki dan mengendali fasiliti Renewable Energy (RE). Mereka juga akan meluaskan tapak operasi ke Vietnam dengan lebih agresif dengan dana IPO ini.

Kesan operasi dari Covid-19

Apabila PKP fasa pertama berjalan bermula 18 Mac 2020, aktiviti di tapak projek telah diberhentikan dalam anggaran sebulan. Pun begitu, PKP tak menjejaskan perniagaan dari segi operasi dan prestasi kewangan. Setakat perkembangan terkini, badan pengarah tidak maklum apa-apa berita berkenaan:

Apa yang kita boleh katakan di sini ialah, Samaiden tidak menerima impak yang serius terhadap aktiviti dan operasi mereka setakat laporan terkini.

Peristiwa penting dan pencapaian syarikat

2013
Penubuhan Samaiden yang menjalankan projek EPCC untuk sistem solar PV dengan kapasiti 6 kWp dan 12 kWp di bangunan perumahan dan komersial
2014
Samaiden berdaftar dengan SEDA sebagai penyedia perkhidmatan, dan memperoleh sebuah projek EPCC untuk tiga sekolah kerajaan
2015
Peroleh projek EPCC untuk solar PV berkapasiti 425 kWp di bangunan Plaza Metro Kajang dan memenangi ASEAN Energy Award untuk projek ini
logo myhijau
2017
Peroleh hak untuk menggunakan tanda "MyHIJAU" dari Malaysian Green Technology Corporation dan memperoleh projek berskala utiliti di bawah program LSS1 berkapasiti 23.70 MWp di Seberang Perai
2018
Peroleh dua projek EPCC di bawah program LSS2
  • 6.80 MWp solar PV di Mersing, Johor bernilai RM 25.29 juta
  • 13.50 MWp solar PV di Kluang, Johor bernilai RM 49.90 juta
2019
Berdaftar sebagai Kontraktor Elektrik Kelas D dengan Suruhanjaya Tenaga, pertubuhan Samaiden Consultancy dan SC Green

Prestasi Kewangan Samaiden

Prestasi kewangan Samaiden menunjukkan pertumbuhan yang luar biasa dalam tempoh yang pendek. Kita dapat lihat kenaikan pendapatan setiap tahun. Pendapatan sebanyak RM 6.53 juta pada tahun 2017 telah meningkat secara mendadak ke angka RM 76.17 juta pada tahun berakhir 2020. Dari segi keuntungan pula, kita dapat lihat kenaikan dari RM 1.36 juta pada tahun 2017 ke RM 7.23 juta pada 2020.

prestasi kewangan samaiden 2020

Sebahagian besar pendapatan Samaiden datangnya daripada perkhidmatan EPCC untuk projek solar. Setakat laporan terbaru, bahagian ini menyumbang sebanyak RM 68.55 juta yang merangkumi 90% daripada pendapatan syarikat.

Analisis Bisnes

Pengenalan

Samaiden menjalankan perniagaan yang melibatkan perkhidmatan EPCC untuk industri sistem solar PV dan loji janakuasa tenaga di Malaysia. Dalam industri ini, aktiviti yang terlibat ialah perangkaan dan reka bina, EPCC, Operasi dan Penyelenggaraan dan penutupan atau pembaharuan. Namun, industri solar PV di Malaysia belum cukup matang untuk meliputi penutupan atau pembaharuan, dan aktiviti ini juga tidak ditawarkan oleh Samaiden.

epcc value chain

Sumber Tenaga Elektrik di Malaysia

Sebahagian besar sumber tenaga di Malaysia datang daripada arang batu dan gas asli, diikuti dengan hidroelektrik. Dari data 2017, jumlah ketiga-tiga sumber ini dicatatkan pada 98.1% sumber tenaga di Malaysia, manakala tenaga bersumberkan solar berjumlah 330 GWh menyumbangkan 0.2% daripada keseluruhan.

Dari tahun 2015 ke 2019, kapasiti solar PV yang dipasang telah meningkat dengan CAGR sebanyak 29.6% pada peringkat global. Peningkatan kapasiti solar PV di Malaysia pula adalah lebih tinggi di mana ia telah meningkat dari 0.22 GW ke 1.13 GW, iaitu peningkatan CAGR sebanyak 50.3%. Jumlah ini masih dikira rendah berbanding Jepun yang dicatatkan pada 63.0 GW.

Usaha kerajaan untuk Tenaga boleh baharu

Kerajaan kini sedang giat untuk menambah sumber tenaga yang boleh baharu untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara. Antara inisiatif yang telah dibuat ialah pelbagai program solar untuk perumahan, pemaju dan kerajaan. Di antara program yang ditawarkan ini, Samaiden lebih banyak terlibat dengan FiT, NEM dan LSS.

Kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa insentif cukai untuk perkukuhkan kemajuan teknologi hijau, antaranya:

Dengan inisiatif pengecualian cukai ini, ia dapat menggalakkan syarikat atau individu untuk memasang sistem solar. Secara langsungnya, inisiatif ini dapat menggalakkan perkembangan industri solar PV ini.

Industri Solar PV

Pemasangan fasiliti solar PV boleh dikategorikan kepada tiga jenis, iaitu luar grid, on-grid berkeliling dan on-grid berpusat. Fasiliti luar grid bermaksud ia tidak dihubungkan dengan grid tenaga. On-grid bermaksud ia berhubung dengan grid tenaga, dan ia terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama ialah berkeliling (dari istilah distributed) yang biasanya adalah sistem skala kecil yang diletakkan di atas bumbung bangunan persendirian. Kedua pula ialah berpusat (dari istilah centralised) yang berskala utiliti atau pusat penjanaan tenaga seperti LSS.

kapasiti solar yang dipasang di Malaysia

Pada tahun 2018, program LSS yang dijalankan telah meningkatkan kapasiti solar PV on-grid berpusat sebanyak 349.2%. Fasiliti on-grid berkeliling pula meningkat sebanyak 31.5%.

Industri Solar PV di Vietnam

Di masa akan datang, Samaiden berhasrat untuk kembangkan perniagaan mereka ke Vietnam. Vietnam mempunyai keluasan yang lebih besar dari Malaysia, dan kapasiti solar PV yang dipasang adalah sebanyak 5 GW pada tahun 2019. CAGR untuk kapasiti solar PV yang dipasang dianggarkan pada 10.8% dari tahun 2019 ke 2050.

Pesaing bisnes

Kita boleh lihat aktiviti yang dijalankan oleh Samaiden sangat mirip dengan Solarvest yang telah mencapai IPO tahun lepas. Oleh itu, secara langsungnya Solarvest merupakan pesaing kepada Samaiden. Senarai penuh pesaing Samaiden adalah seperti di bawah berdasarkan syarikat tersenarai awam atau pegangannya yang berdaftar dengan SEDA dengan pendapatan melebihi RM 20 juta.

Nama Syarikat Tahun berakhir kewangan Pendapatan (RM) Untung Bersih (RM) Margin untung bersih (%)
Scatec Solar Solutions Malaysia Sdn Bhd Dis 19 272.4 99.8 36.6
Solarvest Holdings Berhad Mar 20 253.4 15.67 6.2
Samaiden Group Jun 20 76.2 7.2 9.5
Panasonic Life Solutions Malaysia Sdn Bhd Mar 19 63.1 1.3 2.1
EI Power Technologies Sdn Bhd Dis 19 26.6 1.7 6.4

Keseluruhan pasaran malaysia untuk solar PV yang berhubung dengan grid dinilai pada RM 1,684.8 juta. Bahagian pasaran Samaiden ialah sebanyak RM 74.7 juta iaitu anggaran sebanyak 4% daripada jumlah pasaran solar PV di Malaysia.

Penggunaan Dana IPO

Samaiden akan mengumpul dana sejumlah RM 29.35 juta daripada IPO ini. Pembahagian dana ini adalah seperti berikut:

Jenis Dana Nilai (RM juta) Bahagian dana
Pembelian pejabat korporat 7.00 23.85%
Pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran 2.54 8.65%
Perbelanjaan modal 1.17 3.98%
Modal kerja 15.45 52.62%
Perbelanjaan IPO 3.20 10.90%

Sebahagian besar dana IPO akan digunakan sebagai modal kerja. Bahagian ini merangkumi perbelanjaan untuk bon tender dan bon prestasi untuk projek EPCC. Selain itu, ia juga akan digunakan untuk bahan pemasangan dan binaan, modal kerja umum dan perbelanjaan latihan dan kemajuan. Penggunaan kedua tertinggi adalah untuk kerja renovasi dan pembelian pejabat di Selangor.

Kesimpulan

Skor iSaham: 4/4

Kami berikan markah penuh untuk Samaiden. Teknologi hijau adalah satu teknologi yang semakin diambil berat di dunia dan turut dititikberatkan oleh kerajaan Malaysia. Masih banyak pertumbuhan ke hadapan untuk industri ini, sama ada dalam negara atau luar negara. Dari segi fundamental pula, rekod kewangan Samaiden menunjukkan prestasi yang bagus. Samaiden juga diterajui oleh pengarah operasi yang berpengalaman.

Cara Membeli

IPO Samaiden Group Berhad ni boleh dibeli melalui bank. Sekiranya anda menggunakan Maybank atau CIMB, anda boleh gunakan link yang disediakan ini.

Tutorial membeli IPO dengan Maybank (video)

Tutorial membeli IPO dengan CIMB Clicks (video)

Cara membeli IPO dengan Maybank (blog)


< kembali ke laman blog utama