ASAS

18-MAY-2020

Sebab-sebab Pembelian Saham Tak Berjaya


 


Persoalan kepada pembelian saham yang tak berjaya ini adakalanya mudah sahaja. Namun, ada juga hal-hal teknikal yang boleh menyebabkan pembelian saham anda tak berjaya dilaksanakan.

1. Pesanan belum terpadan

Kadang-kadang kita tanya dalam group "Saya dah jual dah, tapi kenapa tak berjaya?". Tapi rupa-rupanya kita terlepas pandang perkara paling basic. Status pada Order Status perlulah dikemas kini kepada "All Matched". Barulah bermaksud pesanan belian anda berjaya dilakukan.

2. Beli saham tak syariah

Sebenarnya, apabila anda buka akaun syariah, broker anda akan menetapkan halangan untuk pembelian saham tak syariah. Senarai saham patuh syariah dikemaskini oleh Suruhanjaya Sekuriti pada setiap penghujung Mei dan November.

Mungkin anda menyangka bahawa saham yang ingin dibeli masih syariah, tetapi telah bertukar status selepas senarai baru dikeluarkan. Ini adalah punca yang agak biasa yang berlaku. Untuk mengenali saham yang patuh syariah, boleh lihat jadual di bawah untuk penanda syariah pada platform iSaham dan M+ Online.

Platform Penanda Contoh Maksud
iSaham [NS] PENTA [NS] Tak patuh syariah
iSaham Tiada GREATEC Patuh syariah
M+ Online Tiada PENTA Tak patuh syariah
M+ Online o GREATECo Patuh syariah

3. Nilai belian lebih tinggi dari trading limit

Pengguna M+ Online di bawah kami kebiasaannya menggunakan akaun jenis cash upfront. Akaun jenis ini hanya membolehkan anda berdagang mengikut seberapa banyak wang yang anda masukkan ke dalam akaun CDS. Dalam bahasa mudah, ia berfungsi seperti prepaid - topup dulu, baru guna. Nilai dana yang boleh didagang ini akan tercermin pada Trading Limit dalam account summary anda.

m+ online exceed available limit

Sekiranya anda membeli lebih daripada duit di dalam akaun anda, platform dagangan akan mengeluarkan notis ralat (error). Jadi, anda perlu pastikan pembeli anda dibuat mengikut dana yang cukup dalam trading limit. Kalau tak cukup baki, perkara yang anda boleh buat adalah sama ada tambah wang ke dalam akaun atau kurangkan nilai belian.

4. Beli pada waktu rehat

watch meal

Waktu rehat Bursa: 12.30 tghari - 2.30 petang

"Masa kita tengah makan, ada pula orang beli saham". Itulah yang mungkin difikirkan oleh pekerja-pekerja di Bursa Malaysia yang sedang merarau (makan tengah hari). Kalau anda beli di waktu rehat, pesanan anda sebenarnya bukanlah gagal, namun ia akan diatur ke dalam barisan. Maksudnya, apabila pasaran bersambung selepas rehat, barulah apa-apa pesanan boleh dipadankan. Sama ada padan atau tidak, ia bergantung kepada harga pesanan anda.

Baca: Bagaimana pesanan saham dipadankan

5. Beli ketika Pre-Closing

Waktu Pre-Closing: 4.45 - 4.50 petang

Ada satu waktu dalam sesi kedua Bursa (sesi petang) di mana pasaran akan berehat selama 5 minit. Dalam waktu ini, pasaran akan mencari dan menentukan pada harga apa pasaran akan ditutup. Tiada pesanan yang akan terpadan dalam tempoh 5 minit ini. Ianya hanya boleh terpadan bergantung kepada harga pesanan anda apabila pasaran disambung untuk 10 minit terakhir nanti.

6. Beli selain harga tutup pada fasa Trading at Last

Mike from Pexels

Waktu Trading at Last: 4.50 - 5.00 petang

Kes ini pula boleh berlaku pada waktu petang pada 10 minit terakhir waktu pasaran Bursa. Dalam 10 minit terakhir ini, hanya satu harga akhir yang akan terpadan apabila ditentukan pada fasa (4) tadi. Jika pesanan yang anda letakkan pada fasa (4) tadi tidak berjaya, anda perlu letakkan pesanan baru pada harga tutup. Mana-mana pesanan yang diletakkan pada selain harga tutup akan ditendang dari barisan. Dalam erti kata lain, tiada lagi tawar menawar dalam fasa ini.

7. Beli dari diri sendiri

"Macam ni pun ada..", mungkin akan disebut oleh remisier anda. Transaksi sebegini adalah tidak sah mengikut peraturan Bursa Malaysia, sebanyak mana pun anda cuba. Dalam kes ini mungkin anda beratur jual pada sesebuah harga yang lebih tinggi dari harga belian. Anda ingin cuba berikan keuntungan kepada diri sendiri dengan membeli pesanan saham tadi. Transaksi ini tidak akan dilaksanakan oleh Bursa.

8. Ada pesanan yang sedang beratur

Kadang-kadang bila nak beli saham, kita fikir modal dah cukup. Tapi bila beli, keluar pula error mengatakan modal tak mencukupi. Sekiranya anda melalui situasi ini, mungkin boleh semak semula sekiranya anda telah pun membuat pesanan yang lain dalam Order Status. Untuk pengetahuan anda, apabila pesanan belian dibuat, nilai itu akan ditolak dari Trading Limit. Ini bukanlah bermaksud belian sudah terpadan, namun ia diperuntukkan untuk bayaran sekiranya terpadan. Sekiranya dibatalkan atau tak terpadan, nilai belian ini akan dimasukkan semula ke dalam Trading Limit.

Anda juga boleh baca sebab-sebab saham tak berjaya dijual untuk pesanan yang melibatkan penjualan.


< kembali ke laman blog utama