UMUM

13-AUG-2020

7 Saham Bagus yang Sehebat Namanya


 


Nak pilih saham yang bagus ni bukannya mudah. Tapi sebenarnya ia pun tak susah sangat. Kalau kita tengok saham yang memang dah terkenal, kita mungkin dapat lihat pergerakan yang stabil, tapi agak perlahan. Ada saham pula tak terkenal, tapi boleh naik banyak. Tapi ada satu lagi cara untuk kenal saham yang bagus. Caranya adalah tengok pada nama. Kenapa tengok pada nama? Mari kita lihat semula babak teka-teki dalam filem P. Ramlee "Nujum Pak Belalang".

Bertanya Ahli Nujum "Di mana terletaknya kekuatan Hang Tuah? Di kerisnya kah? Atau di tenaganya kah?"

Pak Belalang pun menjawab "Kekuatan Hang Tuah adalah terletak di atas huruf 'ta'."

Dalam filem "Nujum Pak Belalang" ini, kekuatan di sebalik seorang tokoh yang dianggap hebat itu dikatakan terletak pada namanya. Jadi, mari kita lihat saham-saham yang sehebat namanya.

1. Frontken

frontken banner

Seperti nama yang diberi, FRONTKN berada pada kedudukan yang kehadapan dalam industri teknologi. Aktiviti utama syarikat adalah perkhidmatan pembersihan jitu (precision cleaning) dan rawatan permukaan (surface treatment) untuk komponen semikonduktor.

Pendapatan syarikat kebanyakannya datang dari Taiwan yang meliputi lebih separuh dari geografi lain secara terkumpul.

2. Supermax

supermax banner

Sekiranya anda dah melabur sekurang-kurangnya seawal bulan April atau Mei 2020, anda tentu cakna tentang kenaikan harga saham-saham sarung tangan getah. Antaranya sudah tentu SUPERMX, yang boleh berikan anda kenaikan modal yang SUPER untung.

Saham ini didagangkan serendah RM 1.60 sen pada awal April, dan telah naik sehingga RM16 bulan Julai, dan masih lagi menaik. Sekiranya dikira dalam peratusan, peningkatan ini sudah pun mencecah 1000%. Separuh dari jualan Supermax datangnya dari Amerika yang teruk menerima kesan COVID-19.

3. Supercomnet Technologies

supercomnet banner

Berikutan dengan pandemic COVID-19, Supercomnet juga menerima impak yang SUPER terhadap perniagaan syarikat. Syarikat ini menjual kabel dan wayar untuk kegunaan automotif, barangan elektronik dan perubatan di peringkat antarabangsa.

Antara pelanggan-pelanggan besar mereka terdiri daripada syarikat-syarikat Jepun, namun kebanyakan jualan Supercomnet datangnya dari Malaysia sendiri.

4. Greatech Technology

greatech banner

Greatech Technology adalah sebuah syarikat yang baru tersenarai dalam pasaran ACE. Sekiranya anda pernah dengan Trump sebut "Make America GREAT again", iSaham ada slogan untuk saham ini iaitu "Make Malaysia GREATEC again". Biasanya dilaungkan apabila saham teknologi sedang bullish.

Dari segi prestasi perniagaan, kita boleh nampak kenapa Greatech ni sememangnya 'great'. Dalam masa setahun penyenaraian sahaja, kita boleh nampak saham ini seakan-akan tiada rehat untuk kenaikan. Boleh difahami kerana 70% pendapatan mereka datangnya dari Amerika, kuasa ekonomi besar dunia.

5. Top Glove

topglove banner

Kalau Malaysia merupakan pengeluar yang 'top' dalam industri sarung tangan getah, Top Glove pula adalah syarikat yang 'top' antara pengeluar sarung tangan getah di dunia.

Top Glove mengeksport barangan mereka ke 195 negara di seluruh dunia, dengan jualan terbesar di Amerika Utara. Dengan sentimen yang optimis terhadap produk sarung tangan ini, ada bank yang menjangka kenaikan harga saham Top Glove sehingga ke RM100.

6. Kumpulan Powernet

kpower banner

Beberapa tahun yang lepas, Kumpulan Powernet atau KPOWER tak begitu Power. Jika melihat prestasi kewangan 5 tahun lepas, kita lihat KPOWER ni sebagai syarikat rugi. Namun, kita boleh tengok bermula dengan tahun 2017, syarikat ini mula mengurangkan kerugian sehingga mula menghasilkan keuntungan pada tahun 2019.

Pendek kata, comeback yang dibuat oleh KPOWER ni memang 'power'. Aktiviti utama syarikat ini ialah penghasilan tekstil fabrik untuk pakaian dalam dan mereka mempunyai pelanggan utama di Eropah. Syarikat ini juga dalam proses mempelbagaikan aktiviti bisnes mereka antaranya dalam industri tenaga, utility, infrastruktur dan logistik.

7. Revenue Group

revenue banner

Perkataan revenue tu sendiri dah dapat berikan kita bayangan bahawa syarikat ini ada kaitan dengan duit atau pendapatan. Dan memang betul, kalau kita lihat pada carta harga saham, memang kita boleh nampak syarikat Revenue ni 'revenue' sentiasa sejak penyenaraian pada tahun 2018.

Apa yang syarikat ini buat sememangnya berkaitan dengan duit, lebih tepat lagi, platform pembayaran seperti terminal pembayaran dan e-Dompet. Kebanyakan jualan Revenue Group ini datangnya dari Malaysia, namun ada bahagian kecil disumbangkan dari Amerika.


< kembali ke laman blog utama