Nak melabur saham ni ada macam-macam gaya dan macam-macam ragam. Ada pelabur suka saham murah, ada juga yang tak kisah dengan harga saham. Ada yang suka swing, dan ada juga yang suka short term. Dalam topik kali ni, kami akan bincangkan pasal saham yang berharga murah. Adakah anda patut cari saham murah? Berapa pula harga saham yang dikatakan mahal? Adakah harga saham itu penting? Dan macam-macam lagi persoalan yang anda perlu tahu untuk membeli saham.
Berapa harga yang dikatakan murah atau mahal?
Sebenarnya, murah atau mahal ini agak subjektif daripada pelabur kepada pelabur yang lain. Hal ini disebabkan gaya pelaburan yang juga mungkin berbeza. Seorang pelabur itu mungkin melabur secara short term, dan mereka akan cari saham yang berharga kurang dari RM 1 dengan target beberapa bid kenaikan harga.
Sebagai contoh, saham TECFAST dari RM 0.47 kepada RM 0.51 boleh memberikan pulangan sebanyak lebih kurang 8% dalam masa seminggu tanpa mengira bayaran broker.

- 24 Dis 2019:
- RM 0.47
- 31 Dis 2019:
- RM 0.51
- Pulangan seminggu:
- 8%
Sekiranya seorang pelabur itu melabur secara mid term, mungkin harga RM 5 masih dianggap ok. Namun jika untuk short term pula, mungkin dirasakan tak sesuai dengan jiwa.
Sebagai contoh, MFCB dari RM 4.08 kepada RM 5.11 boleh memberikan pulangan sebanyak lebih kurang 25% dalam masa 3 bulan tanpa mengira bayaran broker. Kalau saham ini dibeli untuk seminggu pula, pulangan yang diberikan cuma sekitar 4% sahaja.

- 1 Okt 2019:
- RM 4.08
- 8 Okt 2019:
- RM 4.27
- 31 Dis 2019:
- RM 5.11
- Pulangan seminggu:
- 4%
- Pulangan 3 bulan:
- 25%
Ada yang menganggap saham berharga RM 1 ini sebagai mahal. Sedangkan banyak juga saham dalam lingkungan harga ini dapat memberikan pulangan yang baik. Modal untuk membeli satu lot saham ini juga hanyalah RM100. Kalau saham berharga RM5 pula, satu lot berharga RM500.
Kalau gunakan modal RM3000 sebagai pelaburan, saham murah atau mahal, anda masih akan habiskan RM3000 tadi. Pulangan yang anda akan dapat adalah daripada kenaikan saham, bukan bergantung kepada harga saham. Yang penting adalah saham yang dibeli itu ada potensi kenaikan.
Adakah anda patut cari saham murah?
Anda tak semestinya perlu mencari saham yang murah. Kriteria yang lebih penting sebagai syarat membeli adalah anda nampak potensi pulangan kepada saham yang dibeli. Sebagai contoh, sebulan lalu, saham yang bagus seperti UWC berharga RM2.58 berada pada paras support. Namun anda takut nak beli sebab menurut anda, ianya mahal. Selepas sebulan, saham UWC telah pun naik sehingga RM3.18 ataupun kenaikan sebanyak 23%.

- 4 Dis 2019:
- RM 2.58
- 3 Jan 2020:
- RM 3.18
- Pulangan sebulan:
- 23%
Adakah harga saham itu penting?
Sebenarnya harga saham itu tidak memainkan peranan penting dalam membuat keputusan membeli. Ianya bergantung kepada modal anda. Sekiranya modal anda RM2000, anda masih boleh beli saham yang berharga RM2 sebanyak 10 lot.
Menggunakan contoh ini, kalau anda beli saham FRONTKN ketika harganya RM2 awal Disember lalu, anda sudah mendapat 14.5% pada hari ini.

- Awal Disember:
- RM 2.00
- Ketika artikel ditulis:
- RM 2.43
- Pulangan:
- 21.5%

- Awal Disember:
- RM 2.00
- Ketika artikel ditulis:
- RM 2.49
- Pulangan:
- 24.5%
Sekiranya harga adalah suatu isu besar kepada anda, maka anda mungkin akan ketinggalan banyak lagi saham-saham yang bagus di Bursa.
Saham “murah” lebih berisiko sekiranya kerugian
Saham yang di bawah RM1 mempunyai saiz bid sekecil 0.5 sen. Sekiranya saham yang dibeli pun berharga 20 sen, penurunan 1 bid sahaja boleh menjadikan anda kerugian sebanyak 2.5%.
Saham di atas harga RM 1 pula mempunyai saiz bid sebesar 1 sen. Sekiranya harga saham yang dibeli adalah RM 1.10, penurunan 1 bid cuma memberikan anda kerugian sebanyak 0.1%.
Nak melabur dalam saham yang ‘murah’ ni memerlukan hati yang kental. Bila dah beli belum tentu naik dengan cepat. Bila turun pula, boleh jadi rugi besar disebabkan perubahan peratusan yang mendadak.
Saham yang kita katakan ‘mahal’ itu pula belum tentu mahal. Hari ini kita kata mahal, tapi esok-esok dia terus naik tinggalkan kita. Bila terjadi macam ni, maka barulah kita terciduk dan terduduk.
Mungkin jangkaan anda terlalu tinggi
Dalam contoh-contoh yang digambarkan di atas tadi, semuanya adalah berada dalam kadar pulangan yang bagus. Malah, bagi seseorang yang baru mulakan pelaburan, pulangan sebanyak ini pun mungkin susah untuk dicapai.

Menurut laporan Financial Education Network, ramai pelabur yang menjangkakan pulangan yang tidak realistik dalam produk pasaran modal ini. Sebenarnya, satu ukuran yang anda boleh gunakan untuk perbandingan adalah pulangan pelaburan pasif seperti ASB, Tabung Haji dan KWSP. Sekiranya anda boleh dapatkan lebih daripada pulangan institusi ini, ia dah dianggap cukup bagus.