FUNDAMENTAL

27-JUL-2021

Apa Perlu Buat Kalau Syarikat Melaksanakan Rights Issue


 


Rights issue adalah satu pelaksanaan korporat yang boleh dijalankan oleh syarikat tersenarai awam untuk mendapatkan dana perniagaan. Apabila rights issue dilaksanakan, pelabur yang memegang saham akan mendapat saham hak atau rights share. Saham hak ini boleh dijual beli, namun ia mempunyai hayat yang pendek.

Tujuan utama pemberian saham hak ini adalah supaya pelabur yang berminat dapat menukarkan saham hak ini kepada saham biasa, keutamaan atau pinjaman dengan kadar pertukaran tertentu. Apabila penukaran saham hak ini berlaku, syarikat dapat membangunkan dana perniagaan, dan pelabur dapat membeli saham syarikat pada kadar diskaun.

Untuk melihat senarai syarikat yang melaksanakan rights issue, boleh lihat pada screener upcoming entitlement.

IPO dan rights issue

Apabila syarikat tersenarai di pasaran saham melalui IPO, mereka mempunyai strategi tertentu untuk membawa syarikat ke hadapan. Strategi ini memerlukan dana, dan dana ini dibangunkan dari pelabur awam dan juga institusi melalui penjualan saham syarikat.

Sepanjang syarikat menjalankan perniagaan, pelbagai ketidaktentuan mungkin akan dihadapi. Sekiranya syarikat memerlukan dana lagi untuk strategi baharu, pembangunan dana yang baharu ini bukan lagi melalui IPO. Satu cara untuk syarikat mendapatkan dana lebih dari pelabur awam adalah melalui rights issue. Cara lain syarikat boleh bangunkan dana ialah melalui private placement yang tidak melibatkan pelabur runcit.

Pemberian saham hak

Dalam pelaksanaan rights issue, syarikat akan mengumumkan tarikh ex-date untuk pelabur menerima saham hak. Saham hak ini diberi mengikut nisbah pegangan. Contohnya, pemberian pada nisbah 2:1 bermaksud pemegang saham akan menerima 2 unit saham hak bagi setiap 1 pegangan sedia ada. Saham ini akan ditetapkan harganya dalam butiran Rights Issue/Offer Price seperti di bawah. Harga ini juga akan dirujuk untuk penukaran nanti.

saudee rights issue announcement
Contoh: Tawaran Ordinary Rights pada RM 0.15, nisbah pemberian saham pada 2:1. Gambar: Bursa Malaysia

Selepas tarikh ex-date berlalu, saham hak tidak masuk ke portfolio secara automatik. Anda perlu lihat pada butiran Rights Crediting Date di atas yang memberitahu bila saham hak tersebut akan muncul dalam portfolio. Namun, saham hak ini hanya boleh didagangkan pada hari dagangan berikutnya. Anda boleh rujuk butiran Date for commencement of trading of rights di bawah dalam pengumuman lain tentang tarikh penting rights issue.

saudee important dates for renounceable rights
Pengumuman tarikh penting berkaitan dengan rights issue: Important Relevant Dates for Reounceable Rights

Dalam pengumuman, anda akan terjumpa perkataan renounceable rights. Istilah ini cuma bermaksud saham hak ini boleh dijual sekiranya anda tidak mahukannya.

Jenis saham hak

Dalam pengumuman rights issue juga syarikat akan memberitahu sekiranya saham hak ini merupakan hak penukaran untuk saham biasa, saham keutamaan atau saham pinjaman. Syarikat juga berkemungkinan menyertakan sekali waran percuma untuk menarik minat pelabur ke atas tawaran mereka.

Saham hak atau rights share ini ditandakan dengan akhiran -OR untuk ordinary rights, -PR untuk preference rights dan -LR untuk loan stock rights. Saham ini boleh dijual beli, namun belian saham ini tidak mempunyai apa-apa makna sekiranya anda tidak bercadang untuk menambah pegangan saham syarikat. Penukaran saham ini boleh diringkaskan seperti di bawah:

Jenis Hak Maksud Simbol Selepas penukaran
Ordinary rights Saham hak untuk ditukar kepada saham biasa ABC-OR ABC
Preference rights Saham hak untuk ditukar kepada saham keutamaan ABC-PR ABC-PA, -PB
Loan Stock rights Saham hak untuk ditukar kepada saham pinjaman ABC-LR ABC-LA, -LB

Apa patut buat dengan Rights Issue?

Rights issue kebiasaannya tak begitu digemari pelabur. Sebabnya adalah apabila tersenarai melalui IPO, syarikat dijangka dapat menggunakan dana IPO tadi untuk menggerakkan syarikat mengikut perancangan. Namun, pengumuman rights issue ini menunjukkan bahawa syarikat tidak mempunyai kewangan yang sihat untuk meneruskan perniagaan. Oleh itu, rights issue biasanya mendatangkan persepsi yang negatif terhadap syarikat.

Sekiranya anda telah pun menerima saham hak ini, anda boleh memikirkan dua pilihan sama ada untuk menambah pegangan terhadap syarikat atau tidak. Sekiranya anda tidak mempunyai niat untuk menambah pegangan ke dalam syarikat, anda boleh jual terus saham hak ini.

Kalau dibiarkan lama pula, terdapat kemungkinan ia akan terus tidak mempunyai nilai. Namun, sekiranya anda dapat saham hak ini secara percuma, maka tiada kerugian yang anda akan alami apabila saham hak ini jatuh nilainya.

Sekiranya anda ingin menukar hak ini pula, anda boleh baca selanjutnya.

Menukar saham hak

Sebelum anda memutuskan untuk menukar saham hak, sebaiknya anda baca dan fahamkan terlebih dahulu kenapa syarikat memerlukan dana tambahan. Pengumuman yang anda perlu cari dan baca adalah butiran rights issue yang dikeluarkan oleh syarikat di Bursa Malaysia. Syarikat akan memberikan butiran untuk apa dana ini diperlukan, apa prospek peluang yang diceburi, dan apa-apa lagi yang dianggap berpatutan untuk diberitahu kepada pelabur.

abridged prospectus saudee
Prospektus ringkas Saudee Group Berhad. Gambar: Bursa Malaysia

Sekiranya anda merasakan syarikat berada di landasan yang betul, anda boleh teruskan untuk menukar saham hak ini kepada saham biasa atau keutamaan. Jika sebaliknya pula, anda boleh jual atau biar sahaja saham hak ini luput dari pegangan. Untuk penukaran saham hak ini, anda boleh buat urusan ini di ATM, laman web bank, ataupun yang terbaru adalah melalui aplikasi Bursa Anywhere.

Pemegang saham sedia ada akan menerima saham hak ini secara percuma jika memegang saham sehingga ex-date. Penukaran saham akan dilaksanakan pada harga issue price iaitu harga asal untuk saham hak ini.

Sekiranya anda tidak memegang saham induk sebelum ex-date, anda tidak akan menerima saham hak. Namun, ia boleh dibeli apabila tersenarai. Sekiranya anda sanggup meletakkan kos tambahan, anda boleh beli saham hak, dan kemudian menukarkannya pada kos issue price tadi.

Kesimpulan

Rights issue adalah pelaksanaan korporat untuk membangunkan dana untuk meneruskan perniagaan. Kebiasaannya, pelabur mempunyai persepsi negatif terhadap pelaksanaan ini, namun ia juga tertakluk kepada butiran keperluan dana dan apa-apa prospek untuk syarikat bergerak ke hadapan.

Anda boleh jual saham hak ini kalau anda tidak bercadang menambah pegangan saham syarikat. Namun, anda tidak digalakkan membeli saham hak sekiranya tidak mempunyai niat untuk menambah pegangan saham syarikat. Saham hak ini tidak mempunyai hayat yang panjang, dan apabila luput, segala pegangan dalam saham hak ini boleh hangus sekiranya tak ditukar.


< kembali ke laman blog utama