UMUM

17-JUN-2021

Kenapa Syarikat Membuat Private Placement?


 


Dalam dunia perniagaan, ada banyak cara yang boleh dibuat untuk membangunkan modal perniagaan. Kalau syarikat kecil, mungkin kita boleh yakinkan saudara-mara tentang perancangan perniagaan untuk bangunkan modal dalam bentuk pinjaman atau dana pelaburan. Pada tahap syarikat tersenarai awam pula ada banyak cara, antaranya IPO, rights issue, pinjaman bank dan juga private placement. Kali ni, kita akan bincangkan tentang private placement. Kaedah private placement ini juga diamalkan oleh syarikat start-up yang memerlukan dana untuk potensi yang lebih banyak ke hadapan.

Apa itu Private Placement?

Dalam amalan private placement atau tawaran persendirian, syarikat mempunyai suatu pelan strategik yang dirasakan boleh membantu syarikat dari segi potensi, peluang baru, perkembangan syarikat dan sebagainya. Pada masa yang sama, syarikat juga mempunyai gambaran akan pihak mana yang mungkin akan berminat untuk laburkan dana untuk kegunaan pelan strategik ini. Pihak ini boleh terdiri daripada institusi, bank, organisasi, malah juga boleh terdiri dari pelabur sofistikated.

Di iSaham, anda boleh lihat senarai syarikat yang berada dalam fasa ini dengan screener private placement.

Berdasarkan contoh-contoh di Bursa Malaysia, antara aspek penggunaan private placement adalah seperti berikut:

dnex private placement for silterra
Contoh penggunaan dana oleh DNeX untuk mengambilalih SilTerra.

Proses private placement ini kebiasaannya juga disertai oleh perunding seperti pihak bank bagi melancarkan proses pembangunan dana. Ia juga melibatkan kertas kerja dan kerja pemfailan dengan Bursa Malaysia. Seperti juga rights issue, IPO dan sebagainya, proses ini melibatkan kos. Oleh itu, ada juga syarikat yang menyertakan kos pembiayaan prosedur sebagai sebahagian penggunaan dana.

Pelabur yang yakin akan arah tuju dan pelan strategik syarikat akan ditawarkan sebahagian pegangan saham untuk dibeli pada harga yang dipersetujui. Harga ini kebiasaannya akan mengambil kira harga saham syarikat dalam tempoh masa tertentu, dan diberikan diskaun atau mungkin premium mengikut apa yang syarikat rasakan wajar.

Kesan Private Placement

Kebiasaannya, syarikat akan menerbitkan saham baru untuk dijual kepada pelabur yang berminat. Ini akan memberikan pelabur sebahagian pegangan atau ekuiti dalam syarikat sebagai balasan kepada dana yang disumbangkan. Seperti juga IPO, dana ini kini menjadi pegangan syarikat, dan boleh digunakan untuk tujuan yang disebutkan.

Untuk memahami struktur saham, kita andaikan sebuah syarikat A yang mempunyai jumlah saham sebesar 1,000,000 unit. Syarikat A kini membuat private placement dan menerbitkan 10% saham baru untuk ditawarkan kepada pelabur. Sekiranya pelabur X membeli kesemua saham baru ini, dia akan memiliki 100,000 unit saham syarikat A yang kini mewakili 9.09% daripada keseluruhan 1,100,000 unit jumlah terbaru saham.

contoh grafik private placement

Struktur dan harga

Dari segi struktur, tiada kesan yang diterima pada saham sebagaimana yang dirasai ketika bonus issue, share split dan consolidation dengan penyelarasan harga. Tiada perubahan yang berlaku pada harga saham, cuma terdapat penambahan unit yang berlaku dalam pasaran.

Pegangan saham

Bergantung kepada saiz private placement dan bahagian yang dilaburkan, boleh jadi terdapat perubahan dalam saiz pegangan pada pemegang terbesar syarikat. Namun, kebiasaannya ia tidak menjatuhkan kedudukan pemegang saham terbesar dari kedudukan mereka.

private placement kpower shareholder
Penambahan saham baru dalam syarikat mengurangkan peratusan pegangan pemegang terbesar. Jumlah pegangan tetap sama.

Persepsi

Ada sesetengah penggunaan dana jelas menunjukkan kelemahan syarikat, ada juga melibatkan potensi yang juga melibatkan risiko tertentu. Secara ringkasnya, pembayaran bank jelas menunjukkan syarikat tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk menjelaskan bayaran hutang. Namun, untuk strategi yang lebih agresif seperti pengambilalihan, pembukaan kilang baru, perkembangan syarikat dan sebagainya, ia boleh membawa persepsi positif dengan risiko tertentu.

Rakan perniagaan

Apabila pihak yang berminat dengan private placement ini meletakkan pelaburan, mereka memiliki sebahagian pegangan syarikat. Pemberian pegangan ini juga boleh jadi sesuatu yang strategik bagi syarikat terutamanya sekiranya mereka menginginkan pelabur tersebut untuk menjadi sebahagian daripada syarikat. Dengan milikan sebahagian saham dalam syarikat, pelabur ini kini mempunyai motivasi untuk membawa syarikat ke hadapan untuk keuntungan persendirian juga. Dalam erti kata lain, pelabur ini kini menjadi rakan strategik syarikat.

Mudah dan cepat

Private placement sememangnya mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan rights issue dan IPO. Namun, private placement mempunyai kelebihannya sendiri berbanding dua pelaksanaan tadi. Dalam ketiga-tiga pelaksanaan ini, semuanya memerlukan sejumlah saham diterbitkan supaya dana dapat dibangunkan. Satu cabaran yang mungkin dihadapi dalam membangunkan dana ini adalah mendapatkan dana yang mencukupi.

Sesebuah syarikat boleh melaksanakan private placement walaupun tidak tersenarai di pasaran saham. Namun, sekiranya syarikat ingin mendapatkan akses kepada kemungkinan dana yang lebih banyak, ia boleh laksanakan IPO yang akan menjadikan syarikat tersenarai awam. Untuk rights issue pula, mungkin tidak semua unit hak ditukarkan kepada saham.

private placement ipo
Apabila IPO, sejumlah saham juga diperuntukkan untuk private placement.

Private placement dikatakan mempunyai proses yang lebih mudah bagi syarikat untuk capaian kepada pelabur yang lebih tepat. Proses pelaksanaannya juga adalah lebih mudah berbanding IPO dan rights issue yang membolehkan ia dilaksanakan dengan lebih cepat. Namun, kekurangannya mungkin dari segi sifat eksklusif di mana dana ini hanya ditawarkan kepada pelabur yang tertentu. Ia seakan-akan membelakangkan pelabur sedia ada dari menyertai pelaburan tambahan untuk potensi baru dengan private placement ini.

Dalam pelaksanaan private placement juga, syarikat perlu mencari pelabur yang sanggup melabur ke atas mereka. Sekiranya tujuan dana dilihat sukar untuk memberikan pulangan, proses meyakinkan pelabur mungkin boleh mengambil lebih banyak masa berbanding kaedah lain.

Kesimpulan

Kaedah pembangunan dana ini mempunyai beberapa aspek yang sama dengan pembangunan dana melalui IPO dan rights issue. Secara ringkasnya, private placement memberikan syarikat akses untuk membangunkan dana dengan cara yang lebih mudah dan cepat. Ini membolehkan tindak balas dan pelaksanaan strategi yang lebih cepat untuk syarikat.


< kembali ke laman blog utama