UMUM

11-APR-2021

4 Nama Baru Malaysia Dalam Senarai Terkaya Forbes 2021


 


Bulan ini, Forbes telah keluarkan senarai Billionaire dunia, individu terkaya 2021. Walaupun dunia dalam keadaan pandemik, senarai ini semakin panjang. Tahun ini kita dapat lihat sejumlah 2,755 nama dalam senarai - penambahan sebanyak 660 nama berbanding tahun lepas. 493 nama baru telah masuk dalam senarai - 210 sahaja dari China dan Hong Kong, 250 yang lain pula kembali masuk ke dalam senarai.

Di Malaysia pula, kita dapat lihat 4 nama baru yang termasuk dalam senarai Forbes individu terkaya dunia. Dalam post ini, kita akan berikan tumpuan kepada 4 individu tersebut.

G. Gnanalingam

g gnanalingam forbes terkaya senarai baru 2021
G. Gnanalingam. Gambar: Westports

G. Gnanalingam menduduki tangga ke-1833 individu terkaya dunia, dan ke-13 di Malaysia. Beliau merupakan pengerusi Wesports Holdings, pengendali pelabuhan kargo yang ditubuhkan bersama Ahmayuddin bin Ahmad. Wesport memiliki konsesi 60 tahun untuk mengendali pelabuhannya di Pulau Indah dan Pelabuhan Klang yang akan berakhir pada 2054.

Westports adalah pelabuhan utama di Malaysia dan merupakan pelabuhan kedua tersibuk di Asia Tenggara. Walaupun dunia menghadapi wabak Covid-19, aktiviti pelabuhan tidak terjejas, malah menjadi semakin penting untuk memastikan aktiviti import dan eksport kekal berhubung. Gnanalingam memiliki Westport melalui Pembinaan Redzai Sdn Bhd dan Semakin Ajaib Sdn Bhd. Secara tidak langsung, milikan Gnanalingam dalam Westport adalah sebanyak 45.52%.

Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei

brahmal tan yu yeh mr diy individu terkaya forbes 2021
Tan Yu Yeh (kanan) dan Brahmal Vasudevan. Gambar: NST

Anda tentu kenal syarikat Mr DIY yang baru tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia pada 2020. Sebelum tersenarai lagi, ia telah menjadi salah satu jenama yang sangat dikenali. Mr DIY mendominasi anggaran 30% bahagian pasaran dalam segmen perniagaan yang dijalankan. Sebelum penyenaraian sahaja, permodalan pasaran Mr DIY adalah pada RM 10 bilion. Setakat artikel ini ditulis, nilai Mr DIY telah pun meningkat ke RM 26.6 bilion, satu peningkatan sebanyak 160% sejak penyenaraian.

Mr DIY adalah sebuah perniagaan milik keluarga dengan milikan terbesar oleh dua adik beradik, Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei. Mereka memiliki pegangan dalam Mr DIY melalui Bee Family Limited. Di bawah struktur Bee Family Limited, terdapat pula Yeh Family (PTC) Limited dan WEI Future Capital Limited. Syarikat-syarikat ini adalah kepunyaan Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei dengan milikan masing-masing sebanyak 54.2% dan 32.8% di dalam Bee Family Limited. Yeh dan Wei masing-masing menduduki tangga ke-12 dan ke-17 individu terkaya Malaysia.

Tan Eng Kee

jutawan baru terkaya forbes malaysia 2021
Tan Eng Kee (kiri). Gambar: Greatech

Menduduki tangga ke-16 individu terkaya Malaysia ialah Tan Eng Kee yang merupakan pengasas syarikat teknologi perkilangan, Greatech. Syarikat ini sangat dikenali sejak kemunculannya dalam pasaran Bursa. Jualan Greatech mempunyai perkaitan dengan industri yang hangat kini, iaitu Solar dan kenderaan elektrik. Semenjak IPO, nilai permodalan pasaran Greatech telah naik sehingga 1800%, dari RM 382 juta kepada RM 7.5 bilion setakat artikel ini ditulis.

Sebelum menubuhkan Greatech, Tan Eng Kee memulakan kerjaya sebagai Production Planner dan kemudiannya Eksekutif Pemasaran di syarikat yang sama. Beliau menubuhkan Greatech pada tahun 1993 dengan penglibatan dalam pengeluaran komponen kejuruteraan. Kini, Greatech terlibat dalam industri semikonduktor, solar, peranti elektronik, sains hayat dan simpanan tenaga. Tan Eng Kee memiliki sejumlah besar pegangan sebanyak 74% dalam Greatech melalui GTECH Holdings Sdn Bhd.


< kembali ke laman blog utama