UMUM

19-APR-2021

15 Istilah dan Maksud Berkaitan Saham


 


Dalam dunia pelaburan saham, boleh ada banyak istilah-istilah yang agak asing bagi kita. Ada yang melibatkan berkaitan dengan pasaran saham, ada yang berkaitan strategi saham, ada juga berkaitan dengan istilah saham. Bursa Malaysia telah pun menghimpunkan sejumlah terminologi yang digunakan dalam pasaran. Dalam post kali ni, kita akan lihat terminologi atau istilah yang berkaitan dengan saham.

1. Share

maksud istilah saham

Saham secara umumnya adalah pegangan dalam sesebuah perusahaan. Namun apa yang kebiasaannya difahami sebagai saham adalah alat pelaburan di pasaran saham.

2. Balloting Shares

maksud istilah balloting shares

Permohonan IPO diagihkan mengikut undian. Saham undian merujuk kepada saham yang melalui proses undian ini.

3. Blue Chip

maksud istilah blue chip

Sesebuah saham boleh dikategorikan mengikut saiz permodalan pasaran syarikat. Blue Chip merupakan saham-saham terbesar dalam Bursa Malaysia.

4. Class of Shares

maksud istilah class of share

Sesetengah saham di luar negara dikelaskan mengikut hak bersuara seperti Class A dan Class B. Satu kelas ini akan mempunyai had dalam menyuarakan hak dan terutamanya pengambilalihan. Ini membolehkan syarikat mengawal milikan dan membuatkan proses pengambilalihan menjadi lebih susah.

5. Ordinary Shares

maksud istilah ordinary share

Saham yang didagangkan untuk memperoleh hak milikan ke atas syarikat. Secara ringkasnya, inilah saham yang kita biasa jual beli di pasaran.

6. Preference Shares

maksud istilah preference share

Sejenis saham yang diberi keutamaan dividen terlebih dahulu sebelum diberikan kepada saham biasa. Biasanya boleh diperoleh dari rights issue yang menawarkan saham keutamaan. Suatu yang lebih relevan kepada pelabur yang sukakan dividen.

7. Convertible Preference Shares

maksud istilah convertible preference share

Sejenis saham keutamaan yang disertakan pilihan kepada pemegang untuk ditukarkan kepada sebilangan saham biasa selepas tarikh yang ditentukan.

8. Cumulative Preferred Stock / Share

maksud istilah cumulative preferred stock

Sejenis saham keutamaan yang diperuntukkan untuk dibayar setiap kali pembayaran dividen. Sekiranya syarikat tidak membayar dividen pada suatu atau beberapa tempoh, ia berhutang dividen dengan pemegang saham ini selagi dividen tidak dibayar.

Sebagai contoh, apabila syarikat gagal membayar dividen 2 kali pada waktu yang sepatutnya, hutang dividen ini terkumpul buat 2 kali pembayaran. Sekiranya syarikat dapat bayar dividen untuk kali ketiga, ia perlu bayar dividen buat tempoh tersebut, ditambah dengan 2 dividen yang terhutang.

9. Underlying Share

maksud istilah underlying share

Saham yang menjadi pendasar kepada sesebuah indeks atau sekuriti yang dibentuk. Sebagai contoh, KLCI didasari saham-saham seperti Maybank, Top Glove, TNB, Axiata dan sebagainya.

10. Share Swap

maksud istilah share swap

Sebuah pertukaran aset ekuiti antara satu sama lain, biasanya dikaitkan dengan pemerolehan atau penggabungan syarikat. Ini membolehkan pegangan ekuiti antara kedua-dua pihak ini yang akan mengharapkan yang terbaik untuk satu sama lain.

11. Authorised Share

maksud istilah authorised share

Jumlah saham yang boleh diterbitkan bagi sesebuah syarikat apabila IPO.

12. Issued Shares

maksud istilah issued share

Jumlah saham yang diterbitkan. Syarikat kebiasaannya tidak menerbitkan saham mengikut authorised share iaitu jumlah maksimum saham yang boleh diterbitkan. Ini membolehkan syarikat dikembangkan lagi pada waktu akan datang melalui private placement, rights issue dan sebagainya.

13. Outstanding Shares

maksud istilah outstanding share

Jumlah kesemua saham yang dipegang sama ada oleh individu, institusi atau individu dalam syarikat seperti pengarah dan pekerja melalui ESOS. Istilah outstanding shares ni digunakan untuk mengira permodalan pasaran (market capitalisation), EPS dan sebagainya.

14. Treasury Shares

maksud istilah treasury share

Jumlah saham yang dimiliki oleh syarikat sendiri. Tidak dikira dalam pengiraan seperti permodalan pasaran, EPS dan sebagainya.

15. Float

maksud istilah float

Jumlah saham yang boleh dibeli di pasaran. Secara umumnya dikira dengan outstanding share, ditolak dengan saham milikan ahli syarikat seperti pengarah dan pekerja, dan juga institusi. Konsep keapungan ini menjadikan sesebuah saham itu volatile atau tidak. Secara umumnya, institusi akan elak saham yang mempunyai keapungan yang rendah kerana pertukaran tangan yang terhad. Pertukaran tangan yang terhad ini boleh menggerakkan pasaran dengan mudah, menjadikan ia berisiko sekiranya jualan berlaku.

Untuk merumuskan istilah 11 hingga 15, kita lihat contoh ini. Syarikat X boleh terbitkan sejumlah 200 juta saham (Authorised Share). Apabila IPO, sebanyak 100 juta saham sahaja yang diterbitkan (Issued Shares). Daripada jumlah ini, 10 juta dimiliki oleh syarikat (Treasury Stock / Shares). Baki sebanyak 90 juta boleh didagangkan di pasaran terbuka (Outstanding Shares). Sebahagian saham dimiliki oleh ahli syarikat seperti pengarah dan pekerja, dan sebahagiannya lagi dipegang oleh institusi, katakan jumlahnya 63 juta. Baki sebanyak 27 juta saham sahaja yang diapungkan di pasaran, iaitu 30% daripada 90 juta Outstanding Shares. Jumlah (Float) inilah yang boleh didagangkan di pasaran seharian.


< kembali ke laman blog utama