UMUM

29-MAR-2021

Apa Itu Saham?


 


Saham merupakan salah satu instrumen pelaburan yang boleh didapati di pasaran wang. Dalam konsep saham, anda boleh bayangkan menjalankan perniagaan bersama dengan rakan kongsi. Keuntungan dan kerugian sama-sama dikongsi, malah penambahbaikan dan cadangan juga boleh disampaikan antara rakan kongsi yang lain. Oleh itu, anda juga memiliki sebahagian daripada perniagaan yang dijalankan oleh syarikat tersebut.

apa itu saham ekuiti

Saham sebagai alat pelaburan

Secara umumnya, saham boleh dibeli untuk tujuan kenaikan modal ataupun pendapatan dividen. Sesebuah saham akan didagangkan pada harga tertentu. Bergantung kepada prestasi dan keyakinan pelabur terhadap syarikat, harga ini boleh naik dan turun. Untuk mendapat kenaikan modal, seorang pelabur itu akan beli saham syarikat pada harga yang rendah. Modal ini akan berkembang apabila harga saham syarikat semakin naik.

Sebagai menghargai kebersamaan pemegang saham dalam menjalani perniagaan, syarikat juga boleh mengumumkan dividen. Dividen kebiasaannya diberi apabila syarikat mencatatkan keuntungan. Bergantung kepada syarikat, ada yang berikan dividen pada jumlah yang besar, ada yang nilainya kecil. Pendapatan dividen ini kebiasaanya lebih merujuk kepada pelaburan jangka panjang.

Kenapa melabur saham?

Saham merupakan satu instrumen pelaburan yang paling berisiko. Namun, ia masih menjadi antara instrumen yang paling diminati oleh pelabur. Antara sebabnya adalah ia juga boleh memberikan pulangan yang paling lumayan. Di sinilah yang orang kata high risk, high reward.

Individu terkaya dunia juga kebiasaannya mempunyai aset dalam bentuk saham. Individu seperti Jeff Bezos, Mark Zuckerberg, Elon Musk dan sebagainya memiliki saham dalam syarikat mereka sendiri. Kenaikan harga saham syarikat mereka menjadikan ekuiti mereka lebih bernilai, seterusnya menaikkan nilai aset dan kekayaan mereka.

Di Malaysia, kita sendiri boleh lihat institusi-institusi seperti ASB, KWSP dan Tabung Haji melaburkan wang caruman ahli ke dalam pasaran saham. Institusi-institusi ini sememangnya ditubuhkan bagi tujuan simpanan dan pelaburan ahli untuk kegunaan kewangan di masa akan datang. Oleh itu, sekiranya kita melabur, kita menggunakan instrumen pelaburan yang sama dengan institusi-institusi ini. Bezanya kita melabur sendiri dengan modal yang dipegang, berbanding modal yang diuruskan oleh institusi ini.

Adakah saham patuh syariah?

Dalam melabur untuk menjadikan hidup kita lebih baik, satu aspek yang sudah tentu kita perlu titikberatkan adalah isu halal haram pelaburan tersebut. Adakah pelaburan saham itu sendiri patuh syariah? Satu rujukan utama yang anda boleh lihat ialah SC atau Securities Commission. SC merupakan badan yang diberikan mandat untuk mengawalselia aktiviti pelaburan di Malaysia. Mereka juga yang akan mengeluarkan senarai saham yang patuh dan tak patuh syariah.

Gambar: SC

Secara umumnya, pelaburan saham itu patuh syariah sekiranya anda membeli saham-saham patuh syariah. Untuk perbincangan lebih mendalam seperti sebab belian, tempoh belian, cara belian dan sebagainya, anda boleh rujuk tokoh-tokoh kewangan Islam yang berkaitan.

Penutup

Dalam berbicara tentang pelaburan, saham merupakan satu instrumen yang hampir susah untuk tidak dibincangkan. Ramai yang boleh menjana pendapatan dengan saham. Namun, tak sikit juga yang jatuh muflis sebab pelaburan saham ini. Ianya bergantung kepada ilmu dan cara pelaburan masing-masing. Untuk mengurangkan risiko, satu saranan boleh dibuat dan terpakai untuk apa-apa disiplin adalah untuk mendalami ilmu pelaburan saham.


< kembali ke laman blog utama