UMUM

6-DEC-2019

Widad Group - Penjaga Istana Negara


 


Beberapa bulan yang lalu, kerajaan ada menyatakan hasrat mereka untuk menjual lebuh raya paling utama di Malaysia iaitu PLUS. Hasrat ini disambut oleh pelbagai syarikat yang antaranya adalah Widad Business Group (WBG) dengan bidaan tertinggi.

PLUS Gambar: UEM

Sebenarnya anggapan bahawa Widad Group merupakan pembina lebuh raya PLUS adalah kurang tepat. Widad Business Group yang membida lebuh raya PLUS adalah kumpulan syarikat yang lebih besar dan beroperasi dalam pelbagai sektor dalam industri. Antara industri yang diceburi WBG adalah pembinaan, IFM dan rail melalui Widad Group Berhad, sektor teknologi dengan pegangan dalam Dataprep, dan Wardah Group dalam bidang kesihatan dan rawatan.

Maka pengumuman yang dibuat oleh WBG sedikit sebanyak memberikan spotlight kepada Widad Group. Syarikat ini sebenarnya mempunyai rekod yang baik dan juga boleh mendapat manfaat daripada pegangan PLUS oleh WBG sekiranya pengambil alihan tersebut menjadi kenyataan.

Selepas sahaja dari pengumuman tersebut, kita dapat tengok saham syarikat Widad dengan entah dari mana datangnya, menjadi begitu hangat. Saham ini yang didagang dari 22 sen pada awal bulan September 2019 menunjukkan penerbangan sehingga 52 sen pada penghujung November. Ini bersamaan dengan 136% peningkatan harga saham dalam masa tiga bulan.

Persoalannya sekarang, siapakan Widad Group ini? Bagaimana saham syarikat ini boleh naik dengan mendadak?

Widad Group Berhad

Syarikat Widad Group Berhad bermula dengan usaha Tan Sri Ikmal Opat Abdullah dalam bisnes pembinaan di Kedah. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2001, dan bermula dengan pembinaan jalan, tangki air dan pembentungan. Portfolio yang bagus dan projek yang dijayakan membolehkan Widad mendapatkan lagi kontrak dari agensi kerajaan, antaranya pembinaan sekolah awam, jambatan dan kompleks UTC.

Pada tahun 2011, Widad mula pelbagaikan portfolio ke dalam sektor Integrated Facility Management (IFM) melalui kontrak dengan JKR untuk Istana Negara dan seterusnya, JB Sentral. Pada hari ini, aktiviti IFM menjadi kegiatan utama Widad Group. Perkhidmatan untuk Istana Negara dalam portfolio juga dapat meningkatkan kredibiliti mereka dalam sektor ini. Pengurusan fasiliti untuk Istana Negara ini juga dapat memberikan mereka nilai kontrak yang besar untuk jangka masa yang agak panjang.

Istana Negara Gambar: Widad Group

Kejayaan Widad dalam aktiviti yang dijalankan menobatkan mereka sebagai 8 Kontraktor Terbaik Bumiputera dan 16 Kontraktor Terbaik di seluruh Malaysia. Mereka juga berjaya dianugerahi dengan penarafan “Kontraktor 5 Bintang” oleh CIDB. Selain itu, terdapat banyak juga anugerah yang dimenangi yang boleh dilihat di sini.

Pengambil alihan Ideal Jacobs

Sebenarnya kehadiran Widad Group di dalam Bursa memang kurang dirasai. Ini adalah kerana Widad memasuki senarai Bursa dengan Reverse Take-Over (RTO) syarikat Ideal Jacobs. Proses ini berlaku pada tahun 2018 dengan perbelanjaan sebanyak RM 520 juta. Terdapat juga sumber berita yang menyatakan hasrat Widad Group untuk menaiktaraf penyenaraian mereka ke dalam pasaran utama Bursa Malaysia menjelang tahun 2020.

Bangunan Widad Gambar: Widad Builders

Integrated Facility Management

Kebiasaan kontrak pengurusan hanya memerlukan perkhidmatan dalam suatu skop aktiviti yang khusus, contohnya penyelenggaraan, pembersihan, pengurusan dan sebagainya. Integrated Facility Management merupakan suatu pakej komprehensif yang meliputi pengurusan dalam semua skop pekerjaan untuk fasiliti yang menawarkan kontrak kerja. Sektor ini sangat niche dan tidak mempunyai ramai pemain.

Antara syarikat yang menjadi pemain dalam sektor ini adalah UEM, Widad, AWC dan GFM Services. UEM adalah pemain terbesar dalam sektor ini, manakala Widad menyatakan bahawa mereka adalah pemain 'baru nak up' untuk IFM. Dan prestasi Widad dalam operasi mereka sememangnya sangat memberangsangkan, terutamanya dalam aspek nilai kontrak yang dianugerahkan dan juga margin keuntungan.

Prestasi Kewangan Widad Group Berhad

Setakat 30 Jun 2019, order book Widad Group bernilai sebanyak RM 920 juta. Nilai ini membolehkan syarikat ini bertahan sehingga tahun 2022. Pendapatan pada tahun 2018 dicatatkan pada RM 289 juta dengan keuntungan sebanyak RM 74.6 juta. Nilai ini adalah bersamaan dengan margin keuntungan sebanyak 25.8 peratus.

Widad revenue Gambar: Laporan AGM Widad

Margin keuntungan Widad Group untuk segmen pembinaan dicatatkan pada 15.9%, manakala margin yang lebih tinggi dicatatkan untuk segmen IFM, iaitu sebanyak 44.9%. Widad Group sudah mempunyai beberapa perancangan untuk meluaskan lagi portfolio pembinaan dan IFM.

Perancangan Ke Hadapan

PLUS

Antara perkara yang ditunggu-tunggu ramai dalam masa terdekat adalah berita pengambil alihan lebuh raya PLUS dari Khazanah. Seperti yang dikatakan tadi, pengambil alihan ini ditawarkan oleh ibu syarikat kepada Widad Group. Setakat 31 Oktober 2019, mereka menawarkan RM 5.3 bilion untuk mengambil alih lebuh raya tersebut dengan 100% pegangan. Mereka juga menyatakan komitmen untuk mengurangkan bebanan masyarakat umum, antaranya dengan 18% pengurangan bayaran tol. Namun, belum ada kata putus mengenai keputusan ini.

Pembinaan

Selain berita yang melibatkan PLUS, peberapa projek pembinaan telah pun berada dalam perancangan untuk Widad Group. Pertamanya adalah projek dari syarikat seinduk (sister company) untuk reka, bina dan memajukan hospital swasta dengan nilai projek sebanyak RM 190.5 juta. Selain itu, mereka juga menerima projek sebagai subkontraktor untuk projek pelupusan sisa pepejal dengan nilai RM 120 juta.

IFM

Dalam segmen IFM, Widad berada dalam proses penbelian konsesi untuk kampus UiTM di Jasin. Konsesi ini boleh memberikan pulangan yang berulang untuk 14 tahun dengan nilai berjumlah RM 861.6 juta. Widad juga akan memasuki bisnes penyelenggaraan landasan kereta api dan menjangkakan sumbangan yang positif kepada syarikat pada masa akan datang.

Secara Umum

Widad banner Gambar: Widad Group

Projek-projek ini boleh meluaskan portfolio syarikat dalam pelbagai sektor. Rekod yang baik dengan agensi-agensi kerajaan berpotensi memberikan mereka kelebihan dalam mendapatkan projek-projek yang akan datang.

Namun, sebagai pelabur, kita tidak boleh juga menjadi terlalu optimis. Syarikat ini sebenarnya berada pada peringkat pembangunan dan memerlukan banyak pegangan tunai untuk pembiayaan projek. Maka di sini pentadbiran atasan memainkan peranan yang penting untuk memastikan syarikat ini berada pada landasan yang betul.


< kembali ke laman blog utama