UMUM

7-FEB-2022

Syarikat Konglomerat Terkenal dalam Dunia Perniagaan


 


Apa itu Konglomerat?

Perniagaan konglomerat merupakan syarikat utama yang memiliki beberapa anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai industri perniagaan. Syarikat-syarikat konglomerat ini adalah syarikat yang besar, justeru membolehkan mereka untuk memasuki pasaran industri pelbagai. Terdapat juga segelintir syarikat konglomerat yang bukan sahaja memiliki syarikat tertentu, malah membentuk keseluruhan buruh dan rantaian bekalan untuk produk-produk syarikat tersebut.

Syarikat konglomerat
Perniagaan konglomerat merupakan syarikat utama yang memiliki beberapa syarikat kecil

Secara ringkasnya, perniagaan konglomerat ini ialah syarikat utama yang memiliki beberapa syarikat kecil, dan juga di dalam industri pelbagai. Syarikat-syarikat kecil di bawah syarikat konglomerat ini beroperasi secara sendiri, namun, mereka perlu melaporkan kepada syarikat utama.

Bagaimana syarikat dianggap konglomerat?

Syarikat boleh dianggap sebagai konglomerat dengan pelbagai cara, antaranya melalui pemerolehan syarikat-syarikat kecil, perkembangan syarikat melalui pengstrukturan dan penyusunan semula syarikat utama, serta penerusan perniagaan keluarga atau perniagaan turun-temurun ke dalam sektor atau industri berbeza.

Bagaimana konglomerat terjadi
Syarikat konglomerat boleh terjadi melalui pemerolehan, perkembangan syarikat dan penerusan perniagaan.

Syarikat konglomerat ini terdapat di serata dunia, dan nama syarikat-syarikat ini juga kebanyakannya dikenali ramai.

Syarikat konglomerat terkenal di dunia

Syarikat konglomerat ini kebiasaannya adalah syarikat gergasi yang dikenali ramai. Kebanyakan negara juga mempunyai syarikat konglomerat tersendiri. Antara syarikat konglomerat yang terkenal adalah:

1. Amerika Syarikat

Amerika Syarikat adalah 'rumah' kepada syarikat-syarikat gergasi seperti Nike, 3M, AT&T dan lain-lain. Jadi, tidak hairanlah negara ini merupakan salah satu negara yang mempunyai banyak syarikat konglomerat. Antaranya ialah Johnson & Johnson, The Walt Disney Company, dan Berkshire Hathaway.

2. Korea Selatan

Di Korea Selatan, 'chaebol' merupakan perniagaan konglomerat yang diuruskan dan dikawal oleh sesuatu individu atau sesebuah keluarga. Kebanyakan chaebol adalah perniagaan yang diwarisi turun-temurun. Perniagaan chaebol yang besar dan dikenali ramai adalah seperti Samsung, Hyundai dan LG.

3. Jepun

Berbeza pula di Jepun, perniagaan konglomerat diwakili oleh 'keiretsu' dan 'zaibatsu'. Keiretsu merupakan hubungan perniagaan dan pemegang saham. Dalam erti lain, keiretsu adalah sebuah kumpulan perniagaan.

Manakala zaibatsu pula merupakan sebuah perniagaan konglomerat milik keluarga pada zaman empayar Jepun. Antara syarikat-syarikat konglomerat yang terkenal di Jepun adalah seperti Mitsui, Yamaha, dan juga Nintendo.

4. Malaysia

Negara kita juga tidak terkecuali dari memiliki perniagaan konglomerat. Syarikat Axiata dan Petronas adalah antara syarikat konglomerat yang dikenali ramai. Selain itu, terdapat juga syarikat konglomerat yang juga merupakan perniagaan milik keluarga seperti Berjaya Group dan IOI Group.

Rumusan

Setiap jenis perniagaan mempunyai risiko tersendiri, tidak kira lah sama ada syarikat kecil, ataupun syarikat konglomerat. Seandainya anda ingin melabur ke dalam mana-mana perniagaan konglomerat tertentu, pastikan anda membuat kajian dengan mendalam terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan.


< kembali ke laman blog utama