AGM

26-DEC-2019

Sunway - Bina, Milik dan Urus sebagai Model Bisnes


 


Sunway City

Sunway Berhad merupakan kumpulan yang tak asing lagi di Malaysia. Siapa yang tak kenal Sunway Pyramid? Pusat beli belah bertemakan Mesir purba dan besar sampai tak larat nak jalan ni dibina dan dimiliki oleh Sunway. Kumpulan Sunway ni merupakan konglomerat yang menjalankan pembangunan bandar, rawatan kesihatan, pendidikan, perindustrian dan juga pembinaan. Ada dua lagi anak syarikat Sunway yang tersenarai awam, iaitu Sunway Construction dan Sunway REIT.

Sunway beroperasi berdasarkan model bisnes “Bina, Milik, Urus”, di mana keseluruhan rantaian nilai hartanah (property value chain) diuruskan oleh Sunway dan anggotanya. Sesebuah kitaran projek bermula dengan penambakan dan pelan utama, diikuti dengan rekabentuk dan pembinaan, pemasaran dan jualan, pengurusan hartanah, dan akhirnya kitaran semula kewangan melalui Sunway REIT apabila projek selesai.

Pencapaian tahun 2018

Pelbagai pencapaian telah dicapai oleh Sunway sepanjang tahun 2018. Kita akan lihat berdasarkan empat segmen utama iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pembinaan dan pelaburan strategik.

Hartanah terjual sebanyak RM 1.9 bil

Kumpulan Sunway telah pun melancarkan beberapa hartanah iaitu GEOLake Residence, Citrine Lakehomes, dan Sunway Velocity TWO yang bernilai RM2.1 bil. Dua hartanah dibina di luar negara iaitu di China dan Singapore yang belum termasuk dalam laporan kewangan di segmen Property Development. Tahun 2018 mencatatkan jualan sebanyak RM1.9 bil dan sasaran untuk tahun 2019 adalah RM1.3 bil. Tiga hartanah baru bakal dilancarkan pada tahun 2019, dan empat lagi bakal dilancarkan untuk masa akan datang.

Sunway GEOLake

Jumlah aset REIT bernilai RM 9.9 bil

Pelaburan hartanah dan REIT meliputi bangunan komersial seperti Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang dan Sunway Big Box Village di Sunway Iskandar. Selain itu, ada juga aset seperti pejabat, hotel dan lain-lain dalam pegangan REIT kumpulan Sunway. Jumlah aset yang diuruskan adalah berjumlah RM 7.3 bil untuk REIT dan RM 2.6 bil untuk pelaburan hartanah. Segmen ini memberikan pendapatan yang stabil dan berulang kepada kumpulan Sunway.

Pelaburan strategik pelbagai segmen

Pelaburan strategik dalam Sunway terdiri daripada beberapa segmen iaitu dagangan dan pembuatan, kuari, bahan binaan bangunan, rawatan kesihatan dan pusat peranginan. Jumlah kesemua subsegmen ini menyumbangkan RM2.1 bil kepada kumpulan Sunway. Untuk segmen rawatan kesihatan, kumpulan Sunway bakal melihat Sunway Medical Centre Velocity dibuka pada pertengahan 2019 dan Sunway Medical Centre Seberang Jaya pada hujung 2020.

Sunway Medical Centre Velocity

Pembinaan penyumbang terbesar dari segmen tersendiri

Segmen pembinaan adalah segmen yang besar dalam kumpulan Sunway, dan anak syarikatnya Sunway Construction juga merupakan sebuah syarikat yang besar. Pendapatan dalam kumpulan ini adalah yang terbesar sebagai segmennya sendiri. Setakat penghujung Mac 2019, buku pesanan telah dicatatkan pada RM 5.7 bil. Antara projek yang telah dibina pada tahun 2018 adalah International School of Kuala Lumpur, Gas District Cooling Plant, Putrajaya dan Parcel F, Putrajaya.

Prestasi kewangan 2018

Sunway mencatatkan prestasi kewangan yang kuat. Daripada pendapatan RM 5.2 bil tahun lepas, Sunway masih boleh mengembangkan angka ini kepada RM 5.4 bil untuk tahun ini. PATMI ataupun Profit After Tax and Minority Interest juga meningkat daripada RM628 juta kepada RM658 juta. Walaupun keuntungan secara umumnya adalah besar, margin untuk keuntungan kasar pula menurun. Ini adalah berikutan dengan persaingan pasaran. Apabila banyak pemain pasaran, masing-masing kurangkan harga untuk mendapatkan kelebihan.

Prestasi dari segi pembinaan hartanah (Property Development) pula mencatatkan penurunan dari tahun-tahun sebelum ini. Menurut lembaga pengarah, terdapat dua kontrak pembinaan luar negara iaitu China dan Singapore yang belum termasuk dalam laporan kewangan. Ini adalah berdasarkan amalan MFRS 15 yang menyatakan keuntungan ini hanya boleh dikenalpasti selepas projek disiapkan. MFRS merupakan piawai laporan kewangan Malaysia yang kini digunapakai oleh syarikat-syarikat tersenarai awam.

Selain Property Development, segmen lain mencatatkan prestasi yang meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Di bawah ini adalah rumusan laporan mengikut segmen yang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu Property Development, Property Investment, Construction dan Strategic Investment. Property Investment dan Strategic Investment meliputi beberapa lagi subseksyen yang boleh dilihat pada petunjuk dalam rajah di bawah.

Sunway Financial Summary 2018

Melangkah ke hadapan

Ketegangan ekonomi

Kumpulan Sunway menjangka keadaan yang mencabar di masa yang akan datang berdasarkan ekonomi tempatan yang sederhana dan ketegangan ekonomi yang berlarutan antara US dan China. Selain itu, kos untuk menjalankan bisnes juga meningkat, ditambah buruk dengan persaingan yang semakin kuat dan permintaan yang berkurang.

Ke arah digitalisasi kerja

Strategi Sunway ke hadapan adalan untuk menganalisa trend pasaran dan melabur ke dalam R&D untuk kekal ke hadapan dalam pasaran. Mereka juga mengaplikasi digitalisasi untuk bisnes mereka supaya dapat percepatkan proses kerja.

Projek yang akan datang

Sunway juga mempunyai perancangan untuk meluaskan tapak perniagaan ke ASEAN dan India yang semakin popular kebelakangan ini. Antara perancangan yang sedang diusahakan di India adalah proses tender untuk projek jalan raya dan jalan kereta api. Di Singapura, mereka sedang memasuki bisnes pemasangan cerucuk (piling) dan precast concrete. Di Malaysia, antara usaha yang mereka sedang jalankan adalah untuk mendapatkan projek LSS3 yang bernilai RM2 bil melalui tender.


< kembali ke laman blog utama