UMUM

25-APR-2021

Penjelajahan Melalui Pelancongan Angkasa Bukan Perkara Mustahil


 


Penjelajahan ke angkasa lepas sudah menjadi impian terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Pasti ada antaranya yang ingin menggapai bintang di angkasa. Eksplorasi dan penempatan di angkasa bukanlah perkara mustahil, malah seorang jutawan dari Amerika, Dennis Tito telah membuktikan menjadi pelancong pertama di dunia. Denis telah menghabiskan masa selama seminggu di ruang angkasa setelah mengunjungi Stesen Angkasa Antarabangsa melalui Russian Space Agency.

Konsep pelancongan angkasa dianggap sebagai pelik dan kedengaran seakan dongeng dalam cerita sains fiksyen. Namun semua perkara ini bakal menjadi realiti dan nyata. Beberapa syarikat terkemuka giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa untuk merealisasikan impian ini.

bumi

Blue Origin

Blue Origin adalah salah satu syarikat perniagaan aeroangkasa yang menumpukan penerbangan pelancongan angkasa. Syarikat ini berpusat di Kent, Washington yang diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon Jeff Bezos. Mengikut konsep dan idea yang dinyatakan oleh Blue Origin, ia akan menumpukan perjalanan pergi dan balik dalam jangka masa pendek. Pada peringkat permulaan, pelancong akan berlepas secara menegak dengan menggunakan roket New Shepard ke ruang angkasa.

New Shepard telah direka dan menjalani ujian pelepasan sebanyak 16 kali sejak diperkenalkan pada tahun 2015. Roket ini berupaya membawa penumpang mencapai ketinggian lebih daripada 340,000 kaki (lebih 100 kilometer). Pada penghujung roket tersebut, terdapat kapsul penumpang yang dapat memuatkan sehingga enam orang. Dipendekkan cerita, dalam kapsul tersebut dilengkapi tingkap yang luas dan tempat duduk premium serta selesa. Apabila berada di ruang angkasa, pelancong dapat menikmati pemandangan Bumi yang menakjubkan.

Pada peringkat seterusnya, kapsul ini akan menghabiskan masa beberapa minit dalam graviti sifar sebelum kembali ke Bumi. Semasa perjalanan pulang ke bumi, roket dan kapsul digunakan kembali. Akhirnya roket tersebut akan mendarat secara menegak menggunakan alat kawalan set parachutes.

blue origin
Gambar: blueorigin

Orion Span

Orion Span merupakan sebuah syarikat pelancongan ruang angkasa yang berpengkalan di California, Amerika Syarikat yang ditubuhkan oleh Frank Bunger. Orion telah menjalankan dan mengumumkan sebuah rancangan sebuah stesen angkasa yang komersial serta premium. Stesen ini akan berfungsi sebagai sebuah hotel yang mampu memuatkan sehingga enam orang dalam sesuatu tempoh masa meliputi empat orang pelancong dan dua orang krew operasi. Hotel premium ini dikenali sebagai "The Aurora Space Station".

Walaupun masih dalam perancangan, Orion telah berjaya menjual beberapa tempahan hotel dalam beberapa bulan. Jumlah kos tempahan dikenakan sebanyak USD 8.4 juta (RM 34.5 juta) bagi seorang penumpang. Pada masa ini, Orion Span mengatakan pihaknya berharap dapat memberikan perkhidmatan kepada pelanggan pertama yang membuat pembayaran ke Stesen Angkasa Aurora pada tahun 2022.

Namun disebabkan kekurangan dana, projek ini terpaksa ditamatkan. Hal ini menyebabkan, Orion terpaksa memulangkan semula deposit USD 80,000 yang telah dibayar oleh para pelanggan. Melalui laman web rasmi pihak Orion mengucapkan terima kasih atas sokongan selama ini. Sekiranya projek ini dilaksanakan, The Aurora Space Station akan menjadi hotel pertama di ruang angkasa.

aurora station
Gambar: space.com

Virgin Galactic

Virgin Galactic merupakan salah satu syarikat penerbangan angkasa yang berasal dari Amerika kepunyaan Virgin Group. Syarikat ini diasaskan oleh usahawan terkemuka Sir Richard Branson yang sebelum ini telah mengasaskan beberapa buah syarikat antaranya Virgin Group, Virgin Atlantic dan Virgin Orbit.

Idea penubuhan ini telah diasaskan oleh Richard untuk mengembangkan penerbangan komersial kapal angkasa. Syarikat ini akan menyediakan perkhidmatan melalui tiket penerbangan ke angkasa kepada pelancong luar angkasa melalui beberapa buah model kapal terbang seperti White Knight Two, VSS Imagine, Inspire. VSS Imagine akan melancarkan penerbangan ujian menjelang Mei 2021. Kini hampir seramai 600 orang dari 60 buah negara telah membayar deposit penerbangan.

Sehingga kini, Galactic telah menerima jumlah deposit sebanyak USD 80 juta (RM340 juta). Hal ini menyebabkan, potensi pendapatan syarikat meningkat sehingga USD 120 juta (RM510 juta). Menurut Galactic, penerbangan ini akan mengambil masa 90 minit dan mampu mencapai melebihi paras ketinggian 272,000 kaki. Untuk memberikan pemandangan yang menarik, VSS Imagine dilengkapi pelbagai tingkap yang luas. Terutamanya, ketika graviti berada di tahap sifar, ini membolehkan para penumpang bergerak bebas dan melihat pemandangan di ruang angkasa.

vss imagine pengangkutan angkasa
VSS Imagine merupakan salah satu pengangkutan angkasa yang akan digunakan. Gambar: virgingalactic.com

SpaceX

Apabila sebut sahaja mengenai SpaceX pasti kita akan mengenali mengenai pengasasnya, Elon Musk yang merupakan seorang jutawan yang memiliki beberapa buah syarikat seperti Tesla dan The Boring Company. SpaceX adalah salah satu syarikat aeroangkasa terkemuka di dunia yang berpengkalan di Hawthorne, California di Amerika Syarikat.

crew dragon v2
Elon Musk memperkenalkan kapal angkasa kapsul Crew Dragon V2 pada tahun 2014. Gambar: cnet.com

Disebabkan timbulnya inspirasi dalam perniagaan pelancongan ruang angkasa, SpaceX telah merancang dalam jangka masa panjang berhasrat untuk tidak hanya menempatkan manusia di Marikh. Malah ingin mewujudkan penempatan manusia tinggal secara tetap di planet ini. SpaceX belum mengumumkan strategi penetapan harga rasmi untuk penjelajahan ke bulan atau Marikh serta syarikat ini belum mempunyai senarai menunggu yang aktif.

Pada tahun 2018, Elon Musk menyatakan jutawan daripada Jepun Yusaku Maezwa telah membeli slot penjelajahan seramai 8 orang ke bulan. SpaceX tidak menyatakan jumlah pembayaran tersebut, tetapi ia melibatkan pembayaran yang tinggi. Pada awal Bulan Mac Yusaku telah membuka permohonan dan berkongsi link di Twitter kepada orang ramai yang berminat menemaninya ke Bulan.

Misi ini akan dikenali "DearMoon"dan bakal menjelajah pada tahun 2023. Pemohon hanya perlu memohon tanpa melibatkan sebarang pembayaran. Penjelajahan ini akan menggunakan kapal SpaceX Starship yang masih dalam pembangunan.

yusaku maezawa elon musk

Jutawan Jepun Yusaku Maezawa bersama Elon Musk. Gambar: businessinsider


< kembali ke laman blog utama