UMUM

15-JAN-2021

Elon Musk Pencetus Legasi Teknologi


 


Disebalik kejayaan sesebuah syarikat, pasti adanya seseorang yang menaikkan kegemilangan syarikat tersebut. Produk Apple terkenal dengan Steve Job, Tesla terkenal dengan imej Elon Musk. Setiap kali keluarnya produk baharu dari Tesla Motor pastinya terpaparnya imej ini. Tahukah anda, Elon Musk bukan sahaja terlibat dalam industri automatif kenderaan, malah beliau terlibat dalam pelbagai industri. Siapakah sebenarnya beliau?

elon musk spaceX tesla the boring company

Pencipta pelbagai produk

Elon Musk merupakan jurutera dan usahawan teknologi. Beliau memegang kerakyatan Afrika Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat. Sebelum terlibat dengan Tesla Motors, beliau telah mengasaskan pelbagai syarikat antaranya Zip2, Paypal, dan SpaceX.

Zip 2

Elon Musk dan abangnya Kimbal mula melihat potensi ketika dunia internet mula berkembang pada tahun 90-an. Elon Musk telah mengambil peluang ini dan sanggup berhenti daripada pengajian di Stanford University dalam bidang PhD. Beliau dan abangnya telah meminjam modal sebanyak $28,000 daripada ayahnya untuk menubuhkan syarikat Zip2, syarikat membuat perisian web pada tahun 1995.

Beliau telah memfokuskan perniagaan Zip2 untuk syarikat surat khabar yang ingin beralih ke arah akhbar digital seperti The New York Times dan Chicago Tribune. Menjelang tahun 1999 Zip2 telah dijual kepada syarikat Compaq sebanyak $307 juta.

Paypal

Pada mulanya, syarikat ini dikenali sebagai X.com sehingga dijenamakan dengan menggunakan nama Paypal pada tahun 2001. X.com adalah sebuah syarikat pembayaran mel elektronik dan perkhidmatan niaga dalam talian.

Beliau telah menggunakan modal hasil penjualan Zip2 sebanyak AS$10 juta. Kemudian syarikat ini telah bergabung dengan Confinity, syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembayaran dalam talian. Dari sinilah nama X.com ini ditukar menjadi Paypal.

SpaceX

Diasaskan pada tahun 2002 yang berkonsepkan teknologi yang mempunyai visi dan misi dalam dunia penerokaan angkasa lepas. Elon Musk merupakan CEO bagi SpaceX dan objektif syarikat tertubuh untuk membangunkan teknologi untuk eksplorasi angkasa pada kos yang rendah dan penjelajahan ke planet Marikh. Pada mulanya SpaceX terpaksa bersaing dengan syarikat Boeing dan Lockheed yang telah lama memonopoli industri ini.

Kini Space X telah mendapat kontrak daripada NASA sebanyak $1.6 bilion untuk menghantar bekalan makanan, perubatan dan peralatan ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Kejayaan terbesar mereka adalah penghasilan roket Falcon Heavy yang dikatakan murah dan mampu setanding kualiti roket SLS milik NASA.

spaceX Gambar: qz.com

The Boring Company (TBC)

Elon Musk bukan sahaja melibatkan diri dalam industri kenderaan elektrik. Malah beliau telah menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan penggerudian terowong dan penyelidikan melibatkan sistem pengangkutan dalam terowong. TBC dimiliki sepenuhnya oleh beliau dengan pegangan ekuiti sebanyak 90% dan selebihnya dimiliki oleh SpaceX.

Beliau telah mencadangkan satu penyelidikan yang dikenali sebagai hyperloop. Ia adalah satu teknologi dalam sistem pengangkutan bawah tanah yang boleh bergerak sepanjang 700 batu bersamaan 1,126 kilometer tanpa menggunakan roda.

boring tunnel exit Gambar: Boring Company

SolarCity

SolarCity Corporation merupakan salah satu anak syarikat Tesla. Syarikat ini menjalankan perniagaan berasaskan tenaga solar dan menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat, antaranya Panasonic. Pada asasnya syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Peter dan Lyndon Rive yang mendapat cadangan daripada sepupu mereka iaitu Elon Musk.

Pada tahun 2016, berlakunya pergabungan dengan Tesla dengan pembelian sebanyak $2.6 bilion. Penggabungan ini selaras dengan idea Elon Musk untuk mengurangkan carbon dan meningkatkan penggunaan elektrik solar. Setiap produk dan servis dijalankan melalui laman web Tesla. Hala tuju SolarCity adalah seiring dengan kesedaran global yang lebih cenderung terhadap tenaga hijau. Di Malaysia, kita boleh lihat senarai syarikat yang mempunyai hala tuju yang sama di sektor Green Technology.

Tesla

Tesla Motors sebenarnya syarikat Amerika Syarikat diasaskan oleh jurutera bernama Martin Eberhard dan Marc Tarpening pada 1 Julai 2003 sebagai pengeluar kereta sport elektrik canggih. Jenama Tesla diambil sempena nama Nikola Tesla, seorang pereka, ahli fizik, jurutera mekanik dan elektrik. Tesla menjalankan perniagaan mencipta, menjual kereta elektrik serta komponen rangkaian kuasa kenderaan elektrik.

Ramai yang menggangap Elon Musk adalah pengasas Tesla Motors. Tapi seperti yang diterangkan tadi, Elon Musk bukan pengasas Tesla. Pada tahun 2014 Elon Musk menjadi penyumbang dana terbesar dalam Tesla sehingga beliau dilantik sebagai CEO. Beliau merupakan individu yang berjaya menaikkan imej dan memastikan pengeluar kereta elektrik Tesla terus berdaya saing di pasaran.

Dengan kemajuan kereta sekarang, banyak komponen semikonduktor yang diperlukan dalam pembuatan kereta. Antara syarikat yang boleh dilihat dalam bidang semikonduktor kereta adalah di sektor Semikonduktor dan LED.

Tesla mencapai kejayaan dalam masa singkat

Tanpa disangka (atau mungkin ada yang menyangka), pada bulan Jun syarikat Tesla telah muncul sebagai pendahulu dan paling bernilai sebagai syarikat automatik. Gelaran ini dianugerah berdasarkan nilai pasaran semasa jenama berkenaan. Kejayaan ini telah mengatasi kuasa besar dalam dunia automatif seperti Toyota dan Volkswagen. Walaupun dunia menghadapi ancaman pandemik Covid-19, ia tidak menggugat prestasi syarikat Tesla.

tesla market leader Gambar: Visual Capitalist

Dalam tempoh setahun saham Tesla telah mengalami kenaikan sebanyak lima kali ganda dari AS$230 (RM985) kepada AS$1,100 (RM4714). Ini menyebabkan pasaran modal Tesla mencecah AS$205 Bilion (RM 878.8 bilion). Kebanyakan penganalisis berasa pelik dan bingung bagaimana nilai syarikat Tesla boleh mendahului Toyota.

pergerakan saham tesla Gambar: Bloomberg

Tesla hanya menghasilkan sebanyak 500,000 unit kenderaan sahaja berbanding Toyota yang mengeluarkan sebanyak 10 juta unit setahun. Namun, saham Tesla telah berjaya mendahului saham terkemuka seperti Disney, Coca-Cola dan Exxon Mobil. Para pelabur mula mempercayai kejayaan dihasilkan Tesla dalam pembuatan kenderaan elektrik, yang mampu mengurangkan pencemaran dan mengekalkan kelestarian alam.

Dari zero kepada jutawan

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan sebanyak $28,000 dolar ketika melibatkan diri dalam bidang perniagaan, hari ini beliau merupakan individu terkaya di dunia. Menurut Bloomberg, kekayaan Elon Musk bernilai AS$185 bilion (RM747.86 bilion) ketika artikel ini ditulis. Beliau telah mengatasi kekayaan pengasas syarikat peruncitan online Amazon iaitu Jeff Bezos yang kekayaannya berada pada nilai AS$184.6 billion (RM746.25 bilion). Tiga perempat kekayaan Elon Musk diperoleh daripada peningkatan saham Tesla.


< kembali ke laman blog utama