UMUM

18-APR-2021

Individu Di Sebalik Legasi Amazon, Jeff Bezos


 


Pengenalan laman sesawang seperti e-dagang semakin mendapat perhatian di serata dunia melibatkan pembelian secara online. Di Malaysia terdapat banyak syarikat e-dagang dikenali seperti Shopee, Lazada, Zara dan lain-lain.

Tetapi tahukah anda, terdapat sebuah syarikat e-dagang Amazon semakin mendapat perhatian sejak diperkenalkan oleh pengasasnya Jeff Bezos pada tahun 1994. Siapa sangka Bezos yang merupakan anak kelahiran New Mexico ini berjaya menempah nama sebagai orang terkaya di dunia.

Siapa Jeff Bezos?

Nama asal Jeff Bezos merupakan Jeffrey Preston Jorgensen yang dilahirkan pada 12 Januari 1964 disebuah kawasan Albuquerque, New Mexico. Ketika dilahirkan, ibunya masih dalam belasan tahun dan perkahwinan tersebut hanya bertahan selama setahun. Pada tahun 1968 ibunya telah berkahwin dengan bapa tirinya Mike Bezos seorang imigran dari Cuba.

jeff bezos remaja
Jeff Bezos ketika zaman remaja. Gambar: cnbc.com

Kehidupan di Texas

Dipendekkan cerita, nama keluarganya telah ditukar kepada "Bezos". Keluarga ini telah berpindah ke Houston disebabkan bapa tirinya telah diterima bekerja sebagai jurutera di Syarikat Exxon. Sepanjang usia 4 hingga 18 tahun, Bezos banyak meluangkan masa musim panas dengan datuk dan nenek seperti mengembala lembu, biri-biri dan membaiki kincir angin.

Nenek moyang ibunya merupakan peneroka terawal di Texas. Bezos telah menjadikan datuknya Pretson Gise sebagai suri teladan dalam hidupnya. Pada satu ucapan umum tahun 2010, Bezos telah mengatakan Gise mengajarnya "it's harder to be kind than clever."

Minat mendalam dalam bidang kejuruteraan

Bakat Bezos dalam bidang kejuruteraan semakin terserlah sejak dari kecil. Beliau telah menjalankan beberapa ujikaji misalnya memasang penggera elektrik dan menjadikan stor rumahnya sebagai makmal projek sains. Atas minat yang mendalam, Bezos telah menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dengan memasuki Universiti Princeton dalam jurusan Kejuruteraan Sains Komputer dan Elektrik.

princeton university
Gambar : princeton.edu

Bermulanya Kerjaya

Selepas tamat pengajian di Universiti Princeton pada tahun 1986, beliau telah menerima tawaran bekerja di beberapa syarikat di Intel, Bell Labs dan Andersen Consulting.

FITEL

Kerjaya terawalnya bermula di Syarikat Fitel yang berasal dari Taiwan menjalankan perusahaan telekomunikasi fintech. Beliau ditugaskan di bahagian jaringan telekomunikasi dalam perdagangan antarabangsa. Bezos telah dinaikkan pangkat sebagai ketua pembangunan dan perkhidmatan pelanggan.

Bankers Trust

Pada tahun 1988, beliau telah beralih ke industri kewangan perbankan sebagai pengurus produk di Bankers Trust. Syarikat ini berfungsi dengan menjalankan perkhidmatan kewangan perbankan, pinjaman dan pengurusan dana.

D. E. Shaw & Co

Selepas 2 tahun di Bankers Trust, Bezos telah berhijrah ke D. E. Shaw & Co sebuah firma menjalankan analisis sains komputer terhadap pasaran saham. Ketika berumur 30, Bezos telah memegang jawatan naib presiden termuda dalam firma pelaburan ini.

Walaupon mempunyai masa depan yang cerah dan gaji lumayan dalam bidang kewangan, Bezos telah mengambil langkah berisiko ke dunia e-dagang. Beliau telah berhenti dari pekerjaannya pada tahun 1994 dan berpindah ke Seattle. Pemberhentian ini merupakan titik permulaan bagaimana legasi Amazon bermula.

Tercetusnya Legasi Amazon

Peningkatan gelembung internet sehingga 2,300 peratus era tahun 90-an telah memberi peluang Bezos menceburi perniagaan baharu. Beliau mendapati pada era ini kurangnya kewujudan perniagaan dalam talian internet. Bezos telah mengambil risiko dengan menubukan syarikat yang bernama Amazon pada tahun 1994. Syarikat ini menjalankan perniagaan secara talian melibatkan penjualan buku.

jeff bezos amazon ketika muda
Gambar : bbc.com

Dalam masa 30 hari selepas pengujian beta laman sesawang internet Amazon, ia berjaya menjual buku ke 50 buah negeri dan 45 buah negara asing. Selepas dua bulan, penjualan Amazon mencapai USD 20,000 seminggu. Pada tahun 1997, syarikat Amazon telah disenaraikan secara Initial Public Offering (IPO) sebanyak USD 18 seunit saham di NASDAQ menggunakan simbol AMZN.

Kini market capital Amazon telah mencecah USD 1.7 trilion dengan 70 peratus jualan banyak tertumpu di Amerika Syarikat. Amazon bukan sahaja terlibat dalam penjualan buku, malah meluaskan pasaran dalam penjualan barangan elektronik, runcit, pakaian, permainan video dan Kindle Direct Publishing. Perkhidmatan talian ini membolehkan pengarang dan penerbit bebas menyediakan buku dalam talian Kedai Kindle.

Pegangan Syarikat

Blue Origin

Kegemilangan dan kejayaan Amazon telah mendorong Bezos mengasaskan sebuah lagi syarikat berkonsepkan penjelajahan angkasa lepas. Beliau telah menubuhkan syarikat aeorangkasa Blue Origin pada tahun 2000. Nama syarikat diambil ilham daripada planet biru, Bumi sebagai titik asal. Ia menjalankan kajian dengan menggunakan teknologi yang memfokuskan tenaga roket dan pendaratan menegak (VTVL) untuk akses ke ruang orbit angkasa.

blue origin
Pelancaran roket New Sherpard pada awal tahun 2016. Gambar: Blue Origin

Penyelidikan ini dijalankan di sebuah kawasan seluas 26 hektar di Seattle dan fasiliti pelancaran roket peribadi di West Texas. Penyelidikan ini akan memberikan perkhidmatan kepada golongan yang berminat menjelajah angkasa lepas. Menurut Reuters, pada bulan Julai 2018 syarikat ini akan mengenakan bayaran seorang penumpang sebanyak USD 200,000 sehingga USD 300,000.

Apa yang menariknya, syarikat Blue Origin telah mencapai pencapaian membanggakan dan melakar sejarah pada tahun 2015 apabila menjadi salah satu syarikat komersial pertama yang berjaya melancar roket yang boleh digunakan semula. Blue origin telah melancarkan 21 pelepasan roket sejak diperkenalkan roket New Sherpand pada tahun 2015.

The Washington Post

Syarikat akhbar ini ditubuhkan pada tahun 1877 di Amerika Syarikat yang menyampaikan maklumat isu semasa. Pada awalnya, syarikat ini dimiliki oleh Granham Family melalui pembelian pada tahun 1933. Akhirnya pada tahun 2013, Granham Family telah menjual syarikat akhbar ini kepada Bezos sebanyak USD 250 juta. Bezos telah membuat pembelian sebagai syarikat swasta bukan melalui nama Amazon tetapi atas namanya sendiri. Atas dasar hormat dan kagum Bezos telah mengekalkan segala pengurusan terdahulu The Washington Post.

the washington post
Gambar : The Washington Post

Kekayaan Semakin Meningkat

Perjalanan Jeff Bezos menjadi jutawan bermula apabila syarikatnya mula disenaraikan melalui IPO. Penyenaraian ini menyebabkan Bezos memperoleh kekayaan sebanyak USD 54 juta. Pada awal 1999, Bezos telah mencapai status Biliionaire pada usia muda 35 tahun. Namun pada tahun 6 Mac 2018, buat pertama kalinya Bezos diumumkan secara rasminya golongan terkaya di dunia selepas memintas Bill Gates dengan kekayaan sebanyak USD 112 bilion.

Kita boleh lihat kekayaan Bezos semakin meningkat dan bertambah sepanjang tahun. Malah baru-baru ini menurut Fobes, Bezos berjaya mengekalkan gelaran manusia paling kaya di dunia buat kali keempat. Walaupun dicabar sengit oleh pengasas Tesla iaitu Elon Musk, Bezos telah mencatatkan kekayaan sebanyak USD 177 bilion ketika Forbes menyusun senarai individu terkaya 2021.

Selepas 27 tahun menerajui sebagai CEO Amazon, akhirnya Bezos akan melepaskan jawatannya kepada Andy Jassy. Kini beliau bakal memegang jawatan pengerusi eksekutif Amazon. Jawatan ini akan menyebabkan beliau mempunyai banyak masa menumpukan perhatian terhadap kepentingan yang lain seperti di Blue Origin.


< kembali ke laman blog utama