UMUM

19-NOV-2020

Penemuan Vaksin dan Dunia Normal yang Dinantikan


 


Pada 9 November baru-baru ini, syarikat ubatan Pfizer dengan kerjasama BioNTech telah mengumumkan bahawa vaksin yang mereka hasilkan menunjukkan keberkesanan lebih daripada 90%. Berikutan daripada berita ini, pasaran menunjukkan reaksi yang optimis terhadap pembukaan semula ekonomi. Antara kesan yang terbesar boleh dilihat pada kenaikan sektor pelancongan, minyak dan gas, dan perbankan. Jim Cramer menyifatkan berita ini sebagai satu halaman baru dalam pasaran.

Vaksin yang dihasilkan

Vaksin dihasilkan Pfizer dan BioNTech ialah vaksin jenis mRNA. Sifatnya yang tidak stabil memerlukan ia dibawa dalam simpanan sejuk -70 darjah Celcius. Apabila tiba di pusat rawatan, ia boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 5 hari. Ianya satu keadaan yang sangat kritikal dari segi logistik.

pfizer x biontech, dan moderna

Syarikat yang agak muda dalam industri ubatan, Moderna turut mengemukakan keputusan vaksin mereka. Keberkesanan setinggi 95% telah dilaporkan untuk vaksin keluaran mereka. Dari segi logistik pula, suhu simpanan vaksin ini lebih mesra industri iaitu pada -20 darjah Celcius.

Perjalanan masih jauh

Hasil penemuan vaksin ini masih separa, dan memerlukan pengesahan US Food and Drug Administration (FDA). Apabila lulus, Pfizer menjangka hanya dapat mengeluarkan 50 juta dos vaksin menjelang akhir tahun 2020. Jumlah ini dapat memberi manfaat kepada 25 juta orang berdasarkan jadual 2 dos untuk setiap seorang. Menjelang 2021 pula, mereka menjangka boleh mengeluarkan sehingga 1.3 bilion dos. Masih tak cukup untuk rawatan 7.7 bilion penduduk bumi.

Moderna pula menjangka mampu membekal sehingga 20 juta dos menjelang akhir tahun 2020. Sama juga dengan vaksin Pfizer dan BioNTech, vaksin ini adalah berjadual untuk 2 dos setiap seorang.

vaksin gavi covax disertai Malaysia

Di Malaysia pula, kerajaan telah berunding dengan sebilangan pengeluar vaksin Covid-19. Setakat ini, kerajaan cenderung ke arah kerjasama dengan Gavi dan WHO untuk menghasilkan vaksin COVAX. Setakat perkembangan terbaru, COVAX akan dapat dikeluarkan sebanyak 2 bilion dos menjelang penghujung 2021.

Dalam masa sebulan lagi, negara-negara di hemisfera utara, antaranya Amerika akan memasuki musim salji. Cuaca ini bakal menjadikan penyebaran wabak semakin teruk. Maka syarikat pengeluar vaksin sedang berlumba dengan masa untuk mengeluarkan vaksin mereka ke pasaran secara massa.

Vaksin oleh syarikat tersenarai Malaysia

Setakat ini, kita tidak nampak vaksin Covid-19 ini dihasilkan oleh syarikat Malaysia. Namun, syarikat-syarikat ini mempunyai peranan tersendiri dalam pengeluaran vaksin. Antaranya sebagai pengedar atau pembotolan vaksin. Senarai syarikat ini adalah seperti di bawah:

Syarikat Kerjasama
Bintai Kinden Corporation Berhad Generex Biotechnology Corp
Solution Engineering Holdings CanSino Biologics
Ho Wah Genting Berhad E-Mo Biology Inc
Kanger International Berhad Sinopharm
Duopharma Biotech Berhad Vaksin pilihan kerajaan - COVAX
Pharmaniaga Berhad Vaksin pilihan kerajaan - COVAX

Reaksi pasaran

Berita vaksin ini sedikit sebanyak membawa reaksi yang mendadak dalam pasaran. Di kala kes yang mendadak di Amerika, berita ini adalah suatu harapan yang sangat positif. Pasaran Amerika bertindak seolah-olah ekonomi boleh berjalan kembali seperti biasa sebelum Covid-19 mengubah dunia.

Sektor yang selama ini mengalami kelembapan seperti sektor tenaga (baca: oil and gas) dan perbankan mula menunjukkan kenaikan untuk dua hari bermula hari Isnin ketika pengumuman dikeluarkan. Namun, kenaikan ini hanya bersifat sementara, dan mula perlahan pada hari Rabu. Hari berikutnya, kita dapat lihat pasaran yang normal dan lebih realistik.

Walaupun tak dinafikan waktu itu mungkin akan tiba, ekonomi global akan mengambil masa untuk pulih. Axel Weber, pengerusi bank pelaburan Switzerland UBS mengatakan sekurang-kurangnya setahun diperlukan untuk dunia kembali ke tahap sebelum krisis ini.

Persiapan untuk dunia normal

Melihat ke hadapan, kita dapat lihat semakin banyak perkembangan baik tentang vaksin Covid-19 ini. Dunia menjadi semakin bersedia untuk hari di mana wabak ini tidak menjadi kerisauan di kala kita menjalankan aktiviti harian. Apabila ia berlaku, tiada lagi sekatan pergerakan PKP. Kereta akan semakin banyak di atas jalan, kedai menerima lebih banyak kunjungan, dan keperluan perkhidmatan untuk kerja dari rumah akan mula berkurang.

Photo by Zul Khairi Hariri from Pexels Gambar: Zul Khairi Hariri

Antara saham yang bakal mendapat manfaat telah dikumpulkan dalam sektor Post-MCO. Perkhidmatan yang menerima manfaat daripada trend Work-From-Home pula berkemungkinan akan menerima permintaan yang berkurang.


< kembali ke laman blog utama