IPO

14-JUN-2021

Nestcon - Membangunkan Fasiliti IBS Dengan Dana IPO


 


nestcon berhad ipo thumbnail

Satu lagi syarikat pembinaan dan kejuruteraan akan memasuki pasaran Bursa Malaysia melalui IPO, iaitu Nestcon Berhad. Permohonan IPO Nestcon ini dah dibuka dan butirannya adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.28
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE Market
Market Capitalisation:
RM 180.27 juta
Nisbah PE:
12.61 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
17 Jun 2021
Cabutan saham:
21 Jun 2021
Tarikh penyenaraian:
29 Jun 2021

Ini adalah IPO yang kedua tahun 2021 bagi sektor industri pembinaan akan disenaraikan di Pasaran Bursa Malaysia.

Bisnes Nestcon

Nestcon Berhad merupakan sebuah syarikat pembinaan yang sudah beroperasi selama 10 tahun. Nestcon mempunyai dua anak syarikat dikenali Nestcon Builders iaitu terlibat dalam industri pembinaan bangunan dan Nestcon Infra menjalankan aktiviti industri kejuruteraan awam serta infrastruktur.

nestcon projek infrastruktur
Antara projek infrastruktur kejuruteraan yang dilaksanakan oleh Nestcon. Gambar: Nestcon

Sepanjang tahun 2017 sehingga 2020, sebahagian besar pendapatan diperoleh melalui segmen pembinaan bangunan yang meliputi 55% daripada jumlah pendapatan. Memandang ke hadapan, Nestcon menjangkakan 73.5% pendapatan akan diperoleh daripada segmen pembinaan. Dalam segmen ini sahaja, nilai buku pesanan belum tertunai (unbilled order book) telah pun mencapai RM 891.4 juta setakat laporan terbaru di prospektus.

Mereka merupakan kontraktor gred G7 yang berdaftar dengan CIDB dibawah pengkhususan B04 dalam industri pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam serta infrastruktur seperti earthworks, jalan raya dan saliran. Gred 7 adalah gred teratas dalam senarai pendaftaran gred CIDB yang membolehkan pihak kontraktor membida tender tanpa had nilai projek.

nestcon projek pembinaan
Gambar: Nestcon

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Apabila PKP dilaksanakan, beberapa projek yang mengalami kelewatan dan penangguhan dari tarikh asal siap. Antaranya adalah Projek Grand, Projek Scarletz, Panorama Projek, Mossaz dan Paxtonz, projek laluan kereta api dan projek infrastruktur jalan raya di Damansara Perdana. Penangguhan ini menyebabkan pendapatan syarikat yang sepatutnya diperolehi pada tahun 2020 akan diterima pada tahun 2021.

Walaupun tercetusnya pandemik Covid-19 dan pengenalan PKP, PKP 2.0, PKP 3.0 serta FMCO, syarikat ini tidak akan terjejas dari segi bekalan penawaran bahan binaan sekiranya salah satu pembekal Nestcon terpaksa menghentikan operasi. Hal ini disebabkan Nestcon tidak menumpukan kepada satu pembekal sahaja. Malah, mempunyai alternatif sebanyak 39 pembekal dan 32 subkontraktor yang memenuhi standard piawaian syarikat.

Prestasi kewangan

Nestcon menunjukkan pendapatan dan keuntungan yang menaik bagi tahun 2017 sehingga 2019. Walaupun pendapatan menurun pada tahun 2020 disebabkan faktor pandemik Covid-19, namun pendapatan dan keuntungan masih meningkat jika dibandingkan pada tahun 2017.

Pada tahun 2020, ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM 344.5 juta berbanding RM 190.9 juta tahun 2017. Margin keuntungan adalah lebih baik pada tahun 2020 sebanyak 4.2% berbanding 2019 sebanyak 3.7%.

prestasi kewangan nestcon berhad

Secara keseluruhannya, nilai pendapatan dalam segmen pembinaan bangunan dan infrastruktur kejuruteraan awam mengalami kenaikan sepanjang tahun laporan kewangan ini. Walaupun mengalami kemerosotan sedikit pada tahun 2020 berbanding tahun 2019 disebabkan faktor pandemik.

Namun, prestasi pendapatan segmen ini tahun 2020 lebih baik jika dibandingkan pada tahun 2017. Manakala, pendapatan segmen infrastruktur kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan drastik dari RM 21.77 juta (11.4%) pada tahun 2017 kepada RM 145.03 juta (42.1%) tahun 2020. Selain itu, pendapatan lain yang diterima melibatkan sewaan mesin pembinaan.

nestcon pendapatan segmen

Strategi IPO dan masa depan

Nestcon akan mengumpul dana sebanyak RM 45.07 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembinaan fasiliti IBS 6.00 13.3
Pembelian mesin dan peralatan infrastruktur kejuruteraan awam 6.62 14.7
Pembelian teknologi software dan sistem 1.00 2.2
Modal kerja 10.95 24.3
Bayaran hutang bank 16.50 36.6
Perbelanjaan penyenaraian 4.00 8.9
Jumlah 45.07 100.0

Hampir 30% daripada modal IPO akan dibelanjakan dalam perbelanjaan modal sebanyak RM 13.62 juta. Perbelanjaan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pembinaan fasiliti IBS, pembelian mesin dan peralatan, pembelian teknologi software dan sistem.

Menjangkakan segmen kejuruteraan awam akan berkembang, Nestcon merancang membeli mesin dan peralatan infrastruktur seperti excavator, off road dump trucks dan off road mining dump trucks. Pembelian RM 6.62 juta ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap mesin dan peralatan yang disewa dalam menjalankan projek kejuruteraan awam.

Fasiliti IBS merupakan satu teknologi yang menggunakan pelbagai komponen terutamanya bahan binaan yang dihasilkan terlebih dahulu di kilang. Bahan binaan ini akan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kemudiannya akan dicantumkan di tapak pembinaan. Nestcon menjangkakan dengan adanya fasiliti IBS berupaya meningkatkan kualiti, mengurangkan waktu penghantaran, menjimatkan kos pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

RM 16.5 juta diperuntukkan untuk pembayaran hutang bank. Bayaran ini dijangka dapat menjimatkan syarikat daripada faedah tahunan berjumlah RM 1.08 juta. Dari segi modal kerja, Nestcon memperuntukkan RM 10.95 juta untuk pembayaran kepada perkhidmatan subkontraktor dan peralatan bahan binaan.

Analisis bisnes dan industri Nestcon

Dua aktiviti utama Nestcon adalah industri pembinaan bangunan dan industri kejuruteraan awam serta infrastruktur. Kita akan lihat satu per satu aktiviti perniagaan ini, bermula dengan segmen industri pembinaan bangunan.

Industri Pembinaan Bangunan

Berdasarkan data Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) dan Protege Associates, kadar pertumbuhan bagi industri pembinaan untuk tahun 2020 telah mencatatkan penguncupan sebanyak 16.2% bersamaan RM 24.80 billion berbanding RM 29.59 bilion pada tahun 2019.

Untuk meningkatkan sektor pembinaan, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai langkah dan inisiatif dalam Belanjawan 2021:

Melalui inisiatif ini, industri pembinaan bangunan dijangka mencapai RM 31.75 bilion pada tahun 2025 yang mewakili CAGR sebanyak 5.1% dalam tempoh 2021 sehingga 2025.

Industri Kejuruteraan Awam dan Infrastruktur

Kejuruteraan awam merujuk kepada pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, bangunan utiliti, jambatan landasan keretapi, empangan, lapangan terbang dan lain-lain. Selain itu, ia merangkumi perkhidmatan seperti eartworks, piling works, sistem pembentungan dan saliran dan lain-lain. Pentumbuhan industri ini mengalami kemerosotan sebanyak 22.0% sebanyak RM 28.59 bilion pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan RM 36.66 bilion.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 15 bilion terhadap projek pengangkutan seperti Lebuhraya Pan Borneo, MRT 3 di Lembah Klang dan lain-lain. Pelbagai lagi peruntukan yang diumumkan dalam projek infrastruktur yang berjumlah RM 54.58 bilion. Melalui inisiatif ini, industri kejuruteraan awam dijangka akan meningkat sebanyak RM 44.17 bilion pada tahun 2025.

statistik data industri kejuruteraan awam
Gambar: Propektus IPO Nestcon

Persaingan

Nestcon adalah syarikat kontraktor Gred 7 yang berdaftar di bawah pengkhususan B04. G7 merupakan satu gred tertinggi dalam sistem yang berdaftar dengan CIDB. Jika dilihat jumlah syarikat yang berdaftar G7 ini bukanlah sedikit. Berdasarkan laporan propektus sehingga 8 Mei 2021, sebanyak 3,057 dan 1,647 syarikat Gred G7 yang didaftarkan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Malah dalam Gred B04 sebanyak 123,388 buah syarikat yang didaftarkan dalam G1 sehingga G7 yang terlibat dalam pembinaan bangunan dan infrastruktur kejuruteraan awam. Dalam jumlah ini terdapat 8,823 syarikat terlibat dalam kategori G7. Oleh itu, wujudnya persaingan yang tinggi terhadap sektor pasaran pembinaan dalam kalangan pemain industri ini.

Di bawah ini adalah syarikat yang tersenarai awam dalam industri sama dengan Nestcon berdasarkan jumlah pendapatan yang diperolehi.

Syarikat Market Cap (RM Juta) NP Margin Nisbah PE
GDB 571 6.8 19.9
MGB 448 1.7 20.7
TCS 181 6.7 12.8
Nestcon 180.27 4.2 12.6
INTA 173 2.8 15.4

Perbincangan

Jika dibandingkan dengan pemain industri pembinaan yang lain, Nestcon merupakan pemain industri yang agak kecil dengan permodalan pasaran sebanyak RM 180.27 juta. Melihat secara keseluruhan juga, industri pembinaan ini mempunyai margin keuntungan yang agak kecil.

Berdasarkan laporan kewangan 2020 dalam propektus, syarikat ini dinilai pada nisbah PE 12.6. Nisbah ini lebih rendah jika dibandingkan dengan nisbah PE median sektor pembinaan pada nisbah 16.8. Sekiranya kita menjangkakan syarikat ini berkembang sekurang-kurangnya ke tahap median industri, maka kita boleh jangkakan ada lagi ruang kenaikan (upside).

Nestcon menunjukkan prestasi kewangan yang memberangsangkan sepanjang tempoh dalam laporan tersebut. Kita dapat lihat prestasi ini terus meningkat terutamanya dalam segmen infrastruktur kejuruteraan awam. Nestcon juga berhasrat untuk melibatkan diri dalam penyediaan kerja tanah dan infrastruktur segmen tenaga yang boleh diperbaharui seperti projek tenaga solar fotovoltaik (LSSPV). Ia berkemungkinan memberi kelebihan kepada Nestcon yang mempunyai pengkhususan B04 dengan CIDB.


< kembali ke laman blog utama