IPO

14-APR-2022

MN Holdings - Meningkatkan Pertumbuhan Syarikat dengan Dana IPO


 


MN Holdings

MN Holdings Berhad terlibat dengan penyediaan perkhidmatan pembinaan utiliti infrastruktur dan penyelesaian. Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.21
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 85.84 juta
Nisbah PE:
10.55
Permohonan ditutup:
15 April 2022
Cabutan saham:
18 April 2022
Tarikh penyenaraian:
28 April 2022

Bisnes MN Holdings

MN Holdings Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dengan penyediaan perkhidmatan kejuruteraan utiliti infrastruktur yang merangkumi perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah, serta perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan pencawang. Pelanggan mereka terutamanya daripada kontraktor utama untuk projek kuasa, pemaju hartanah dan industri yang memerlukan perkhidmatan dan penyelesaian untuk membolehkan bekalan kuasa ke lokasi atau premis tertentu.

Kedudukan MN Holdings dalam industri adalah seperti digambarkan di bawah:

Kedudukan MN Holdings dalam industri
Gambar: Prospektus syarikat

MN Holdings mempunyai lebih daripada 13 tahun pengalaman beroperasi dalam industri pembinaan utiliti kuasa di Malaysia. Kedua-dua anak syarikatnya merupakan kontraktor G7 bagi kategori Bangunan (B), Kejuruteraan Awam (CE) dan Kejuruteraan Mekanikal (ME).

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Disebabkan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan termasuklah operasi perniagaan syarikat MN Holdings. Oleh itu, beberapa projek syarikat yang sedang berjalan terpaksa ditangguhkan sementara.

Semasa PKP pertama dilaksanakan, MN Holdings mengalami gangguan bekalan bahan, alatan dan perkakas serta perkhidmatan subkontraktor selama 6 minggu. Sungguhpun begitu, kelewatan bekalan dan bahan ini tidak mengakibatkan sebarang gangguan perniagaan yang besar. Hal ini kerana kerja-kerja pembinaan syarikat turut ditangguhkan sementara pada masa yang sama.

Walaupun wabak COVID-19 dan pengenaan pelbagai fasa PKP, MN Holdings tidak mengalami sebarang pembatalan dalam kontrak. MN Holdings juga tidak mengalami kesan negatif keatas kewangan syarikat daripada penggantungan operasi dan gangguan bekalan bahan dan alatan semasa PKP pertama.

Malah, pendapatan MN Holdings meningkat daripada RM 65.68 juta pada FYE 2019 kepada RM 68.01 juta pada FYE 2020. Peningkatan ini disumbang terutamanya daripada segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah disebabkan oleh aktiviti pembinaan bagi kontrak tertentu yang sedang berjalan bermula pada FYE 2019 serta kontrak baharu yang diperoleh pada FYE 2020.

Prestasi kewangan

Secara keseluruhan, pendapatan dan keuntungan MN Holdings meningkat secara konsisten dari tahun 2018 hingga 2021. Pendapatan MN Holdings menunjukkan peningkatan dalam tahun kewangan terkini, iaitu dengan RM 115.2 juta berbanding tahun 2020 pada RM 68.01 juta. Tahun 2021 ini juga merupakan rekod pendapatan dan keuntungan tahunan tertinggi di dalam tempoh 4 tahun kewangan pemerhatian.

Meskipun pada tahun 2020 negara mengalami wabak pandemik COVID-19, namun pendapatan syarikat masih meningkat jika dibandingkan pada tahun sebelumnya 2019. Namun, keuntungan selepas cukai (PAT) mengalami sedikit penurunan iaitu RM 5.66 juta berbanding RM 6.37 juta pada 2019.

Prestasi kewangan MN Holdings
Prestasi kewangan MN Holdings

Pendapatan diperoleh oleh MN Holdings dibahagikan kepada dua segmen, iaitu segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang. Penyumbang utama pendapatan syarikat adalah daripada kontrak yang diterima daripada dua segmen ini.

Pada FYE 2020, kenaikan pendapatan banyak disumbangkan daripada dua segmen iaitu RM 54.78 juta untuk segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah dan RM 13.23 juta untuk kejuruteraan pencawang. Kenaikan ini diteruskan lagi pada FYE 2021 dengan menjadikan jumlah pendapatan bagi segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah sebanyak RM 92.78 juta dan RM 22.42 juta bagi kejuruteraan pencawang untuk tahun 2021.

Pendapatan mengikut segmen
Pendapatan mengikut segmen

Secara keseluruhan, segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat iaitu sebanyak 80.54%, manakala bagi segmen kejuruteraan pencawang menyumbang 19.46% daripada jumlah keseluruhan pendapatan syarikat MN Holdings.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 17.17 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Modal pelaburan perniagaan 5.84 34.02
Pembayaran balik pinjaman bank 4.0 23.27
Modal kerja am 4.33 25.24
Perbelanjaan penyenaraian 3.0 17.47
Jumlah 17.17 100.0

Jika dilihat dari jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan dana yang diperolehi dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk modal pelaburan perniagaan syarikat. Modal pelaburan perniagaan sebanyak RM 5.84 juta mewakili 34.02% daripada jumlah dana IPO tersebut akan dimanfaatkan untuk membeli pelbagai mesin dan peralatan iaitu 6 biji mesin HDD, 6 buah lori, 1 mesin pemantauan gas dan 3 biji pump hydraulic elektrik.

Selain itu, RM 4 juta iaitu bersamaan 23.27% akan digunakan untuk pembayaran pinjaman bank. Dari segi modal kerja, MN Holdings meperuntukkan RM 4.33 juta iaitu mewakili 25.24% daripada dana IPO untuk bayaran kepada subkontraktor dan pembekal, serta kos penyelenggaran. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri MN Holdings

MN Holdings ialah penyedia perkhidmatan pembinaan utiliti infrastruktur dan penyelesaian di Malaysia dengan lebih 13 tahun pengalaman. Operasi perniagaan syarikat dianggap penting untuk menyokong syarikat utiliti dalam meluaskan liputan bekalan kuasa ke kawasan baharu, dan menyediakan bekala kuasa berterusan ke lokasi tertentu.

Industri infrastruktur utiliti kuasa

Utiliti ialah perkhidmatan infrastruktur yang disediakan kepada pengguna, seperti elektrik, gas berpaip, air serta perkhidmatan komunikasi. Projek utiliti pula merujuk kepada projek pembinaan di mana reka bentuk, pembinaan, pemasangan, pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur utiliti turut disediakan.

Syarikat utiliti biasanya melibatkan syarikat kejuruteraan pihak ketiga seperti MN Holdings Berhad, dimana ia bertujuan untuk melaksanakan reka bentuk dan pembangunan infrastruktur penghantaran dan pengedaran kepada pengguna kediaman. Bukan sahaja pengguna seperti kita, malah pemaju hartanah dan industri besar juga menggunakan perkhidmatan syarikat ini untuk mendirikan pencawang elektrik, memasang saluran paip atau kabel di dalam premis mereka.

Saiz industri dan potensi pertumbuhan

Menurut laporan IMR, pasaran pembinaan utiliti kuasa di Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 12.4% daripada RM 5.7 bilion pada 2016 kepada RM 10.3 bilion pada 2021, berdasarkan pelaburan modal pada penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik.

MN Holdings menyediakan perkhidmatannya dalam kedua-dua segmen untuk projek utiliti kuasa di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Berdasarkan pelaburan modal yang dinyatakan, pasaran infrastruktur utiliti kuasa di Semenanjung Malaysia dan Sabah meningkat pada CAGR sebanyak 6.1% daripada RM 5.4 bilion pada 2016 kepada RM 7.3 bilion pada 2021.

Dalam laporan IMR juga ada menyatakan bahawa anggaran sekitar RM 20 bilion akan diperuntukkan dalam perbelanjaan modal bagi penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di Semananjung Malaysia dan Sabah. Daripada peruntukan tadi, kira-kira RM 11.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan modal bagi tahun 2022.

Perbelanjaan modal untuk penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik
Perbelanjaaan modal untuk penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di Malaysia. Gambar: Prospektus syarikat

Berdasarkan data dalam prospektus syarikat, penggunaan elektrik di Malaysia meningkat daripada tahun 2015 sehingga 2019. Pada tahun 2020, penggunaan elektrik sedikit menurun disebabkan PKP yang mengakibatkan aktiviti perniagaan terganggu.

Penggunaan elektrik adalah pemacu utama bagi industri bekalan elektrik. Justeru, ia juga merangsang pelaburan dalam infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pengedaran, di mana MN Holdings turut terlibat. Seperti yang dinyatakan dalam laporan IMR, dalam jangka panjang, permintaan terhadap tenaga elektrik akan terus berkembang didorong daripada pertumbuhan ekonomi masa depan, dasar Kerajaan serta pertumbuhan penduduk.

Persaing bisnes

MN Holdings melalui 2 anak syarikatnya iaitu Mutu Nusantara Sdn Bhd dan MN Power Transmission Sdn Bhd terlibat dalam industri infrastruktur utiliti kuasa di Malaysia. Kedua-dua anak syarikat merupakan kontraktor G7 yang berdaftar di bawah kategori Bangunan (B), Kejuruteraan Awam (CE) dan Kejuruteraan Mekanikal (ME).

Antara persaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan MN Holdings telah disenaraikan dalam prospektus berikut:

Pesaing bagi segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah

Pesaing bagi segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah

Pesaing bagi segmen kejuruteraan pencawang
Pesaing bagi segmen kejuruteraan pencawang

Jika dilihat dalam gambar di atas, terdapat pesaingan yang tinggi terhadap sektor infrastruktur utiliti kuasa dalam kalangan pemain industri. Di bawah ini pula adalah perbandingan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam industri sama dengan MN Holdings berdasarkan permodalan pasaran (market cap).

Antara syarikat berikut, PESTECH merupakan pesaing rapat syarikat MN Holdings. MN Holdings mempunyai bisnes segmen yang agak sama dengan syarikat PESTECH. PESTECH ini juga terlibat dalam perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan utiliti kuasa, pembuatan, pemasangan serta pengujian infrastruktur kuasa elektrik.

Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam industri sama dengan MN Holdings

Syarikat Market Cap (RM Juta)
SLVEST 667
PESTECH 615
SAMAIDEN 231
ROHAS 125
MNHDLG 85.84

Perbincangan

Walaupun ada penangguhan kerja-kerja semasa PKP pertama, sektor pembinaan utiliti kuasa di Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan yang meningkat iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 12.4% daripada RM 5.7 bilion pada 2016 kepada RM 10.3 bilion pada 2021. Seperti yang dinyatakan dalam laporan IMR, pasaran sektor utiliti kuasa ini berkemungkinan dijangka untuk berkembang pada masa akan datang didorong daripada permintaan penggunaan elektrik yang tinggi, peningkatan perbelanjaan modal yang diperuntukkan dan juga pertumbuhan penduduk.

Melihat secara keseluruhannya, MN Holdings mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM 85.84 juta. Permodalan pasaran ini agak kecil, jika dibandingkan dengan pesaingnya. Bagi prestasi kewangan pula, syarikat ini menunjukkan pendapatan yang memberangsangkan sepanjang tempoh dalam laporan tersebut. Kita dapat lihat prestasi ini terus meningkat terutamanya dalam segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.

Melalui IPO ini, MN Holdings menunjukkan jumlah besar dana akan digunakan untuk menambah mesin dan peralatan syarikat untuk mengembangkan skala projek. MN Holdings juga berhasrat untuk melibatkan diri dalam segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah yang lain, iaitu pengagihan air paip dan pembetungan. Hal ini menunjukkan langkah yang positif oleh syarikat untuk mengembankan lagi perniagaan mereka. Namun, syarikat perlu membuktikan keberkesanan selepas penyenaraian di Bursa Malaysia.


< kembali ke laman blog utama