UMUM

24-NOV-2020

Memahami Dividen dan Cara untuk Menerimanya


 


Dividen adalah salah satu cara syarikat menghargai pemegang saham yang melabur ke dalam syarikat mereka. Dalam perspektif lain, anda sebagai pelabur yang ingin melihat syarikat semakin berjaya ingin juga merasa sebahagian daripada keuntungan tersebut. Salah satu manfaat melabur dalam syarikat yang bagus adalah anda boleh dapatkan keuntungan dalam bentuk kenaikan harga saham dan dalam masa yang sama, menerima dividen dari syarikat. Dalam post kali ini, kita akan mendalami beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang dividen.

Dividen dapat mengukur kekuatan syarikat

Dividen itu sendiri bermaksud agihan sebahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham. Dalam erti kata lain, syarikat yang membayar dividen mempunyai lebihan kewangan. Lebihan kewangan inilah yang diberi kepada pemegang saham syarikat.

Rekod pemberian dividen merupakan salah satu kaedah untuk mengenalpasti syarikat yang kukuh dari segi kewangan. Di iSaham, anda boleh lihat rekod pemberian dividen di laman saham di bahagian Fundamental, tab Dividend.

kkb dividen rekod Gambar: iSaham/KKB

Kita dah sebutkan tadi bahawa syarikat yang berikan dividen adalah syarikat untung. Namun, ada juga syarikat yang cuba menjaga air muka dengan berikan dividen walaupun dalam kerugian. Adakalanya tindakan ini melibatkan pinjaman dengan bank. Ini bukanlah tindakan yang bagus, maka anda perlu peka terhadap tindakan syarikat yang anda laburkan.

Ada satu isu. Kadang-kadang ada syarikat boleh dapat prestasi bagus, dan boleh bagi dividen tinggi. Tapi tahun lain prestasi dah menurun dan tak bagi dividen. Macam mana nak dapatkan senarai syarikat yang konsisten bagi dividen? Boleh gunakan screener Birds of Bursa.

Bagaimana nak dapatkan dividen

Kebiasaannya, dividen diberikan dalam bentuk tunai dan akan disalurkan ke akaun bank yang anda telah daftarkan ketika membuka akaun CDS. Anda tak perlu pegang saham sehingga genap setahun untuk layak mendapatkan dividen. Cukup sekadar membeli sehari sebelum Ex-Date yang diumumkan untuk layak mendapatkan dividen. Pada pagi Ex-Date, anda boleh terus jual pegangan saham tadi dan masih layak untuk mendapatkan dividen yang diumumkan.

iSaham screener upcoming dividends

Anda boleh gunakan screener Upcoming Dividends Screener untuk dapatkan senarai saham yang akan memberikan dividen dalam masa terdekat. Perhatikan pada column Ex-Date yang merupakan tarikh tutup bagi kelayakan penerimaan dividen ini. Beli saham ini selewat-lewatnya sehari sebelum Ex-Date. Nilai dividen pula boleh dilihat pada column Value yang memaparkan nilai dividen dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM).

Cara pemberian Dividen

Berdasarkan screener tadi, anda mungkin akan jumpa istilah seperti Final dividend, Interim dividend dan sebagainya. Dividen boleh diberikan secara sekali setahun atau berkala mengikut separa tahunan atau suku tahunan. Anda boleh baca post ini untuk memahami lebih lanjut tentang istilah-istilah tadi.

malaysia coins upward curve pattern

Pengiraan Dividen

Cara mengira dividen adalah agak mudah, iaitu nilai dividen sesaham didarabkan dengan jumlah pegangan. Sebagai contoh, melihat pada KKB yang memberikan sebanyak RM 0.06 sesaham, dan anda memegang sebanyak 30 lot (3000 unit). Pengiraan dividen adalah seperti berikut:

RM 0.06/unit x 3000 unit
= RM 180

Kesan dividen pada saham

Bila dengar beli sehari jual esok pun dapat dividen memang dengar macam menarik - macam boleh dapat dividen percuma. Sebenarnya tak semudah itu. Anda perlu fahamkan dahulu kesan dividen terhadap harga saham.

Pada hari Ex-Date, harga saham akan dianjak kebelakang sebanyak nilai dividen. Mari kita lihat contoh situasi di bawah untuk gambaran yang berlaku:

Harga tutup sebelum Ex-Date Harga buka pada Ex-Date
RM 1.66 RM 1.60

Dalam contoh di atas, kita boleh andaikan anda beli saham ini pada harga tutup pasaran sehari sebelum Ex-Date pada RM 1.66. Pada keesokan hari iaitu Ex-Date, pasaran akan tunjukkan seolah-olah saham ini ditutup pada harga RM1.60. Ini adalah kerana harga RM 1.66 tadi dianjak kebelakang ke harga RM 1.60 sebanyak nilai dividen iaitu 6 sen.

Dari segi mekanisma, pelabur yang membeli pada harga RM 1.66 ini tidak mencatatkan kerugian kerana penurunan ini dikontra sebanyak dividen yang diterima. Secara keseluruhan juga, saham yang mengeluarkan dividen ini dianjakkan harganya kerana sejumlah wang telah dikeluarkan dari pegangan syarikat. Kesan selepas dividen ini agak neutral di mana harga saham boleh bergerak naik atau turun seperti biasa.

Menilai dividen dari harga saham

Sekiranya anda ingin mendapatkan nilai dividen yang tinggi bagi setiap sen yang dilaburkan, anda boleh lihat pada dividend yield. Dividend Yield ini dikira seperti berikut:

Dividend Yield = Dividen diberi sesaham / Harga Semasa
dividend yield formula by iSaham

Pengiraan dividend yield mengambil kira berapakah nilai dividen jika dibandingkan dengan harga saham. Maka, dividend yield yang lebih tinggi dapat berikan kita nilai dividen yang lebih tinggi bagi setiap sen harga saham. Di iSaham, anda boleh lihat syarikat yang berikan dividend yield yang tinggi dalam screener High Dividend Yield.

Kelebihan pelabur yang telah memegang saham dividen ini lebih lama, ada yang dapat beli saham-saham ini pada harga yang lebih rendah. Mereka dapat membeli saham dengan unit yang lebih banyak ketika harga rendah, dan nikmati dividen ketika syarikat umumkan pemberian dividen.


< kembali ke laman blog utama