UMUM

27-FEB-2020

Jenis Dividen yang Ditawarkan Syarikat


 


Dividen adalah salah satu cara syarikat berkongsi keuntungan kepada pemegang-pemegang saham syarikat. Seperti istilah yang digunakan, perkongsian keuntungan ini kebiasaannya diambil dari sebahagian keuntungan syarikat. Dalam tulisan kali ini, kita akan kenali jenis-jenis dividen yang diberi oleh syarikat.

holding cash by Alexander Mils from Pexels

Dividen tunai

Jenis dividen yang paling biasa diberikan oleh syarikat tersenarai awam adalah dalam bentuk tunai. Dividen tunai atau disebut sebagai dividen kebiasaannya diberi selepas tahun kewangan yang lengkap. Dividen ini juga disebut final dividend dalam Bursa Malaysia. Sesetengah syarikat pula bahagikan agihan dividen setiap kali selepas laporan suku tahunan.

Dividen Interim

Interim adalah perkataan Latin yang membawa maksud "sementara waktu" atau "antara waktu". Dalam konteks dividen interim, ia adalah agihan dividen di dalam tahun kewangan yang belum lengkap. Sebagai contoh, sesebuah syarikat mempunyai tahun kewangan pada hujung Jun. Syarikat yang memberikan dividen interim akan memberikan dividen interim pertama, kedua, ketiga ataupun terakhir sepanjang suku tahunan selepas Jun.

isaham upcoming dividend Dari screener Upcoming Dividends

Namun, tidak semua syarikat memberikan dividen interim mengikut suku tahunan. Ada yang berikan dividen mengikut separuh tahunan. Ada pula yang mengikut kesesuaian masa yang ditentukan syarikat. Ada masa anda mungkin akan berteka-teki dengan syarikat sama ada dividen akan diagihkan, terutamanya sekiranya syarikat itu tidak mengisytiharkan polisi untuk dividen, ataupun keuntungan syarikat menunjukkan angka yang berkurangan.

Dividen Khas

Dalam Bursa, ada juga syarikat yang memberikan dividen khas atau Special Dividend. Dividen ini tidak terkait antara tahun kewangan sama ada tahun penuh, separuh mahupun suku tahunan. Adakalanya, syarikat mencatatkan keuntungan yang luar biasa dalam suatu tahun. Keuntungan ini boleh datang daripada aktiviti kebiasaan syarikat atau jualan one-off aset syarikat. Sebahagian daripada keuntungan ini diberikan kepada pemegang saham dalam bentuk dividen khas.

Dividend Re-Investment Plan (DRIP)

Pelan pelaburan semula dividen juga adalah antara jenis dividen yang ditawarkan oleh syarikat. Dalam pelan ini, syarikat menawarkan pilihan kepada pemegang saham untuk menukarkan tunai yang sepatutnya diperoleh kepada pegangan saham tambahan. Apabila diumumkan, anda akan terima borang DRIP untuk mengesahkan sekiranya anda ingin menggunakan dividen tunai ini untuk beli saham syarikat.

Single-Tier

Sekiranya anda melihat pada pengumuman syarikat, anda akan terbaca istilah single-tier dividend. Istilah ini merujuk kepada struktur penerimaan dividen di mana penerima tidak akan dikenakan cukai atas penerimaan dividen. Ini adalah perkembangan dari struktur imputation system di mana pemegang saham yang menerima dividen perlu membayar cukai atas dividen yang diterima.

Petunjuk kedudukan kewangan

Pemberian dividen adalah satu petanda baik bahawa sesebuah syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang sihat. Namun, ada juga syarikat mengambil hutang untuk memberi dividen kepada pemegang saham. Sekiranya ini berlaku, perkara ini boleh jejaskan kewangan syarikat untuk masa yang akan datang.

Anda juga perlu tahu bahawa dividen akan pemberi kesan kepada harga saham. Pada hari Ex-Date, pengumuman pemberian saham ini akan berkuat kuasa. Dalam hari yang sama, harga saham akan diselaraskan sebanyak harga dividen.


< kembali ke laman blog utama