UMUM

26-AUG-2021

Kabel Fiber Dasar Laut Sistem Saraf Pusat bagi Jaringan Internet


 


Pernahkah anda mengalami situasi, dimana terjadinya gangguan permasalahan internet tidak kiralah sama ada di rumah atau pejabat? Apabila ini berlaku, pastinya kita akan memeriksa dan menghidupkan semula wifi beberapa kali. Namun selepas diselidik permasalahan ini, ia berpunca daripada kabel dasar laut. Situasi ini pernah terjadi apabila awal tahun 2020, terdapat gangguan kabel dasar laut Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) yang menghubungkan Malaysia ke Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Setiap kabel di dunia ini mempunyai nama dan fungsi tersendiri bagi perkhidmatan internet yang menghubungkan laluan di beberapa buah negara. Tetapi tahukah anda selain daripada menara telekomunikasi, satelit ataupun teknologi wifi, kabel dasar laut adalah medium terbesar yang berfungsi untuk menyalurkan maklumat melalui jaringan internet. Tidak hairanlah, apabila berlakunya kerosakan kabel ini, ia akan merencatkan dan melembabkan jaringan internet.

Kabel dasar laut pertama
Kabel dasar laut pertama dilaksanakan pada tahun 1856 yang menghubungkan negara USA dan Britain. Gambar : spectrum

Apa itu Submarine Cable?

Sebelum kita ulas lebih lanjut, kabel fiber dasar laut merupakan satu teknologi yang digunapakai dengan meletakkan kabel di dasar laut untuk menghubungkan isyarat telekomunikasi dan ia terdiri daripada ratusan wayar nipis yang dikenali sebagai gentian (fibers).

Misalnya, apabila kita membuat panggilan telefon dengan seseorang dari negara lain, mengirim emel atau memuat turun serta memuat naik video ke YouTube. Kabel ini lah memainkan peranan dengan memindahkan data tersebut dari satu sumber ke sumber yang lain. Umumnya, fungsi ini akan memastikan dunia sentiasa berhubung dan meningkatkan kadar trafik jaringan internet.

Gambar: electrical-engineering.com

Kepentingan kabel dasar laut

Kabel dasar laut dianggap sebagai sistem saraf pusat bagi jaringan internet untuk menyampaikan sumber maklumat. Hampir kesemua aktiviti kita yang dilakukan dengan jaringan internet seperti menelefon, menghantar teks, menjalankan aplikasi perisian, downloading or upload maklumat, streaming menggunakan bantuan kabel fiber ini yang terletak di dasar laut.

Kebiasaannya kabel fiber dasar laut mempunyai jangka ketahanan sekitar 25 tahun. Namun, ketahanan kabel ini bergantung kepada situasi dan keadaan semasa di dasar laut. Misalnya, gempa laut, ribut, gangguan gigitan dari haiwan maritim atauanchoring dari kapal yang menyebabkan kerosakan kabel.

Apabila berlaku sebarang kerosakan, pihak jurutera mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk memperbaikinya semula dengan menggunakan kapal khas yang disediakan. Kabel yang rosak tersebut akan ditarik di atas kapal yang menggunakan alat grapple reeling dan kemudian diganti dengan kabel fiber yang baharu.

struktur kabel
Gambar: CNN

Jika dilihat sepanjang abad ke-20 sehingga abad ke-21, majoriti kabel dasar laut dimiliki dan dibina oleh syarikat telekomunikasi. Walaubagaimanapun, dalam dekad ini syarikat teknologi besar mula mengorak langkah dengan membina dan mengendalikan kabel dasar laut mereka sendiri.

Syarikat teknologi besar ini termasuklah Google, Microsoft, Facebook dan Amazon telah memiliki beberapa kabel di seluruh dunia. Dianggarkan terdapat 380 kabel fiber dasar laut yang jumlah keseluruhan sepanjang 1.2 juta kilometer di dunia. Google mempunyai 8.5 peratus daripada kabel dasar laut dunia sepanjang 102,363 kilometer.

Langkah ini telah dilaksanakan dengan menjalinkan kerjasama polisi dengan negara-negara berbeza bertujuan untuk memastikan penyelenggaran kabel berjalan lancar. Kabel dasar laut dianggap penting kepada syarikat gergasi teknologi ini yang berfungsi sebagai pusat data.

Projek Apricot

Projek Apricot merupakan satu projek kabel dasar laut yang melibatkan kerjasama antara Facebook dan Google. Ia akan menggunakan kabel sepanjang 12 ribu kilometer dengan menghubungkan beberapa buah negara seperti Jepun, Taiwan, Guam, Filipina, Indonesia dan Singapura. Projek ini dilaksanakan di rantau Asia Pasifik selepas projek Echo dan Bifrost

Projek ini dijangka dilancarkan dan siap pada tahun 2024 dengan memiliki reka bentuk yang berupaya menampung 190 terabit data per saat (Tbps). Kabel ini akan memenuhi permintaan pengguna dengan membekalkan kapasiti tinggi internet akses 4G dan 5G yang diperlukan serta memperluaskan capaian di rantau Asia Pasifik.

Pada awal perancangan Projek Apricot ingin melibatkan negara Malaysia sebagai salah satu laluan kabel ini. Namun begitu, beberapa perbincangan telah diadakan antara pihak Malaysia dan wakil Apricot. Perbincangan ini telah menemui titik kegagalan dikatakan atas beberapa faktor tertentu misalnya polisi kabotaj dan lain-lain.

Kabel dasar laut di Malaysia

Seiring kemajuan dunia telekomunikasi, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan teknologi dalam kabel fiber optik. Ia mempunyai jumlah keseluruhan sebanyak 25 rangkaian kabel dasar laut, masing-masing melibatkan kepunyaan 19 antarabangsa dan 9 tempatan yang terletak di Stesen Pendaratan Kabel seluruh Malaysia.

Antara beberapa stesen kabel dasar laut domestik dan antarabangsa di Malaysia:

laluan kabel dasar laut di Malaysia
Laluan kabel dasar laut yang melibatkan negara Malaysia. Gambar: submarine networks

Syarikat di Malaysia

Telekom Malaysia (TM)

TM merupakan syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan rangkaian telekomunikasi negara sejak tahun penubuhan 1946. Seiring melangkaui sempadan negara, rangkaian global TM terdiri daripada 30 sistem kabel dasar laut yang dianggarkan sepanjang 300,000 km yang diperluas untuk memenuhi permintaan tempatan dan global.

Syarikat ini memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi meliputi data internet dan memiliki kabel dasar laut serta menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat antarabangsa. Antara projek yang dilaksanakan seperti pada tahun 2017, TM berjaya menyelesaikan projek sistem kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia, Kemboja, Thailand (MCT) dengan kerjasama syarikat Telcotech dari Kemboja dan Symphony Communication dari Thailand.

Terdapat juga beberapa pemain industri yang mempunyai konsep perkhidmatan dan kepakaran yang sama seperti TM, misalnya syarikat Time dotCom Berhad (Timecom).

Jaringan Kabel TM
Gambar: TM

Lain-lain syarikat

Selain itu, Malaysia juga mempunyai beberapa buah syarikat yang terlibat dalam penawaran kejuruteraan serta pembaikan kabel dasar laut seperti DNeX, Optic Marine Services (OMS), IFactors Sdn Bhd dan lain-lain. Misalnya, Dnex merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pemasangan, pembaikan dan penyelenggaran kabel gentian optik di dasar laut.

Apabila pemasangan kabel fiber dasar laut telah siap dilaksanakan dengan merentas lautan beberapa buah negara, proses seterusnya memerlukan sambungan kabel fiber optik. Antara syarikat yang menyediakan pembuatan dan perkhidmatan fiber optik adalah OPCOM dan lain-lain.

kapal Dnex Pacific Link
Gambar: Dnex

Rujukan


< kembali ke laman blog utama