UMUM

15-APR-2021

Evolusi SCIB Dari Pengeluar Konkrit Kepada Pemain EMCC


 


Sarawak Consolidated Industries Berhad atau SCIB adalah syarikat pengeluaran dan pembinaan di Kuching. Perniagaan utama SCIB ialah pengeluaran precast concrete products yang digunakan dalam industri pembinaan. Mereka adalah pengeluar terbesar di Malaysia Timur dan produknya terkenal di kalangan pemaju dan kontraktor di Sarawak dan Borneo. Malah, mereka mendahului pasaran di rantau tersebut dalam segmen perniagaan yang diceburi.

Kini, SCIB telah mengembangkan sayapnya ke pasaran luar negara seperti Indonesia dan Timur Tengah dengan menumpukan kerja-kerja Engineering, Manufacturing, Construction and Commissioning (EMCC).

Dari pengeluar kepada pembina

SCIB mengeluarkan pelbagai jenis precast concrete yang digunakan untuk pembinaan bangunan dan infrastruktur. Produk mereka juga digunakan dalam pelbagai projek infrastruktur Sarawak seperti infrastruktur bekalan tenaga dan air dan juga projek besar Pan Borneo Highway. Sebelum ini, tumpuan syarikat adalah lebih kepada pengeluaran dan bekalan. Kini, syarikat menceburi bidang pembinaan dengan lebih agresif.

scib precast concrete products
Gambar: SCIB

Terbaru, syarikat telah memasuki pasaran EMCC di Indonesia, Oman dan Qatar. Indonesia kini menjalani proses peralihan ibu negara dan akan menjalankan projek pembinaan yang besar. Qatar pula akan mengacara Piala Dunia FIFA 2022, dan peluang di Oman dalam perkembangan Zon Ekonomi Khas akan diteroka. Penambahan aktiviti syarikat ini boleh dikaitkan dengan perubahan pegangan yang berlaku pada SCIB bermula 2019.

Serba Consolidated

Pada Ogos 2019, terdapat sebuah perubahan besar yang berlaku pada syarikat. Dato Dr. Ir. Mohd Abdul Karim atau Dato Karim, pengasas Serba Dinamik telah menambah pegangannya dalam SCIB. Sekaligus, ini menjadikan beliau sebagai pemegang saham terbesar dalam SCIB.

scib top shareholder dato karim

Beliau dapat membawa pengetahuan dan selok belok dunia pembinaan antarabangsa, terutamanya Timur Tengah ke dalam SCIB. SCIB yang selama ini lebih menumpukan kepada pengeluaran kini menjadi lebih bersepadu dengan perkhidmatan pembinaan.

Dengan pengetahuan dan rangkaian yang dibawa oleh Dato Karim, SCIB dapat meluaskan perniagaannya ke dalam pasaran yang lebih luas. Antara projek baru yang kita dapat lihat di luar negara ialah kontrak bernilai sekitar RM 864.5 juta di Qatar dan Oman pada suku pertama 2020. Jika kita lihat pada portfolio Serba Dinamik, sebahagian besar projek mereka datangnya dari Timur Tengah. Maka, kita boleh jangkakan pelbagai lagi manfaat yang boleh diterima oleh SCIB melalui projek kendalian Serba Dinamik di Timur Tengah.

peta operasi serba dinamik
Peta Operasi Serba Dinamik. Gambar: Serba Dinamik

Dato Karim juga ingin jadikan SCIB lebih menarik kepada institusi. Untuk ini, beliau ingin membawa nilai permodalan pasaran syarikat ke RM 1 bilion dalam dua tahun, menurut laporan Mac 2020 lalu. Setakat April 2021, permodalan pasaran SCIB telah pun mencecah RM 800 juta. Pun begitu, nilai sasaran RM 1 bilion ini pernah dilepasi pada bulan Januari lalu.

Sebuah penambahan baru lagi dalam syarikat adalah penerokaan peluang industri Oil & Gas. Kita dapat lihat kesungguhan syarikat dengan pemilikan 30% ke dalam syarikat Edaran Kencana Sdn Bhd. Syarikat ini merupakan vendor kepada Petronas, dan akan menjadi barisan hadapan syarikat untuk membida projek-projek Petronas.

scib company structure 2021

Pembelian baru

Dalam berita terkini pula, kita boleh lihat perancangan syarikat untuk membeli syarikat pembinaan di Seri Kembangan, Kencana Precast Concrete Sdn Bhd. Dalam pemfailan Bursa Malaysia, syarikat telah pun keluarkan cadangan ini untuk makluman pemegang saham. Prospek syarikat ini pula dilihat berpotensi untuk projek-projek infrastruktur di Semenanjung seperti ECRL, MRT2, LRT3 dan Lebuhraya Putrajaya (MEX-KLIA-KLIA2).

Dari Sarawak ke Antarabangsa

Untuk tahun 2020, pihak pengurusan telah meletakkan sasaran RM 1.5 bilion buku pesanan atau order book. Sasaran ini telah tercapai sepanjang 2020, dan kini syarikat meletakkan angka RM 3 bilion untuk 2021. Sasaran ini berada pada haluan yang baik dengan RM 2.4 bilion telah terkumpul setakat ini. Ini menunjukkan bahawa mereka komited untuk mengembangkan syarikat ke hadapan.

scib oversea project qatar oman
Operasi di Qatar dan Oman. Gambar: SCIB

Dalam sesi radio BFM terbitan 31 Mac, Encik Rosland Othman, Pengarah Urusan dan CEO SCIB menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak projek di luar negara berbanding di Malaysia. 60% pecahan kerja mereka kini bertempat di luar negara, dan 40% di Malaysia. Margin keuntungan di luar negara pula dikatakan lebih tinggi pada 15-20% berbanding Malaysia pada 10-15%. Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa terdapat banyak lagi peluang di Timur Tengah yang boleh diteroka dalam jangka masa panjang.

Risiko pungutan bayaran

Akibat daripada Covid-19, banyak syarikat yang mengalami kesukaran dari aspek kewangan. Situasi ini juga tak terkecuali kepada pasaran yang diceburi oleh SCIB. Menurut Encik Rosland, mereka bersifat berhati-hati dalam memilih projek. Buat masa ini, mereka lebih berminat dengan projek bersaiz kecil yang tidak disaingi oleh ramai pemain industri. Risiko kelewatan bayaran juga diambilkira, dan Dato' Karim dikatakan berpengalaman dalam pasaran Timur Tengah dan mengenali syarikat yang diyakini boleh membuat pembayaran apabila projek disiapkan.

Kesimpulan

SCIB telah mengalami fasa perubahan yang semakin progresif. SCIB yang selama ini hanya menumpukan kepada pasaran pengeluaran telah meluaskan sayapnya ke dalam industri pembinaan dan oil & gas. Pasaran tumpuan yang selama ini bersifat tempatan juga diperluas ke skala global, dimulai dengan Indonesia, Qatar dan Oman.


< kembali ke laman blog utama