AGM

12-NOV-2019

Berminat Beli Saham Time dotCom? Baca Artikel Ini


 


TIME dotCom adalah syarikat yang kita biasa kenali sebagai penyedia sambungan internet rumah dengan teknologi fibre optic. Anda juga mungkin pernah dengar TIME ada tawaran pelan internet sehingga 1 Gbps selepas usaha kerajaan untuk meningkatkan kelajuan internet di Malaysia. Selain sambungan internet, mereka juga menyediakan pusat data dan perkhidmatan terurus (managed services) kepada pelanggan merentasi ASEAN.

TIME facility cover
Gambar: TIME

Bisnes utama

Ada tiga produk utama yang ditawarkan oleh TIME iaitu data, panggilan, dan pusat data. Secara umumnya, produk data meliputi langganan pengguna untuk servis internet jalur lebar (broadband). Produk panggilan ialah servis telefon melalui talian tetap yang dilanggan sekali dengan pakej talian tetap internet. Kedua-dua servis ini biasanya disasarkan kepada pengguna awam.

TIME data centre

Pusat data pula adalah perkhidmatan yang ditawarkan kepada enterprise, dan dilihat bahawa semakin banyak syarikat yang menyediakan servis atas talian. Servis ini juga sebenarnya sangat berguna untuk content provider ‘over-the-top’ (OTT) kerana syarikat ini memerlukan simpanan data yang bersaiz besar. OTT ni adalah servis media streaming yang ditawarkan secara langsung kepada pengguna, contohnya Netflix, iFlix, Tonton, IPTV, Spotify, Youtube dan sebagainya.

Buat masa ini, mereka tidak menawarkan perkhidmatan jalur lebar kepada premis darat (landed). Namun sebagai pelabur, anda mungkin akan berbesar hati melihatkan bangunan-bangunan besar di bawah dikuasakan dengan internet TIME:

Prestasi Kewangan

TIME product revenue

Dari segi revenue, kita dapat lihat peningkatan sebanyak 18% secara keseluruhan daripada RM 860.7 juta kepada RM 983.4 juta. Produk data menunjukkan peningkatan yang paling banyak iaitu 24% diikuti dengan pusat data dengan peningkatan sebanyak 14%. Perkhidmatan panggilan pula menunjukkan trend pengurangan sebanyak 11% dan menunjukkan pengguna lebih gemar membuat panggilan melalui data berbanding talian tetap. Situasi ini turut dirasai oleh kebanyakan penyedia perkhidmatan dalam industri ini.

Secara keseluruhan, TIME mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM 302.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 73% (Wow!!) berbanding tahun sebelumnya iaitu RM 183.1 juta. Pelbagai kriteria lain juga mencatatkan peningkatan yang sihat. Boleh lihat selanjutnya di carta di bawah.

TIME financial summary

Operasi TIME

Struktur operasi TIME dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu talian tetap, rangkaian global, pusat data dan pengembangan ke negara ASEAN. Bahagian talian tetap TIME termasuklah perkhidmatan jalur lebar berserta dengan talian telefon perumahan. Rangkaian global menyambungkan pelanggan TIME ke internet seluruh dunia melalui sistem kabel bawah laut (subsea cable system). TIME juga menawarkan servis pusat data yang turut dilanggani oleh syarikat content provider bertaraf global. TIME ingin menyediakan semua servis ini ke negara ASEAN yang lain.

TIME menghubungkan semenanjung Malaysia dengan Cross-Peninsular Cable System (CPCS) kepunyaan mereka sendiri dan Malaysia Timur dengan Sistem Kabel Rakyat 1 Malaysia (SKR1M) yang dikongsi dengan Telekom Malaysia. Sambungan ke serata dunia pula dicapai melalui subsea cable system, di mana TIME berkongsi empat kabel iaitu AAE-1, UNITY, FASTER dan APG yang antaranya turut dikongsi oleh Facebook dan Google.

TIME network map
Gambar: TIME

Kabel ini membolehkan rangkaian TIME mencapai pesisir Asia, Eropah, Afrika, dan paling penting sekali USA yang mempunyai konten yang lebih banyak. Apabila kabel ini sampai pada pesisir negara yang dituju, ia akan mendapat akses kepada rangkaian seluruh negara tersebut melalui sambungan talian kabel darat.

Pengembangan ke negara ASEAN

TIME melihat banyak potensi untuk diteroka pada negara ASEAN. Berdasarkan sumber di bawah, hanya 38.7% sahaja pengguna internet jalur lebar dilihat daripada populasi 643.47 juta orang pada tahun 2015.

TIME presentation
Gambar: TIME

TIME menganggarkan peningkatan permintaan secara eksponen di rantau ini dan telah pun membeli pegangan dalam syarikat penyedia telekomunikasi di Thailand dan Vietnam. Antara pegangan terbaru TIME adalah di dalam syarikat tersenarai awam Symphony sebagai pemegang terbesar sebanyak 46.84%. Symphony menawarkan servis internet jalur lebar ke Thailand dan juga mempunyai pusat data dan rangkaian antarabangsa.

Penapakan di Jepun

Selain ASEAN, TIME juga mempunyai perancangan untuk memasuki pasaran Jepun. Mereka telah pun menubuhkan TIME dotcom Japan K.K sebagai langkah awal untuk perkhidmatan di masa akan datang.

Melangkah ke Hadapan

Dalam melangkah ke hadapan, TIME ingin mengekalkan momentum permintaan pakej baru internet jalur lebar mereka. Mereka juga ingin meluaskan kawasan liputan di Malaysia dan juga di Indochina dengan kerjasama rakan kongsi di Thailand, Vietnam dan Cambodia. Secara keseluruhan, mereka akan berusaha untuk menambahkan pengguna untuk memberi pulangan yang lebih banyak untuk syarikat.


< kembali ke laman blog utama