Mungkin kini anda sudah tahu bahawa saham tawaran melalui MITI sudah boleh dipohon secara online. Kami juga telah membuat perkongsian tentang cara untuk membuat permohonan saham tawaran MITI secara online.
Baru-baru ini, keputusan saham tawaran Senheng New Retail Berhad sudah pun keluar. Saham ini adalah saham tawaran yang pertama keluar selepas penambahbaikan laman web saham online MITI. Jadi perkongsian kita kali ini adalah tentang langkah yang perlu dilakukan setelah menerima saham tawaran dari MITI dan akan menggunakan Senheng sebagai contoh.
1. Pengumuman permohonan saham melalui MITI
Pengumuman permohonan saham melalui MITI akan diberitahu di laman web rasmi mereka. Buat masa ini belum ada notifikasi atau e-mel yang dihantar kepada pelanggan saham tawaran. Anda perlu menyemak secara manual setiap hari jika ingin tahu.
Cara yang lain ialah dengan menyertai kumpulan perbincangan saham yang aktif di Telegram. Jika anda adalah ahli iSaham Pro, anda akan dapat masuk ke dalam kumpulan perbincangan kami secara percuma.
2. Log masuk portal saham online MITI
Sekiranya proses agihan sudah sedia, MITI akan paparkan makluman di bahagian depan portal saham MITI. Anda boleh terus log masuk untuk melihat status permohonan anda.

3. Terima Saham
Sesudah log masuk, klik pada tab My Saham di bahagian kiri halaman. Anda akan dapat melihat kesemua saham yang pernah anda pohon. Cari Senheng, dan sekiranya 'Berjaya' anda boleh pilih untuk terima/ tolak atau boleh juga terima dengan kuantiti yang anda mahukan sahaja.


Jika info syarikat sukar dicari, berkemungkinan prospektus terbaru syarikat belum lagi dikeluarkan. Anda boleh hubungi Issuing House atau bank penasihat yang terlibat. Namun, harus diingatkan bahawa pelaburan yang anda hendak lakukan haruslah berdasarkan kajian yang telah anda buat sendiri.
4. Menerima, mengesahkan dan membuat pembayaran
Bagi langganan saham tawaran, anda perlu menyemak prosedur dengan melihat pada lampiran yang telah disediakan pada saham tersebut di MITI.

Seperti contoh di atas, penerima saham tawaran Senheng perlu mendaftar akaun bersama issuing house terlebih dahulu. Segala pembayaran akan dilakukan melalui laman web mereka.
i. Daftar akaun dengan Issuing House/ Bank Penasihat
Bagi Senheng, issuing house untuk syarikat ini ialah Tricor Investor & Issuing House Services (TIIH). Pendaftaran ini boleh dibuat di laman web tiih.online.

Untuk pendaftaran baru, anda hanya perlu klik pada butang 'Sign Up' dan ia akan membawa anda ke halaman seperti gambar di bawah.

Isikan butiran diri anda.
Isikan butiran diri anda dengan lengkap dan muat naik gambar kad pengenalan anda. Pastikan gambar yang dimuat naik adalah jelas. Sekiranya anda mempunyai nombor kad pengenalan yang lama, anda juga dikehendaki untuk mengisinya di ruang yang disediakan. Setelah selesai, klik pada butang 'Register'.
Setelah itu, anda akan menerima e-mel yang memberitahu bahawa pendaftaran anda telah berjaya. Kata kunci sementara akan diberikan kepada anda dan anda perlu menukarnya sebelum log masuk.
ii. Pengesahan
Setelah itu, anda akan di bawa ke halaman ini. Halaman ini akan menunjukkan senarai aktiviti-aktiviti seperti AGM oleh saham syarikat yang anda miliki di dalam akaun CDS serta permohonan saham MITI. Cari Senheng, dan klik pada butang 'Next'.

Kemudian, klik pada butang yang ditunjukkan dalam gambar di bawah sekiranya anda bersetuju dengan terma dan syarat. Klik 'Next'.

Seterusnya, sahkan butiran anda dengan mengisi semula nombor akaun CDS, kuantiti yang ingin diterima serta pekerjaan anda. Lanjut ke halaman seterusnya dengan menekan butang 'Next'.

iii. Pembayaran
Pihak issuing house akan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM 5. Caj ini adalah wajib dan tidak akan dipulangkan semula.
Jumlah pembayaran yang anda perlu lakukan termasuk caj perkhidmatan akan tertera pada bahagian bawah kanan halaman tersebut. Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin menggunakan Maybank2u ataupun FPX bagi pembayaran melalui bank-bank selain Maybank.

Semak kuantiti, jumlah pembayaran (termasuk caj perkhidmatan), pilih cara pembayaran dan kemudian tekan 'Confirm'. Pastikan anda membuat pembayaran dengan menggunakan akaun di atas nama anda sendiri untuk mengelakkan konflik.
Selesai membuat pembayaran, anda akan mendapat e-mel yang menyatakan pembayaran anda telah berjaya. Resit akan turut disertakan di dalam e-mel tersebut. Cetak atau simpan resit tersebut untuk merekodkan transaksi. Anda juga boleh melihat transaksi tersebut di dalam akaun tiih.online milik anda.
Rumusan
Prosedur penerimaan dan pembayaran secara online ini agak mudah berbanding prosedur sebelumnya yang perlu dibuat secara manual. Namun, jika anda lebih selesa dengan prosedur lama, anda boleh merujuk blog kami iaitu apa nak buat lepas terima saham melalui MITI.