TUTORIAL

09-DEC-2021

Permohonan Saham Tawaran MITI Secara Online


 


Saham tawaran MITI kini boleh dibuat secara atas talian. Ianya semestinya sesuatu yang pelabur Bumiputera sering ternanti-nanti kerana ia dapat memudahkan urusan permohonan saham. Permohonan tawaran MITI kini tidak lagi memerlukan borang untuk dicetak dan dihantar ke Menara MITI. Kita akan lihat cara-cara melengkapkan permohonan saham melalui portal MITI dalam post kali ni.

1. Pergi ke portal MITI

muka hadapan portal tawaran saham miti

Pertama sekali, lawati portal MITI di https://sahamonline.miti.gov.my/portal/index. Anda akan dibawa ke wajah baru portal permohonan saham online MITI. Dari sini, anda boleh lihat sekiranya terdapat apa-apa makluman berkaitan saham sama ada permohonan baru dibuka, keputusan permohonan, atau pemberitahuan pelabur berkaitan cara menggunakan portal MITI ini.

2. Tukar kata laluan

Sekiranya anda telah berdaftar sebelum ini, boleh ikuti panduan dalam point nombor 2 ini. Sekiranya anda pengguna baharu pula, tekan link Log Masuk, dan pilih Daftar Pelabur > Individu untuk mendaftar, dan boleh langkau ke point nombor 3 untuk langkah pendaftaran.

Memandangkan MITI telah menukar sistem kepada yang baru, pengguna yang telah berdaftar sebelum ini perlu mengikut garis panduan yang dipaparkan di muka hadapan portal MITI ini. Anda perlu tekan link Terlupa kata laluan yang dipaparkan untuk menukar kata laluan kepada yang baru.

saham online miti terlupa kata laluan

Dari sini, akan diminta untuk masukkan maklumat seperti MyKad atau SSM untuk tindakan lanjut. Masukkan maklumat berkaitan dan tekan Hantar. Kata laluan baru akan dihantar ke email yang anda gunakan untuk membuka akaun MITI ini. Perhatikan juga dalam folder Spam seperti gambar yang dipaparkan sendiri oleh MITI.

saham online miti spam recover password

Masukkan kata laluan tersebut ke laman Log Masuk dan tekan Log Masuk untuk pergi ke laman permohonan.

masuk kata laluan miti

3. Lengkapkan maklumat peribadi

Selepas Log Masuk, anda akan dibawa ke laman utama pengguna. Namun, buat pertama kali selepas peralihan ke sistem baru, anda akan diminta untuk kemaskini maklumat peribadi terlebih dahulu. Lengkapkan ruangan yang perlu diisi, dan anda boleh teruskan ke permohonan saham.

saham online miti kemaskini maklumat

4. Permohonan Saham

Untuk ke laman permohonan saham, tekan teks Maklumat Saham di bahagian kiri portal. Ia akan muncul selepas anda berjaya lengkapkan langkah dalam point nombor 3 tadi. Di sini, anda akan dipaparkan dengan senarai saham yang tersedia untuk dimohon. Tekan Mohon di panel saham untuk memohon saham tersebut.

saham online miti mohon saham

5. Maklumat permohonan

Anda akan dibawa ke borang maklumat permohonan. Di sini, anda perlu masukkan berapa modal anda dan berapa unit saham yang anda ingin laburkan. Anda juga perlu masukkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kewangan peribadi supaya dapat disaring oleh MITI.

Dokumen yang wajib untuk anda sertakan ialah penyata CDS dalam bentuk PDF. Untuk penyata CDS ini, pastikan ia tidak dilindungi oleh kata laluan supaya pegawai bertugas di MITI boleh mengakses fail anda.

Penyata CDS boleh didapati melalui aplikasi Bursa Anywhere. Log masuk ke akaun Bursa Anywhere dan muat turun dari aplikasi tersebut untuk dapatkan penyata CDS.  Anda boleh buang kata laluan dari fail penyata CDS dari Bursa secara online di mana-mana website pihak ketiga, contohnya Smallpdf.

smallpdf unlock pdf

Seterusnya, sekiranya anda ingin akses fail  penyata CDS melalui komputer, anda boleh hantar fail tadi ke email anda atau simpan di "Saved Message" Telegram untuk dibuka dari komputer peribadi anda.

Dokumen lain yang anda boleh sertakan adalah mana-mana dokumen berkaitan kewangan anda, antaranya penyata kewangan bank, penyata gaji, tabung haji, ASB dan lain-lain.

Untuk lampirkan fail ini, tekan sahaja Browse dan pilih fail yang berkaitan, atau tarik dan lepas sahaja fail dari komputer anda ke bahagian drag & drop.

Bagi sesiapa yang mendaftar pekerjaan mereka sebagai penjawat awam, akan ada satu drag & drog file tambahan di mana anda perlu memuat naik surat kebenaran rasmi daripada Ketua Jabatan untuk memohon saham tawaran MITI.

Setelah berpuas hati dengan semua dokumen hantaran, tekan Hantar.

6. Tamat

Itu sahaja langkah yang anda perlu buat. Kini, anda tidak lagi perlu berurusan dengan pihak kurier untuk menghantar dokumen permohonan ke MITI. Malah, anda juga tidak perlu lagi berurusan dengan mesin pencetak anda. Semuanya boleh diuruskan secara atas talian.

saham online miti mysaham senarai saham yang dah dipohon

Sekiranya anda ingin lihat status permohonan anda, boleh tekan teks MySaham di bahagian kiri portal. Anda akan dibawa ke senarai saham yang anda telah mohon melalui MITI, berserta dengan status permohonan masing-masing.

saham online miti saham telah dipohon

Dari laman permohonan saham juga, butang Mohon telah digantikan dengan teks Saham telah dipohon.


< kembali ke laman blog utama