TUTORIAL

5-OCT-2020

Apa Nak Buat Lepas Terima Saham Melalui MITI?


 


Kalau anda datang ke post ini, mungkin anda sudah mohon saham melalui MITI dan tak tahu langkah seterusnya. Kalau belum mohon, mungkin anda nak baca post ini. Jadi untuk post kali ini, kami akan terangkan jalan untuk anda yang dah mohon saham melalui MITI dan mungkin kurang jelas dengan prosedur yang perlu dibuat. Semuanya akan diterangkan dalam post ni secara terperinci.

Shortcut: Terus ke poin ke-5 untuk proses dokumentasi.

1. Pengumuman permohonan saham melalui MITI

Sebenarnya MITI tak beritahu dari awal tarikh saham yang dipohon akan diumumkan. Ini disebabkan terdapat kemungkinan saham yang ditawarkan itu dibatalkan dari penyenaraian. Contohnya yang pernah berlaku pada QSR Trading yang merupakan anak syarikat JCorp. Sekiranya saham tak diteruskan untuk penyenaraian, sebarang bentuk bayaran akan dipulangkan semula kepada anda.

Kalau anda ingin cadangan kami macam mana nak kemaskini dengan maklumat seperti ini, caranya adalah dengan menyertai kumpulan perbincangan yang berbincang tentang saham. iSaham memiliki beberapa kumpulan perbincangan saham dalam aplikasi Telegram, dan ia merupakan salah satu kelebihan menyertai iSaham premium.

Cara yang lebih manual adalah dengan pergi ke laman web portal saham online MITI setiap malam dan baca pengumuman yang dipaparkan. Anda juga mungkin ingin berdoa supaya mereka ada sistem notifikasi.

2. Log masuk portal saham online MITI

Sekiranya proses agihan sudah sedia, MITI akan paparkan makluman di bahagian depan portal saham miti. Anda perlu cari makluman dengan tajuk “Semakan status permohonan saham khas Bumiputera : Saham ABC kini DIBUKA”. Bila dah keluar makluman ini, teruskan log in untuk lihat berapa banyak saham yang diberi kepada anda.

makluman miti

3. Terima Saham

Sesudah log masuk, pergi ke tab My Saham di bahagian atas laman web. Anda akan lihat senarai saham yang anda pernah mohon, disusun daripada paling lama di atas kepada paling baru di bawah.

Lihat pada column Status Permohonan. Sekiranya "Berjaya", anda boleh pilih untuk Terima/Tolak dan tentukan kuantiti yang anda mahu. Kalau anda pasti untuk terima saham ini, tekan butang terima. Sekiranya anda masih ragu-ragu sama ada untuk terima atau tidak, boleh semak skor IPO kami sebagai rujukan.

Keputusan permohonan miti Senarai permohonan yang diproses

Jika anda mendapati sukar untuk mendapatkan info syarikat, berkemungkinan prospectus terbaru belum lagi dikeluarkan. Dalam kes ini, anda boleh hubungi Issuing House atau bank penasihat yang terlibat. Apa pun situasi, harus diingat bahawa anda bertanggungjawab untuk mengenal syarikat yang anda ingin labur. Dan jangan risau, selagi anda belum buat bayaran, transaksi belian tidak akan berjalan. Pihak yang menjalankan tugas akan semak dengan anda sekiranya anda tidak berhasrat meneruskan belian.

4. Cetak dokumen

Selepas anda sahkan untuk menerima saham dengan tekan butang terima, anda boleh cetak dokumen yang diperlukan. Klik pada ikon muat turun pada column Senarai Dokumen. Anda akan dipaparkan dengan tiga set dokumen. Secara ringkasnya, anda perlu cetak semua, dan ikut arahan yang ditulis yang melibatkan tarikh penghantaran dokumen, cara bayaran (biasanya secara bank draft), isi borang dan tanda tangan.

terima saham miti Cetak dan lengkapkan borang-borang ini

5. Lengkapkan dokumen

Seperti yang disebut tadi, ada tiga set dokumen yang anda perlu cetak.

  1. Surat Peruntukan Khas
  2. Surat Aku Terima
  3. Arahan Pembayaran Bank

Pertama sekali, anda boleh rujuk dokumen Arahan Pembayaran Bank untuk baca perincian prosedur. Ada kemungkinan yang prosedur ini berbeza mengikut saham yang anda mohon. Secara ringkasnya, penghantaran dokumen ini melibatkan dua pihak, iaitu MITI dan Bank Penasihat atau Issuing House.

i. Penghantaran ke MITI

Dokumen Tindakan
Surat Peruntukan Khas Cetak
Salinan Surat Aku Terima Lengkapkan

Kedua-dua dokumen ini perlu dihantar kepada MITI. Penghantaran boleh dibuat secara serahan tangan atau elektronik melalui email atau faks.

ii. Issuing House / Bank Penasihat

Bergantung kepada arahan, anda mungkin perlu menghantar set dokumen ini sama ada ke Issuing House atau Bank Penasihat.

* Nama penerima ditulis dalam dokumen Arahan Pembayaran Bank di bawah perincian Payment Mode.
Dokumen Tindakan
Salinan Surat Aku Terima Lengkapkan
Bank Draft / Telegraphic Transfer / lain-lain (mengikut arahan disediakan) Urusan dengan Bank*
Delivery Instruction Form (DIF) Lengkapkan dan lampirkan
Salinan IC dan penyata CDS Lampirkan

Cadangan kami untuk dapatkan bank draft, gunakan bank yang kurang pengunjung berdekatan dengan kawasan anda kerana proses ini mungkin akan memakan masa.

Delivery Instruction Form atau DIF perlu diisi dan dilampirkan sekali dengan dokumen Surat Aku Terima atau pembayaran, tertakluk kepada arahan yang disediakan.

Ada arahan yang tak menyatakan keperluan untuk salinan IC dan CDS. Namun, untuk memastikan tiada kesilapan yang berlaku, ada baiknya untuk sertakan sekali. Untuk salinan penyata CDS (dari Bursa), cukup sekadar sekalikan muka depan yang memaparkan nombor CDS.

6. Hantar dokumen

Selesai dokumen lengkap, boleh lah hantar sama ada melalui kurier ataupun melalui kotak serahan (drop box) di Issuing House yang berkenaan. Dokumen untuk dihantar ke Issuing House iaitu perakuan terima saham dan pembayaran mempunyai tarikh tutup yang berbeza. Namun, kalau anda sudah sedia untuk membuat bayaran, boleh terus sekalikan semua dokumen ke dalam drop box. Jangan lupa kemaskan semua dokumen dalam sampul. Ini boleh memudahkan pegawai yang bertugas menjalankan kerja mereka dengan lancar. Ini juga boleh elakkan kemungkinan dokumen yang tercicir.

Sebagai rumusan, prosedur yang perlu dibuat sebenarnya agak leceh. Namun, kalau anda ditawarkan saham melalui MITI ini, anda dikira bertuah kerana tawaran ini sudah pun memastikan anda menerima sejumlah saham. Pembelian saham yang dibuka kepada awam perlu melalui proses cabutan dan terdapat kemungkinan untuk tidak dapat membeli suatu saham yang ditawarkan. Maka gunakan peluang yang baik ini untuk memantapkan lagi pelaburan anda.


< kembali ke laman blog utama