IPO

28-JUN-2021

Yenher Menuju Pasaran Global selepas IPO


 


yenher facility

Yenher Holdings Bhd merupakan syarikat pembuatan dan pengedaran produk kesihatan dan nutrisi haiwan ternakan. Syarikat ini akan memasuki pasaran Bursa Malaysia melalui IPO pada awal Julai tahun ini. Permohonan IPO Yenher Holdings kini dibuka dan butirannya adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.95
Status syariah:
Tiada penilaian syariah SAC, dinilai tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah
Pasaran:
Main Market
Market Capitalisation:
RM 285.00 juta
Nisbah PE:
12.72 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
1 Julai 2021
Cabutan saham:
5 Julai 2021
Tarikh penyenaraian:
15 Julai 2021

Ini adalah IPO yang kedua tahun 2021 bagi sektor produk dan perkhidmatan pengguna yang disenaraikan di Pasaran Bursa Malaysia. Pernyataan tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah boleh dirujuk seperti di bawah:

elzar shariah yenher tak patuh syariah

Bisnes Yenher Holdings

Yenher Holdings Bhd bermula sebagai syarikat pengedar produk kesihatan dan nutrisi haiwan ternakan dan kemudian berkembang menjadi pengeluar dan pengedar produk tersebut. Syarikat yang berpangkalan di Seberang Perai Selatan, Penang ini telah meluaskan pasaran dan jaringan pelangannya dengan melantik pengedar produk mereka di Medan, Indonesia serta membuka gudang dan pejabat jualan di Sarawak. Pada tahun 2020, mereka berjaya membuka cawangan mereka di Taiwan.

Syarikat ini mengedar produk makanan tambahan, vitamin, produk pembiakan untuk haiwan ternakan, vaksin veterinar serta peralatan ladang. Mereka juga menghasilkan produk makanan lengkap, rumusan makanan dan nutrisi untuk haiwan ternakan seperti ayam, itik dan khinzir.

yenher r&d
Gambar: Yenher

Selain menjadi pengeluar dan pengedar barangan, mereka juga menyediakan perkhidmatan analisa dan diagnostik bahan serta perkhidmatan perundingan kepada pelanggannya secara percuma. Syarikat ini juga turut melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Hasilnya, mereka berjaya menghasilkan ramuan makanan dengan teknologi biotech di atas nama produk YenSoy dan YenPalm.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Bisnes Yenher Holdings ini tersenarai di dalam kategori perkhidmatan perlu (essential service). Menurut prospektus, syarikat ini tidak mengalami sebarang impak negatif yang drastik. Sewaktu PKP pertama pada March 2020, bekalan produk mereka tidak terjejas dan aktiviti syarikat masih boleh beroperasi dengan 50% tenaga kerja di kilang operasi pembuatan.

Mereka berpendapat bahawa PKP full lockdown yang dikuatkuasakan pada 1 Jun tempoh hari tidak memberi impak yang teruk kerana mereka masih boleh beroperasi tetapi dengan jumlah pekerja yang terhad pada satu-satu masa.

Namun begitu, kadar pengeluaran produk syarikat sedikit menurun kerana kekangan jumlah pekerja di kilang. Kenaikan kadar harga penghantaran juga berlaku atas faktor pandemik global yang tidak menentu mencacatkan perkembangan sihat syarikat.

Prestasi kewangan

Unjuran pendapatan Yenher Holdings mendatar dari tahun 2017 hingga 2019 kemudian meningkat pada tahun 2020. Manakala keuntungan bersih tertinggi adalah pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM 27.285 juta dan juga merupakan margin keuntungan tertinggi iaitu sebanyak 15.07%.

Meskipun 2020 merupakan tahun krisis pandemik, Yenher Holdings berjaya mencatat pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM 202.635 juta dengan margin keuntungan sebanyak 11.05%. Mengikut data, purata margin keuntungan adalah sebanyak 11% keatas dalam tempoh 2017 hingga 2020 ini.

Jumlah pendapatan Yenher Holdings pada tahun 2020 ini merangkumi 9.3% dari hasil industri kesihatan dan nutrisi di Malaysia. Saiz industri ini dianggarkan berjumlah RM 2.18 billion pada tahun tersebut.

prestasi kewangan Yenher

Secara keseluruhannya, nilai pendapatan dalam segmen pembuatan dan pengedaran tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Dilihat kini prestasi pendapatan dari sektor pembuatkan semakin meningkat dan lebih tinggi berbanding segmen pengedaran di dalam 2 tahun terakhir 2019-2020. Pertumbuhan segmen ini adalah hasil dari strategi syarikat untuk mempromosikan produk buatan sendiri.

pendapatan segmen Yenher

Di dalam laporan kewangan, pasaran Malaysia merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat iaitu sebanyak 90%. Baki 10% adalah dari export jualan kepada 11 negara iaitu Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam.

Strategi IPO dan masa depan

Yenher Holdings akan mengumpul dana sebanyak RM 61.21 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembinaan kilang pembuatan baru 31.00 50.64
Pembelian mesin dan peralatan baru 9.70 15.85
Modal kerja 16.71 27.30
Perbelanjaan penyenaraian 3.80 6.21
Jumlah 61.21 100.0

RM 31 juta iaitu separuh dari modal IPO akan diperuntukan untuk pembinaan kilang baru berstatus Good Manufacturing Practice (GMP). Kilang baru ini akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bulanan syarikat dan juga boleh membantu syarikat untuk fokus pada segmen pembuatan dan mencipta produk baru pada masa akan datang.

Dengan kelengkapan seperti mesin dan kemudahan baru ini, Yenher Holdings mensasarkan pasaran luar negera seperti Myammar, Bangladesh dan China dalam jangka masa 2 tahun. Menurut Pengarah Urusan Cheng Mooh Tat, jumlah penduduk yang ramai di negara tersebut merupakan faktor terbesar untuk mereka mencuba pasaran di sana. 

Dana IPO juga tidak digunakan untuk membayar sebarang hutang syarikat. Berdasarkan maklumat kewangan, jumlah hutang berbanding jumlah ekuiti syarikat (Gearing ratio) pada tahun 2020 adalah rendah iaitu sebanyak 0.01.

Analisis Bisnes dan Industri Yenher Holdings

Data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Protege Associates menunjukkan prestasi industri makanan ternakan semakin berkembang. Pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) juga meningkat pada kadar 6.6% dari tahun 2013 hingga 2020.

Industri Kesihatan dan Nutrisi Ternakan

Produk kesihatan dan nutrisi ternakan merupakan elemen penting untuk memastikan ternakan membesar dengan optimum, bebas dari penyakit dan selamat untuk pengguna. Industri ini disenaraikan dalam perkhidmatan perlu (essential service) kerana kepentingannya dalam menjaga jaminan makanan (food security) negara terutamanya di waktu krisis seperti krisis pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang ini.

Berdasarkan data terkumpul, industri kesihatan dan nutrisi ternakan ini adalah industri yang mampan dan berdaya tahan kerana adanya kebergantungan yang berterusan dari industri makanan dan ternakan negara. Industri ini diunjurkan meningkat dari RM 2.18 billion pada tahun 2020 menjadi RM 2.69 billion pada tahun 2025 dengan peratusan CAGR sebanyak 4.3%.

Data-data penting dipamerkan di bawah:

production livestock in MalaysiaAnimal Health Product in Malaysia Industry
market growth for animal health product
Gambar: Prospektus IPO Yenher Holdings

Persaingan

Pasaran untuk produk kesihatan dan nutrisi haiwan ternakan mempunyai daya saing yang tinggi dan pasaran industri ini juga tidak sekata (fragmented industry). Ia tediri daripada pelbagai pemain industri yang secara kolektifnya menawarkan pelbagai produk kesihatan dan pemakanan untuk haiwan ternakan. Setakat ini terdapat sebanyak 79 organisasi tempatan yang terlibat dalam Malaysian Animal Health and Nutrition Industries Association (MAHNIA) pada 31 Mei 2021.

Untuk bersaing dalam industri ini, syarikat perlu menawarkan harga produk yang kompetitif dan juga mempunyai nilai tambah dalam produk seperti memberi konsultasi kepada pengguna dalam pengurusan makanan ternakan.

Jika dibandingkan Yenher Holdings dengan syarikat-syarikat yang tersenarai awam dalam industri yang sama, Yenher Holdings boleh dikatakan sebagai syarikat yang terkehadapan. Di bawah ini adalah syarikat yang tersenarai awam dalam industri yang sama dengan Yenher Holdings.

Syarikat Market Cap (RM Juta) NP Margin Nisbah PE
Yenher Holdings 285 11.05 12.7
RHONEMA 139 8.26 17.2
PLABS 67 5.02 17.4

Perbincangan

Secara umumnya, Yenher Holdings merupakan syarikat yang mempunyai kewangan yang kukuh serta tidak asing lagi dalam industri makanan kesihatan haiwan ternakan di Malaysia. Kebergantungan syarikat ini pada pembelian daripada pengguna Malaysia menjadi isu maka strategi mereka untuk melihat pasaran luar negara selepas mendapat dana IPO ini merupakan strategi yang baik.

Berdasarkan data kewangan juga, syarikat ini kelihatan sedang menumpukan pada pembuatan produk sendiri berbanding mengedar produk-produk barangan luar. Ini adalah tindakan yang baik untuk meningkatkan margin keuntungan mereka. Namun, ia juga tertakluk kepada keberkesanan dan kekuatan jenama yang mereka akan keluarkan nanti.


< kembali ke laman blog utama