UMUM

30-MAR-2021

Syarikat Terkemuka Delisted dari Bursa Malaysia


 


Dalam Bursa Malaysia terdapat pelbagai syarikat didagangkan melibatkan hampir 1,000 buah saham. Saham ini meliputi pelbagai sektor seperti, komunikasi, kewangan, teknologi, pengangkutan dan lain-lain. Apabila sesuatu saham mengalami kerugian dalam laporan kewangan, saham tersebut akan disenaraikan sebagai PN17 untuk syarikat dalam pasaran utama (main market) dan GN3 untuk syarikat dalam pasaran ACE. Sampai satu tahap syarikat tersebut berkemungkinan akan delisted daripada Bursa Malaysia. Mari kita perhatikan saham-saham yang telah delisted dalam Bursa Malaysia.

MAS

Industri penerbangan merupakan salah satu aspek yang penting dalam nadi perhubungan udara ke negara lain. Dalam negara Malaysia, terdapat beberapa syarikat penerbangan seperti MAS, AirAsia dan lain-lain. Syarikat MAS mula ditubuhkan sejak tahun 60-an dan saban tahun MAS mengalami jatuh bangun dari segi aspek kerugian, peningkatan operasi dan tragedi kemalangan sehingga menggemparkan dunia.

Setelah beberapa tahun didagangkan di Bursa Malaysia, akhirnya MAS dinyahsenaraikan apabila Khazanah membeli pegangan saham sebanyak RM 1.38 bilion bersamaan RM 0.27 sesaham. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan MAS Airline dari mengalami kerugian dan muflis. Kesannya, MAS telah diswastakan dan menggunakan nama baharu iaitu Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Market Capital RM 3.07 bilion
Tarikh Dinyahsenaraikan 31 Disember 2014
Faktor MAS telah diswastakan melalui penjualan syer pegangan saham kepada Khazanah.
Gambar : businesstraveller.com

Proton

Jenama Proton merupakan satu simbolik dan lambang kemegahan bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai sejarah dalam inovasi automotif. Pelbagai usaha-sama dijalankan dengan syarikat terkemuka seperti Mitsubishi dalam menghasilkan kereta pertama buatan Malaysia.

Permulaannya, Proton diuruskan oleh Perusahaan Otomobil Nasional Berhad sejak diperkenalkan pada tahun 1983. Pada 16 April 2004, saham Perusahaan Otomobil Nasional Berhad tidak lagi disenaraikan dan status penyenaraian ini disambung serta diambil alih oleh PROTON Holdings Berhad selepas berlakunya penukaran saham. Penukaran saham ini bertujuan untuk penyusunan semula korporat syarikat PROTON.

Selepas 9 tahun didagangkan di Bursa Malaysia, akhirnya Khazanah Nasional Bhd telah menjual 42.74% peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd kepada DRB-HICOM. Penjualan ini melibatkan pembelian harga RM 5.50 sesaham bersamaan RM 1.291 bilion.

Market Capital RM 3 bilion
Tarikh Dinyahsenaraikan 16 Mei 2012
Faktor Proton telah diswastakan melalui penjualan syer pegangan saham kepada DRB-HICOM
Proton
Gambar : Proton

Utusan

Sebut sahaja Utusan, pasti ramai yang mengenali akhbar yang tertua diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1930-an yang berfungsi menyampaikan maklumat dan isu semasa. Utusan mula didagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (Bursa Malaysia) sekitar tahun 1994. Utusan pernah mencatatkan paras tertinggi pada harga RM 7.66 sesaham (31 Mac 2000). Pada Ogos 2018, syarikat Utusan telah diklasifikasikan sebagai PN17 disebabkan kewangan yang tidak mencukupi dan bebanan hutang terlalu tinggi.

Syarikat ini telah dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia pada paras harga RM0.005 sesaham. Untuk menanggung kos operasi pihak syarikat telah menaikkan harga akhbar Utusan dari RM 1.50 kepada RM 2.00 dan Kosmo RM 1.00 kepada RM 1.50. Namun tindakan ini tidak berhasil dan pada 31 Oktober 2019, syarikat Utusan telah menamatkan operasi. Pada Julai 2020, syarikat Utusan telah kembali beroperasi dibawah pengurusan baharu.

Market Capital RM 6 juta
Tarikh Dinyahsenaraikan 30 Ogos 2019
Faktor Kegagalan mencari pelabur dan tanggungan hutang sebanyak RM139.19 juta
Utusan dinyahsenaraikan
Gambar : Utusan Malaysia

Transmile

Transmile Group Bhd merupakan syarikat pelaburan yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan udara, peralatan pesawat dan pengurusan logistik ekspres. Syarikat ini mempunyai beberapa anak syarikat seperti Transmile Air Services Sdn Bhd, Transmile Thailand Sdn Bhd, Transmile Management Sdn Bhd, Viunique Corporation Sdn Bhd, dan CEN Worldwide Sdn Bhd. Syarikat ini mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 27 Jun 1997.

Jika dilihat syarikat ini mempunyai pelbagai sektor yang terlibat dan mempunyai kewangan yang kukuh. Pada satu tahap Transmile telah mencapai pada paras harga tertinggi RM16 sesaham. Segalanya bermula apabila pihak syarikat Transmile telah memanipulasi data audit dalam laporan tahunan kepada Bursa.

Dalam laporan audit tersebut, Transmile mengalami kerugian sebanyak RM 126.3 juta dan bukannya keuntungan RM 157.5 juta pada FY06 seperti dilaporkan. Pada FY05, ia mencatat kerugian berjumlah RM 369.6 juta dan bukannya keuntungan RM 84.4 juta. Kesannya, saham Transmile telah menjunam daripada RM 16 kepada 16 sen dan dua pengarah syarikat telah dibicarakan di mahkamah.

Market Capital RM 3.89 bilion kepada RM 155.32 juta (2007)
Tarikh Dinyahsenaraikan 24 Mei 2011
Faktor Memanipulasi laporan suku tahunan Transmile terhadap data audit kewangan syarikat.
Transmile dinyahsenaraikan
Antara perkhidmatan yang disediakan Transmile.Gambar: theedgemarket.com

Caring Pharmacy

Caring Pharmacy merupakan dalam sektor perkhidmatan yang berkonsepkan farmasi dalam industri runcit (ubatan) seperti Guardian, Watson dan lain-lain. Secara umumnya, Caring Pharmacy ditubuhkan pada tahun 1994 dan membuka cawangan pertamanya di Taman Muda, Cheras. Pada tahun 2019, cawangannya semakin berkembang luas dan mempunyai sebanyak 120 cawangan serata Malaysia.

Farmasi ini mula didagangkan di pasaran utama Bursa Malaysia pada tahun 2014. Selepas enam tahun setengah, pada 8 Mei 2020 Caring Pharmacy tidak didagangkan disebabkan pengambilalihan oleh 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. 7-Eleven telah mengambil alih Caring dengan harga RM 2.60 sesaham. Tawaran ini sekaligus meningkatkan pegangan 7-Eleven dalam Caring Pharmacy kepada 38.57% berbanding 13.22%.

Market Capital RM 455 juta ( 2019)
Tarikh Dinyahsenaraikan 8 Mei 2020
Faktor Pengambilalihan oleh 7-Eleven (RM 2.60 sesaham)
Caring Pharmacy dinyahsenaraikan
Gambar : Vulcanpost.com

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bukan semua saham yang terkeluar senarai di Bursa Saham disebabkan faktor negatif seperti kerugian kewangan syarikat, manipulasi maklumat laporan tahunan syarikat dan lain-lain. Ada antaranya faktor positif seperti strategi bisnes dalam pengambil-alihan untuk penyusunan semula syarikat.


< kembali ke laman blog utama