UMUM

25-NOV-2021

Syarikat Stesen Minyak yang Bertapak di Malaysia


 


Petroleum merupakan salah satu keperluan dalam penggunaan pengangkutan di dunia. Di Malaysia terdapat beberapa bahan api dan gas yang ditawarkan di stesen minyak seperti diesel, minyak RON97, minyak RON95 dan gas LPG. Sepanjang kewujudan stesen minyak di Malaysia telah berlakunya beberapa perubahan penjenamaan semula beberapa buah nama stesen minyak. Dahulu adanya stesen minyak seperti Projet, Esso, Mobil dan BP.

Stesen Minyak Utama

Petronas

Petronas merupakan singkatan bagi Petroleum Nasional Berhad adalah sebuah syarikat minyak dan gas multinasional negara Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1974. Pada 5 Jun 1979, Petronas telah mengorak langkah dengan memperkenalkan tiga buah stesen minyak pertama.

Stesen ini diperkenalkan pada ketika itu untuk mengatasi kekurangan minyak tanah dan diesel. Tiga stesen minyak tersebut terletak di Jalan Enggang Datuk Keramat, Jalan Kepong dan Jalan SS 3/39 berhampiran kawasan perdagangan bebas Sungai Way-Subang. Di sinilah bermulanya titik permulaan Petronas mengembangkan rangkaian stesen minyak ke seluruh negara Malaysia.

Dalam pasaran saham, syarikat Petronas mempunyai 3 jenis saham yang didagangkan di Bursa Malaysia. Antaranya, Petronas Dagangan Bhd (PETDAG) Petronas Chemicals Group Berhad (PCHEM), dan Petronas Gas Bhd (PETGAS).

Gambar: Bloomberg

Shell

Shell mula diperkenalkan di Malaysia sekitar 125 tahun yang lalu dengan melibatkan pelbagai kepakaran petroleum. Stesen minyak Shell menawarkan pelbagai jenis bahan api petrol dan diesel yang bermutu tinggi. Antaranya, Shell FuelSave 95, Shell V-Power 97, Shell V-Power Racing, Shell FuelSave Diesel dan Shell FuelSave Diesel Euro 5.

Setiap tahun Shell akan memperkenalkan pelbagai jenis kereta permainan tidak kira koleksi dari Ferrari, Lego atau Truk. Pengenalan ini berupaya menarik pelanggan terutamanya bagi pengumpul tegar koleksi kereta permainan dari Shell dengan menebusnya melalui pembelian minyak kenderaan. 

Pada mulanya, syarikat Shell pernah didagangkan melalui pasaran saham di Bursa Malaysia. Namun penghujung tahun 2016, syarikat Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL) telah membeli pegangan saham Shell sebanyak 51% bersamaan USD 66.3 juta. Oleh sebab itu, berlaku penjenamaan semula dengan menukar nama dari Shell Refining Company kepada Hengyuan Refining Company Berhad. Penukaran ini menyebakan nama saham Shell ditukarkan kepada HENGYUAN.

Gambar: Shell

Petron

Petron merupakan syarikat minyak yang dikenali sebagai Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. Nama Petron mula digunapakai selepas penjenamaan semula nama Esso Malaysia Berhad (EMB) pada Julai tahun 2012. Pertukaran ini menyebabkan semua stesen minyak Esso di Malaysia digantikan dengan nama stesen minyak Petron. Kesemua anak syarikat juga ditukarkan nama kepada Petron Fuel International Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd dan Petron Oil (M) Sdn Bhd (ExxonMobil Borneo Sdn Bhd).

Perstrukturan ini berlaku apabila syarikat San Miguel Corporation, Petron Corporation mengambil alih perniagaan hiliran (downstream) ExxonMobil pada Januari 2012. Kini, Petron Malaysia adalah syarikat ketiga terbesar dan pemain industri utama downstream di Malaysia. Dalam pelaburan saham, syarikat Petron didagangkan atas nama PETRONM di Bursa Malaysia.

Gambar: Petron

Caltex

Caltex merupakan stesen minyak dan penjenamaan yang dimiliki sepenuhnya oleh Chevron Corporation. Di Malaysia ia diuruskan oleh anak syarikat Chevron iaitu Chevron Malaysia Limited. Syarikat ini mempunyai hampir 420 stesen minyak Caltex di Semenanjung Malaysia yang menawarkan bahan api seperti Premium 95 Techron, Premium 97 Techron, Caltex Diesel Techron D dan Caltex Power Diesel (Euro5). Techron adalah nama paten yang digunakan di stesen minyak Caltex.

Caltex mula bertapak dan menjalankan operasi perniagaan pada tahun 1937 yang dikenali sebagai Malaya dengan memasarkan minyak pelincir dari pejabatnya di Singapura. Caltex Oil (Malaya) Ltd telah diperbadankan pada tahun 1959 dan sekali namanya ditukar pada tahun 1965 kepada Caltex Oil Malaysia Limited. Menjelang tahun 2001, berlakunya penggabungan antara Chevron dan Texaco. Pada tahun 2006, Chevron Malaysia Limited diperkenalkan dengan menggantikan nama Caltex Oil Malaysia Limited.

Gambar: Caltex

BHPetrol

Boustead melalui anak syarikat iaitu Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd merupakan pemegang saham utama dalam BHP Petroleum. Sebelum ini syarikat BHPetrol dimiliki oleh syarikat BP sehingga tahun 2004, namun syarikat BP telah mengundurkan diri dalam pasaran industri peruncitan petroleum Malaysia. BHPetrol mempunyai sekitar 400 rangkaian stesen minyak di seluruh negara Malaysia yang menjual bahan api pelincir dan produk Gas Petroleum Cecair (LPG).

Jika dilihat dalam pasaran saham, Boustead didagangkan dalam 3 jenis nama saham berlainan. Perbezaan ini disebabkan syarikat Boustead terlibat dalam pelbagai industri. Antaranya adalah Boustead Holdings Berhad (BSTEAD), Boustead Plantation Berhad (BPLANT) dan Boustead Heavy Industries Corp (BHIC)

Gambar: BHPETROL

Lain-lain stesen minyak

Five

Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd (Five) adalah sebuah syarikat peruncitan minyak tempatan mula diperkenalkan dengan melancarkan stesen minyak Five dalam pasaran Malaysia pada awal tahun 2020. Stesen minyak pertama Five terletak di Kalumpang, Selangor. Pembukaan ini seiring dengan pengenalan kedai serbaneka Woo Mart dan minyak Ultimaxx. Syarikat ini diuruskan oleh Seng Group yang mempunyai pengalaman dalam dunia perniagaan runcit petrol selama lima dekad. 

Melalui kenyataan media, untuk memastikan penawaran minyak berkualiti Five telah menjalinkan kerjasama pembekalan dengan Petronas untuk memenuhi standard kualiti tinggi. Five menyasarkan untuk mengembangkan lagi jumlah rangkaian stesen minyak pada masa hadapan.

Gambar: 5 Petrol

Buraqoil

Buraqoil adalah sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh IPTB Sdn Bhd merupakan syarikat milik penuh Zaiyadal Keluarga Sdn Bhd (ZKSB) melalui cabang pelaburan 80% bahagian ekuiti syarikat dan 20% dimiliki secara langsung oleh ZKSB. Ia membawa konsep "Your Community Station" yang bermaksud stesen komuniti anda. Oleh sebab itulah, stesen minyak mini Buraqoil menumpukan kawasan luar bandar dan pinggir bandar di 9 buah negeri yang melibatkan produk petroleum Buraqoil (Ron 95 dan Diesel B7). Negeri yang terlibat adalah seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Stesen ini sama sahaja seperti stesen minyak yang lain, cumanya dalam skala yang lebih kecil dari segi modal permulaan, tapak perniagaan dan saiz stesen. Ia dipanggil stesen mini serta menyenangkan penduduk luar bandar terutamanya bagi golongan nelayan atau petani untuk mendapatkan keperluan bahan api. Buraqoil juga menerima jalinan kerjasama dengan UMW M&E Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW untuk mengembangkan rangkaian pengedaran luar bandar. Kini, Buraqoil mempunyai hampir 150 stesen minyak mini.

Gambar: Buraqoil

Petros

Petros merupakan singkatan kepada Petroleum Sarawak Berhad yang dimiliki oleh kerajaan negeri Sarawak. Pembinaan stesen ini dilaksanakan oleh SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC Energy). Stesen pertama Petros dibina terletak di Darul Hana, Kuching, Sarawak. Dalam masa empat tahun akan datang. Petros merancang membina empat buah stesen minyak yang terletak di Miri, Sri Aman, Bintulu dan Sibu.

Apabila stesen minyak Petros siap dibina, ia akan menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia memiliki stesen minyak sendiri. Apa yang menariknya, Petros akan dilengkapi dengan kemudahan isi minyak bahan bakar konvensional, pengecasan kenderaan elektrik dan pengisian bahan bakar hidrogen. Stesen ini akan memberi manfaat kepada penggunaan kenderaan EV yang semakin mendapat perhatian dalam dunia pengangkutan.

Rujukan

 


< kembali ke laman blog utama