UMUM

11-JAN-2022

Syarikat Komoditi Kelapa Sawit yang Disenaraikan di Bursa Malaysia


 


Pasaran komoditi kelapa sawit merupakan salah satu penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pada tahun 2021, harga buah tandan segar (BTS) sawit telah mencapai harga tertinggi dalam sejarah, iaitu melebihi RM 1,000 satu tan. Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) juga mencecah RM 5,430/ tan pada tahun 2021, iaitu harga tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia.

Tahukah anda, terdapat beberapa buah syarikat berkaitan komoditi kelapa sawit yang disenaraikan di Bursa Malaysia? Penilaian ini disusun mengikut jumlah permodalan pasaran (market capitalization) syarikat tersebut.

Sime Darby Plantation Berhad

Sime Darby Plantation Berhad merupakan salah satu daripada lima bahagian teras daripada Sime Darby Group. Ia mewakili cabang daripada perniagaan peladangan dan pertanian. Melalui pengasingan ini, Sime Darby Plantation disenaraikan di Bursa Malaysia pada 30 November 2017 melalui nama saham SIMEPLT.

Sime Darby Plantation mempunyai jumlah simpanan tanah seluas 342,408 hektar dengan kawasan tanaman kelapa sawit seluas 298,965 hektar. 82.6% daripadanya adalah pokok matang. Syarikat ini memiliki 123 ladang kelapa sawit di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada laporan kewangan terkini, Sime Darby Plantation mencatatkan pendapatan sebanyak RM 5.06 bilion serta keuntungan sebanyak RM 610 juta.

Gambar: Laporan Kewangan (QR)

IOI Corporation Bhd

IOI Corporation Berhad merupakan pemain dalam industri minyak sawit terlibat dalam pasaran domestik dan global. Syarikat ini dikenali sebagai IOICORP yang disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia. Perniagaan minyak sawit IOI meliputi peringkat upstream perladangan di Malaysia dan Indonesia. Selain itu ia juga terlibat pada peringkat downstream seperti refining, oleochemicals dan specialty oils and fats.

IOI mempunyai 96 estet, 15 kilang kelapa sawit dan 4 pusat penyelidikan pembangunan (R&D) di seluruh negara Malaysia dan Indonesia. Jumlah kawasan tanaman mereka melibatkan 178,105 hektar melibatkan Sabah dan Sarawak (112,824 hektar), Semenanjung Malaysia (42,968 hektar) dan Indonesia (21,134 hektar). Di mana 81% dikategorikan sebagai pokok matang. Purata umur pokok sawit adalah 13.5 tahun. Pada laporan kewangan terkini, IOICORP mencatatkan pendapatan sebanyak RM 3.63 bilion serta keuntungan sebanyak RM 277.6 juta.

Gambar: Laporan Kewangan IOICORP

Kuala Lumpur Kepong Bhd

Kuala Lumpur Kepong Berhad merupakan sebuah syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan mencatatkan permodalan pasaran sekitar RM 23.11 bilion. Syarikat ini terlibat dalam 3 aktiviti perniagaan iaitu perladangan, oleochemical, dan hartanah.

Lokasi penanaman kelapa sawit KLK di Malaysia. Gambar: KLK.

KLK adalah antara salah satu syarikat terbesar di Malaysia dengan keluasan tanah hampir 300,000 hektar di seluruh Malaysia (Semenanjung dan Sabah), Indonesia (Pulau Belitung, Sumatera, Kalimantan) dan Liberia. Dari segi taburan geografi kira-kira 54% keluasan ladang di Indonesia, 40% di Malaysia dan 6% di Liberia. Berdasarkan laporan kewangan, KLK mencatat pendapatan RM 5.9 bilion dan keuntungan sebanyak RM 625.8 juta.

Gambar: Laporan Kewangan KLK

United Plantations Berhad

Pada awalnya, United Plantation merupakan sebuah syarikat perladangan Malaysia-Denmark yang diasaskan pada tahun 1906. Syarikat ini menjalankan penanaman kelapa sawit dan kelapa. Ia melibatkan keluasan tanaman sebanyak 51,000 hektar yang meliputi Malaysia (80%) dan Indonesia (20%) serta mempunyai sebanyak 6500 orang kakitangan.

United Plantation mempunyai anak syarikat iaitu Unitata Berhad bertanggungjawab dalam pengeluar premium minyak sawit, palm kernel oil dan derivatives. Antara produk UNITATA berkaitan kelapa sawit ditapis seperti minyak sawit ditapis, palm olein, palm sterin, palm kernel oil, dan palm kernel stearin. Selain itu, syarikat ini juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat Fuji Oil dalam pemprosesan minyak sawit mentah bermutu tinggi. Kerjasama ini dikenali sebagai UNIFUJI.

Gambar: Laporan Kewangan UTDPLT

Felda Global Ventures Holding Berhad

FGV ataupun Felda Global Ventures Holding Berhad merupakan sebuah perniagaan berasaskan pertanian yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012. Syarikat ini memfokuskan 3 sektor perniagaan iaitu perladangan, gula dan logistik. Dari segi perladangan kelapa sawit, ia terlibat dalam proses upstream dan downstream.

Produk keluaran FGV. Gambar: FGV

Pada peringkat upstream, FGV mempunyai keluasan tanah perladangan seluas 439,275 hektar di Malaysia dan Indonesia yang menghasilkan 3 juta tan CPO setahun. Dari sudut geografi negara Malaysia (416,697 hektar) dan Indonesia (22,578 hektar). FGV mempunyai sekitar 197 estet di Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Manakala, di Indonesia mempunyai 5 estet yang terletak di Kalimantan Tengah dan Barat.

Gambar: Laporan Kewangan FGV

Selain daripada syarikat-syarikat ini, terdapat juga syarikat lain yang terlibat dengan komoditi kelapa sawit yang tidak dinyatakan. Antaranya ialah, Genting Plantation (GENP), TH Plantation (THPLANT), Sarawak Plantation (SWKPLNT) dan bermacam-macam lagi. Senarai penuh syarikat terlibat ini boleh dilihat di sektor plantation iSaham.


< kembali ke laman blog utama