Kali ini kita akan bincangkan sebab-sebab pengeluaran wang dari broker anda tak berjaya. Ada beberapa sebab yang anda perlu faham.
1. Ada penyata yang tertunggak
Secara ringkas, anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 2 hari selepas transaksi terakhir anda untuk membuat pengeluaran wang. Dua hari ini diperlukan oleh broker dan Bursa untuk selesaikan bayaran yang terlibat dalam urusan jual beli yang anda lakukan. Anda boleh semak sama ada masih terdapat tunggakan dalam proses ini pada ringkasan akaun anda di My Account > Account Summary. Tunggakan adalah selesai sekiranya semua penyata yang berlabel (T+) mencatatkan angka 0.

Anda tidak perlu berbuat apa-apa kecuali untuk menunggu penyata ini selesai dipenuhi. Ia adalah urusan antara broker dan Bursa. Hari yang diperlukan untuk selesaikan penyata ini telah pun ditetapkan dengan peruntukan 2 hari selepas transaksi dilakukan. Sekiranya anda ingin perkara ini diselesaikan lebih awal, anda perlu habiskan urusan jual beli dengan lebih awal.
Untuk memahami lebih penyata ini lebih mendalam, anda boleh baca artikel yang kami tulis tentang penyata dalam ringkasan akaun (account summary).
2. Ada duit yang beratur untuk pembelian
Apabila anda beratur membeli saham, sebahagian trading limit akan diperuntukkan untuk pembelian saham ini. Sekiranya anda ingin keluarkan kesemua wang dan kemudian beratur membeli, pengeluaran ini akan gagal dilaksanakan.

Cara mudah untuk memahami situasi ini adalah dengan membayangkan anda telah bersedia untuk membayar selepas makan di kedai bersama kawan anda. Namun dalam perjalanan nak bayar, kawan anda tambah pesanan makanan. Maka bayaran anda sekarang ni tak cukup sebanyak makanan yang baru dipesan tadi.
3. Maklumat pengeluaran tak lengkap
Sekiranya anda menggunakan M+ Online melalui desktop, ada kemungkinan anda terlepas maklumat Client Code apabila menghantar permohonan pengeluaran. Sekiranya maklumat ini lopong, maka pihak M+ tak dapat nak laksanakan permohonan anda kerana kekurangan maklumat.

4. Mohon pengeluaran selepas pukul 9 pagi
Anda perlu tahu bahawa M+ menetapkan waktu cut-off untuk permohonan ini adalah seawal pukul 9 pagi. Sekiranya permohonan anda dibuat selepas waktu ini, ada kemungkinan bahawa pengeluaran ini hanya akan diluluskan selepas pukul 4 keesokan harinya pula.
