IPO

10-FEB-2026

Risiko & Strategi IPO Financing


AA    


Setiap pelaburan datang dengan risikonya tersendiri, begitu juga apabila anda memohon IPO untuk mendapatkan saham syarikat yang bakal disenaraikan di pasaran.

Pada tahun lepas, pihak Malacca Securities telah memperkenalkan kemudahan IPO Financing. Dengan kemudahan ini, pelabur boleh menggunakan leverage atau pembiayaan untuk memohon unit IPO dalam jumlah yang lebih besar bagi meningkatkan kebarangkalian mendapatkan allotment.

Namun, di sebalik usaha untuk meningkatkan peluang agihan tersebut, pelabur perlu sedar bahawa risiko yang ditanggung juga menjadi lebih besar berbanding permohonan biasa.

 

Mekanisme Mplus IPO Financing

 

Seperti yang kami terangkan secara terperinci dalam blog Mplus Global IPO Financing, IPO Financing ialah kemudahan pinjaman yang membolehkan pelabur memohon IPO berkali ganda daripada modal tunai yang dimiliki. Sebagai contoh, jika anda mempunyai modal RM10,000 dan menggunakan leverage x2, anda boleh memohon IPO bernilai RM20,000. Pihak broker akan membiayai baki RM10,000 tersebut untuk tujuan permohonan. Bagi pelabur Muslim, fasiliti IPO Financing patuh Syariah turut disediakan. Secara ringkas, semakin tinggi leverage yang digunakan, semakin besar nilai permohonan dan semakin besar juga komitmen kewangan yang terlibat.

 

 

Risiko Menggunakan IPO Financing

 

1. Agihan Melebihi Modal Sedia Ada

 

 

Risiko terbesar menggunakan IPO Financing berlaku apabila agihan saham yang diterima melebihi modal sebenar yang anda miliki.

Biasanya, IPO yang bagus akan mendapat permintaan tinggi dari pelabur, dan keputusan balloting biasanya akan oversubscribed. Maksudnya, tidak semua pelabur yang memohon akan dapat agihan, dan jumlah allotment yang diterima biasanya kecil. Contohnya, anda apply dengan nilai RM100,000, tapi mungkin hanya dapat beberapa ribu sahaja dan boleh jadi tak dapat. 

Sebaliknya, bagi IPO yang kurang baik, jumlah permohonan mungkin tidak banyak kerana kurang permintaan dan boleh menyebabkan undersubscribed. Apabila ini berlaku, allotment yang diberikan boleh jadi besar dan kadang-kadang boleh menerima allotment penuh seperti contoh balloting result di atas. 

Bagi yang menggunakan IPO Financing, sebahagian dana yang digunakan adalah pinjaman sementara dari broker, dan kos interest 8% dikenakan dari tarikh tutup permohonan hingga tarikh balloting, dengan andaian agihan yang diterima lebih kecil daripada modal asal. 

Apabila agihan yang diterima melebihi modal asal. Contohnya, jika anda ada modal asal RM20,000 dan gunakan leverage x5 untuk apply RM100,000. Jika keputusan balloting memberi anda agihan RM80,000, ini bermaksud RM60,000 adalah pinjaman yang masih berjalan.

Dalam situasi ini, caj faedah yang dikenakan selepas balloting adalah sekitar 13% setahun. Semakin lama saham tersebut dipegang, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung. Anda boleh merujuk situasi 2, 3 dan 4 untuk mengetahui tentang caj tambahan ini.

 

2. Kos Transaksi dan Faedah

 

 

Penggunaan IPO Financing datang bersama kos tambahan seperti financing profit (faedah), SST dan caj transaksi broker.

Kadar pembiayaan sekitar 8% setahun dikira berdasarkan jumlah pinjaman dan bilangan hari dari tarikh tutup permohonan sehingga tarikh balloting (bearing days). Semakin besar pembiayaan dan panjang tempohnya, semakin tinggi kos yang dikenakan.

Risiko ini menjadi lebih ketara apabila kos yang dikenakan tinggi dan keuntungan dari hasil jualan IPO tak mampu menampung semua kos yang terlibat. Sebagai contoh, jika harga saham hanya naik 5% pada hari pertama dagangan, keuntungan kasar yang diperoleh mungkin kecil. Selepas ditolak interest pinjaman, yuran transaksi broker dan kos berkaitan lain, keuntungan bersih tersebut boleh bertukar menjadi kerugian. Dalam keadaan ini, pelabur menanggung risiko leverage, dan pulangan yang diperoleh hanya digunakan untuk menampung kos pembiayaan atau boleh menyebabkan kerugian.

 

3. Risiko Tidak Mendapat Agihan

 

 

Seperti yang anda sedia maklum, agihan saham IPO lazimnya dibuat mengikut tier permohonan. Semakin tinggi tier permohonan yang anda buat, semakin tinggi peluang untuk menerima agihan. Namun begitu, penggunaan IPO Financing tidak menjamin anda akan mendapat saham yang dimohon. Kemudahan ini hanya meningkatkan kebarangkalian untuk menerima agihan, bukannya memberi jaminan mutlak.

Jadi, jangan terkejut sekiranya permohonan anda tidak berjaya, terutamanya bagi IPO yang mendapat permintaan tinggi dan kadar oversubscription yang besar. Dalam situasi sebegini, persaingan adalah sangat sengit dan agihan biasanya menjadi lebih terhad.

 

4. Harga Jatuh Selepas Penyenaraian

 

IPO Statistics
IPO Statistics

 

Tidak semua IPO akan melonjak naik pada hari pertama penyenaraian. Walaupun ada yang mencatat kenaikan ketara, terdapat juga IPO yang dibuka lebih rendah atau jatuh di bawah harga tawaran. Pergerakan harga selepas disenaraikan banyak dipengaruhi oleh faktor seperti sentimen pasaran, keadaan ekonomi semasa, sektor industri, serta tahap permintaan sebenar terhadap saham tersebut.

Sekiranya harga saham jatuh di bawah harga IPO, pelabur bukan sahaja menanggung kerugian atas kertas, malah kerugian tersebut boleh menjadi lebih besar apabila permohonan dibuat menggunakan IPO Financing. 

Dalam masa yang sama, kos faedah pembiayaan tetap berjalan. Ini bermakna tekanan terhadap modal pelabur menjadi dua kali ganda, nilai saham menyusut, dan pembiayaan terus meningkat selagi tidak dijual. 

 

Strategi Mengawal Risiko IPO Financing

 

1. Gunakan Financing Secara Selektif

 

Elakkan menggunakan IPO Financing untuk semua IPO. Pelabur perlu bersifat selektif dengan hanya memanfaatkannya untuk IPO yang berpotensi tinggi dan mempunyai prospek perkembangan yang baik. Untuk menilai sama ada sesebuah IPO itu berkualiti, kajian menyeluruh terhadap prospektus syarikat amat penting termasuk meneliti prestasi semasa syarikat serta kemampuan mereka berkembang mengikut pelan perniagaan dan industri yang diceburi. Selain itu, dapatkan juga pandangan penganalisis sama ada melalui lamanan IPO Analysis iSaham atau daripada research house/broker untuk sokongan tambahan. Pastikan IPO yang anda mohon ada potensi growth yang berbaloi dengan risiko yang anda sanggup ambil.

Rujukan blog: Cara membuat kajian IPO 

 

2. Buat Deposit Tambahan atau Jual Pada Hari Pertama

 

Jika agihan yang diterima melebihi modal asal, ini bermakna anda sedang memegang pinjaman dengan kos faedah yang tinggi. Untuk mengelakkan kos harian terus meningkat, pelabur yang mempunyai dana boleh membuat deposit tambahan bersamaan dengan nilai lebihan tersebut, atau memilih untuk menjual jumlah unit yang dibiayai pinjaman sebaik sahaja pasaran dibuka. Langkah ini penting untuk mengurangkan caj tambahan 13% yang dikenakan selepas balloting. 

 

3. Tetapkan Strategi Keluar dan Had Kerugian

 

Sebelum menggunakan financing, pelabur perlu mempunyai strategi keluar yang jelas. Ini bermaksud anda perlu tentukan bila untuk menjual bagi merealisasikan keuntungan, dan bila pula untuk keluar bagi menghadkan kerugian. Tetapkan sasaran keuntungan dan had kerugian (stop loss) lebih awal supaya tindakan anda tidak bergantung kepada emosi semasa pasaran bergerak. Disebabkan leverage menggandakan kesan kerugian, pergerakan harga yang kecil boleh memberi kesan besar kepada modal jika tidak dikawal dengan disiplin.

 

4. Mempunyai Dana Tunai Kecemasan 

Penggunaan financing tidak seharusnya melibatkan keseluruhan simpanan yang dimiliki. Pastikan anda mempunyai tunai tambahan sebagai langkah perlindungan sekiranya berlaku senario terburuk, termasuk kejatuhan harga saham yang mendadak dan keperluan menampung baki pinjaman kepada broker.

 

Kesimpulan

 

IPO Financing merupakan satu alat kewangan yang berpotensi membantu pelabur meningkatkan peluang mendapatkan agihan, namun ia juga datang bersama risiko yang lebih besar. Tanpa pengurusan risiko yang betul, kos faedah dan kesan leverage boleh menukar peluang kepada kerugian. Apa yang paling penting, lakukan kajian terlebih dahulu dan gunakan kemudahan ini secara selektif hanya untuk IPO yang berkualiti serta mempunyai potensi pulangan yang setimpal dengan tahap risiko yang sanggup anda tanggung.

Rujukan:

1.  Cara Mohon IPO Financing Mplus

2. Mplus Global IPO Financing

3. IPO Analysis


< kembali ke laman blog utama