UMUM

04-MAY-2021

Richard Branson Usahawan Optimis yang Mengilhamkan Lebih 200 Syarikat Virgin


 


Sir Richard Charles Nicholas Branson dilahirkan pada 18 Julai 1950, di sebuah tempat bernama Surrey, England. Bapanya dikenali sebagai Edward James Branson yang bekerja sebagai pengacara dan ibunya Eve Branson seorang pramugari serta juruterbang. Selepas berkahwin Eve mencuba pelbagai pekerjaan misalnya, perniagaan hartanah, usahawan perniagaan, penulis novel dan buku kanak-kanak.

Semasa zaman kanak-kanak, Richard mengalami satu penyakit yang dikenali sebagai myopia atau dyslexia. Apabila seseorang yang menderita dyslexia, orang tersebut akan sukar membaca dan menulis sepanjang hidup mereka. Namun ibu bapa Richard tidak pernah berbelah bahagi kasih sayang dan berusaha memberi dorongan kepada beliau.

Gambar: Virgin.com

Zaman Persekolahan

Sejak dari kecil Richard telah dihantar ke sekolah berasrama penuh oleh bapanya. Tinggal di asrama merupakan salah satu amalan tradisi bagi keluarga Richard. Beliau kurang bersetuju disebabkan menghadapi masalah dalam bidang akademik terutamanya bersaing dalam kelas yang melibatkan pelajar lain. Ketika berusia 8 tahun, Richard masih gagal dalam membaca dan menulis huruf serta nombor di papan hitam.

Walaupun Richard merupakan pelajar yang kurang bijak dalam bidang akademik ketika zaman persekolahan. Namun beliau mewarisi bakat bapanya yang aktif dalam bidang sukan. Richard telah menjadi kapten bagi pasukan bola sepak, ragbi dan kriket. Apa yang membanggakan, Richard telah berjaya memecah rekod bagi acara lompat jauh. Dipendekkan cerita, beliau terpaksa berehat panjang tanpa menyertai sebarang acara sukan disebabkan kecederaan.

Richard telah berpindah ke Stowe School pada tahun 1963. Gambar: stowe.com

Usahawan Muda

Bakat dalam perniagaan sudah terserlah dalam jiwa Richard sejak dari bangku sekolah lagi. Ketika berumur 11 tahun, beliau telah menjalankan perniagaan sendiri bersama rakannya Nik Powell. Mereka telah menjual serta membiak sejenis burung kakak tua yang dikenali "Budgerigars". Ayah Richard telah memberi dorongan dengan membina kandang burung. Sepanjang berada di asrama, Ibu dan bapanya telah menjaga burung tersebut.

Menjelang cuti sekolah, Richard dan kawannya berjaya menjual banyak burung kepada penduduk disekitar rumahnya. Perniagaan ini tidak bertahan, disebabkan kebanyakkan burung tersebut dimakan oleh tikus dan bakinya terpaksa dilepaskan dari sangkar. Seterusnya, Richard telah berazam dengan menanam sebanyak 400 anak pokok Krismas di laman rumahnya.

Beliau menjangkakan anak pokok akan tumbuh membesar setinggi 6 kaki pada malam Krismas. Richard akan menjualnya sebanyak 2 Euro bagi satu pokok dan keseluruhanya sebanyak 800 Euro. Namun jangkaan ini meleset, apabila semua anak pokok ini telah dimakan oleh arnab.

Tercetusnya Inspirasi Syarikat Virgin

Majalah Student

Disebabkan pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam bidang akademik, Richard telah berhenti pada usia 16 tahun dalam pengajian sains dan bahasa Latin. Beliau telah berbincang dengan rakannya semasa kecil Nik Powell mengenai hasrat menerbitkan sebuah majalah bernama "Student". Nik telah bersetuju untuk menolong Richard.

Paparan muka hadapan edisi pertama majalah Student 1968. Gambar: astrumpeople.com

Beliau telah mengambil sedikit masa untuk menjelaskan cita-cita mengenai hasratnya ingin menubuhkan majalah student. Richard juga membuat permohonan maaf kepada keluarganya disebabkan tidak meneruskan persekolahan. Ibunya sangat menyokong dengan menulis beberapa artikel dan memberikan wang pendahuluan. Akhirnya Richard telah melancarkan majalah "Student" pada tahun 1966 dan edisi pertama telah diterbitkan pada Januari 1968.

Selepas setahun diterbitkan nilai kekayaan Richard telah meningkat kepada 50,000 Euro. Richard telah menjalankan strategi dengan menemuramah beberapa artis terkenal dan tokoh terkemuka untuk dimasukkan dalam artikel majalah tersebut seperti Mick Jagger, Peter Blake, John Lennon. Sampai satu tahap, salinan majalah student terus meningkat kepada 100,000 salinan apabila Richard berjaya menemuramah John Lennon.

Kejayaan ini diteruskan sehingga sebanyak USD 8000 dalam ruangan iklan majalah berjaya terjual. Menjelang tahun 1970, Richard telah fokus sepenuhnya terhadap Virgin Mail Order dan cuba menjual majalah Student tetapi gagal mencari pembeli. Akhirnya, majalah Student menghentikan pencetakan begitu sahaja.

Virgin Records (1972)

Selepas melancarkan Virgin Mail Order, Richard telah menubuhkan Virgin Records pada tahun 1972 setelah melihat peluang perniagaan dalam bidang industri muzik. Artis rakaman pertama dibawah naungan label Virgin Record merupakan Mike Oldfield, lagu Tubullar Bells pada tahun 1973. Lagu ini berada di carta muzik UK selama 247 minggu.

Pada tahun 1983, Virgin Records semakin berkembang luas sehingga mencapai jualan sebanyak USD 17 juta. Bukan itu sahaja, ramai penyanyi terkemuka berada di bawah naungan Virgin Records. Namun menjelang tahun 1992, Richard Branson terpaksa menjual Virgin Record kepada THORN EMI sebanyak USD 1 bilion untuk mendapatkan dana tambahan kepada Virgin Atlantic.

Pada waktu ini, kewangan syarikat Virgin Atlantic kurang memberangsangkan. Penjualan ini telah memberi kesan yang mendalam terhadap diri Richard.

Gambar: Virgin.com

Sektor Pengangkutan dan Eksplorasi Angkasa

Virgin Atlantic

Detik permulaan Richard mula menceburkan diri dalam industri penerbangan adalah apabila beliau bersama isterinya Joan dalam perjalanan ke Puerto Rico. Penerbangan ini terpaksa dibatalkan menyebabkan beratus-ratus penumpang terkandas di lapangan terbang Puerto Rico. Perkara ini telah memberi idea untuk menubuhkan sebuah syarikat berasaskan penerbangan.

Secara kebetulan, seorang peguam Randolph Fields dan bekas ketua juruterbang syarikat penerbangan swasta, Britain Laker Airways berhasrat ingin menubuhkan syarikat baru yang dikenali sebagai British Atlantic Airways. Idea ini timbul selepas Laker Airways muflis pada Februari 1982. Selepas Fields mengadakan perbincangan dengan Richard Branson akhirnya British Atlantic ditukar nama kepada Virgin Atlantic ditubuhkan pada tahun 1984 dengan konsep perkongsian perniagaan.

Namun disebabkan Fields kurang bersetuju cara pengurusan Richard, akhirnya beliau menjual syer pegangan saham dalam syarikat tersebut. Kini Virgin Atlantic semakin berkembang luas dengan menambah jumlah penerbangan hampir 103 destinasi. Richard bukan sahaja mempunyai satu, malah terdapat beberapa syarikat penerbangan Virgin di negara lain:

Gambar: Virgin.com

Virgin Hyperloop

Syarikat ini telah ditubuhkan pada Jun 2014 berkonsepkan syarikat teknologi pengangkutan berkelajuan tinggi yang dikenali sebagai Hyperloop. Ia merupakan pengangkutan kereta api vakum yang membawa penumpang atau kargo dengan kelajuan sehingga 760 mph (1223.1 km/h). Kereta api ini akan menggunakan sepenuhnya tenaga elektrik yang melalui tiub tekanan rendah sebagai laluan perjalanan.

Selepas menjalani ujian sebanyak 400 kali tanpa pemandu, pada 8 November 2020 Virgin Hyperloop telah melakukan ujian pertama yang melibatkan manusia sebagai penumpang. Ujian ini dilaksanakan dengan kelajuan 107 mph (172 km/h) di tapak ujian Virgin Hyperloop DevLoop di Las Vegas, Nevada. Pengangkutan ini dijangka akan beroperasi secara komersial menjelang tahun 2030.

Gambar: cnn

Virgin Galactic

Pada tahun 2004, Richard Branson telah bekerjasama dengan dengan Scaled Composites untuk menubuhkan Spaceship Company dibawah syarikat Virgin Galactic. Sikap beliau yang optimis dan ingin merealisasikan impian dalam penerokaan angkasa syarikat merupakan salah satu faktor tertubuhnya syarikat ini.

Syarikat ini menjalankan perkhidmatan dengan membawa penumpang ke angkasa lepas. Sehingga kini terdapat lebih 600 pelanggan telah membeli tiket penerbangan ini. Beberapa model kapal terbang telah diperkenalkan seperti White Knight Ewo, VSS Imagine dan Inspire.

Gambar: space.com

Pelbagai Jenama dibawah Virgin

Apa yang menariknya mengenai Branson, beliau bukan sahaja memegang 3 atau 4 buah syarikat tetapi memiliki sehingga 200 buah syarikat yang menggunakan nama "Virgin". Dengan strategi ini, Branson melancarkan syarikat yang baru dengan menggunakan wang pelaburan minimum sebagai pegangan syer. Pelaburan ini merangkumi sektor pelancongan, pengangkutan, hiburan, telekomunikasi, makanan dan minuman.

Gambar: astrumpeople.com

Nilai Kekayaan

Menurut Forbes, Richard Branson telah mencapai kekayaan sebanyak USD 4.4 billion serta individu ke-589 terkaya di dunia. Siapa sangka dengan bermulanya keuntungan sebanyak USD 2,000 pada usia 16 tahun, kini beliau mempunyai pelbagai pengalaman dalam jatuh bangun syarikat Virgin.

Ini adalah disebabkan beliau seorang yang optimis, berpandangan jauh dan suka mengambil cabaran terhadap dirinya terutamanya dalam sesuatu perniagaan. Richard juga telah berjaya mencatat rekod sebagai orang pertama dalam yang menyeberangi Lautan Atlantik dengan menggunakan belon panas. Satu cabaran yang mungkin tak pernah difikirkan untuk dibuat oleh sesiapa.

Pada tahun 2011, Richard Branson telah berundur dari Virgin Group sebagai Ketua Pegawai Eksekutif disebabkan ingin fokus sepenuhnya dalam Virgin Galactic sebagai sektor pelancongan ruang angkasa.

Gambar: astrumpeople.com

< kembali ke laman blog utama