UMUM

23-AUG-2021

QSR Brands Kembali Dengan Rancangan IPO


 


Pasti ramai di antara kita yang pernah makan di restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut. Namun, tahukah anda syarikat manakah yang mengendalikan restoran makanan segera ini di Malaysia?

Syarikat yang menjadi pengendali untuk francais makan segera ini ialah QSR Brands (M) Holdings Bhd. Mereka telah diberi hak tunggal oleh Yum! Brands, iaitu pemilik francais makanan ini, untuk mengendalikan KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Cambodia. Sehingga kini, terdapat lebih 850 buah restoran KFC dan 495 buah restoran Pizza Hut dikendalikan oleh QSR Brands.

Selain mengendalikan restoran makanan segera, QSR Brands juga menjalankan perniagaan ternakan dan pemprosesan daging melalui Ayamas dan perniagaan sampingan seperti penghasilan sos melalui anak syarikat mereka, iaitu Region Food Industries.

QSR Brands

Baru-baru ini, akhbar The Edge telah melaporkan bahawa QSR Brands telah menghidupkan kembali rancangan mereka untuk mengeluarkan tawaran awam permulaan atau Initial Public Offering (IPO).

Pemegang saham pengendali syarikat QSR, iaitu Johor Corp Bhd (JCorp) telah berhubung dengan Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd untuk menjadi penasihat bagi pengeluaran IPO mereka.

Rancangan IPO QSR Brands

Saham syarikat QSR Brands pernah berada di dalam pasaran Bursa Malaysia, namun telah dinyahsenaraikan pada tahun 2013 akibat pembelian secara besar-besaran bernilai RM 5.21 bilion oleh syarikat JCorp, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan CVC Capital Partners.

Namun, rancangan IPO syarikat ini bukanlah sesuatu yang baru. QSR Brands pernah merancang untuk memasuki pasaran semula sejak tahun 2016, tetapi rancangan itu terhalang apabila pelabur berpotensi mempersoalkan penilaiannya yang agak tinggi. Oleh yang demikian, pada April 2019, syarikat QSR Brands secara rasminya menangguhkan rancangan IPO mereka.

Kini, mereka bercadang untuk mengeluarkan kembali rancangan IPO pada tahun 2021 ini setelah JCorp menjalankan penstrukturan semula syarikat, termasuk kajian semula secara terperinci terhadap kesemua perniagaan mereka.

KFC
Restoran makanan segera KFC

Tambahan lagi, QSR Brands melihat permintaan yang tinggi terhadap saham syarikat MR DIY Group (M) Bhd dan CTOS Digital Bhd pada awal keluarannya. Justeru, memberi peluang untuk mereka memperoleh dana tambahan untuk mengembangkan perniagaan atau keperluan-keperluan lain.

Walaubagaimanapun, rancangan ini adalah masih di peringkat awal dan berkemungkinan juga syarikat QSR Brands tidak meneruskan hasrat penyenaraian IPO mereka. (Sumber: Bloomberg)

Prestasi IPO pada tahun 2021

Walaupun ekonomi terkesan akibat pandemik, namun pasaran IPO kelihatan kekal stabil pada tahun ini. Sejumlah 12 syarikat telah tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE setakat ini.

Analisa IPO oleh iSaham
Syarikat-syarikat yang telah tersenarai di pasaran Bursa Malaysia tahun ini.

Hampir kesemua IPO yang tersenarai pada tahun 2021 ini menunjukkan kenaikan yang memberangsangkan pada hari penyenaraian akibat sambutan yang hangat dari para pelabur. Analisa IPO ini boleh dilihat di screener iSaham, IPO Analysis.


< kembali ke laman blog utama