UMUM

06-AUG-2021

Pengiraan Kadar Broker untuk Dagangan Intraday


 


nombor dan kalkulator

Dalam M+ Online, malah untuk mana-mana broker pun, akan ada cara pengiraan yang berasingan sama ada untuk dagangan biasa (dipanggil kadar internet) dan dagangan harian (intraday). Kadang-kadang bila pasaran rancak, atau mungkin panik, kita pun terikut-ikut jual beli sampai jadi day trader dengan tak sengaja. Kalau jadi day trader, jangan terkejut kalau bayaran broker tak sama dengan kadar bayaran biasa. Dalam post kali ni, kita akan belajar cara mengira bayaran kadar dagangan harian mengikut broker Malacca Securities atau M+ Online.

Jenis Kadar Broker

Dalam M+ Online atau kebiasaan mana-mana broker, ada dua jenis kadar yang digunakan iaitu kadar biasa dan kadar harian.

Intraday Rate

Kadar harian, juga disebut sebagai intraday rate ini dikenakan kepada mana-mana transaksi yang berselang antara jualan dan belian untuk jumlah lot yang sama. Kadar intraday ini hanya akan mengira jualan sekali dan belian sekali sahaja tanpa mengambil kira jumlah transaksi yang berlaku dalam sehari.

Namun harus diingat, jumlah lot harus berpadanan antara jualan dan belian. Sebagai contoh, Ahmad membeli 100 lot Saham A, dan selepas kenaikan harga, Ahmad pun menjual Saham A tadi dengan jumlah lot yang sama. Dalam kes ini, Ahmad dikenakan kadar harian sebanyak 0.05% untuk jualan dan 0.05% belian.

Untuk apa-apa lagi jual beli yang dibuat pada hari yang sama, sekiranya jumlah jualan dan belian adalah sama, maka tiada kadar yang akan dikenakan terhadap transaksi tersebut.

Tarikh Lot Transaksi Kadar Broker
5 Ogos 2021 100 Beli 0.05% (intraday)
5 Ogos 2021 100 Jual 0.05% (intraday)
5 Ogos 2021 50 Beli tidak dikenakan caj
5 Ogos 2021 50 Jual tidak dikenakan caj

Situasi intraday ini tak semestinya dimulakan dengan belian sahaja. Boleh jadi Ahmad telah beli 100 lot pada hari yang lain. Hari ini dia membuat transaksi jual, beli, jual dan beli semula dengan lot yang berpadanan. Dalam kes ini, pengiraan masih akan sama seperti jadual di atas.

Internet Rate

Kadar biasa, kadang kala disebut sebagai internet rate atau overnight rate ini pula dikenakan kepada mana-mana transaksi yang melibatkan belian atau jualan sahaja tanpa diselangkan dengan transaksi lain dalam hari yang sama.

Sebagai contoh, hari ini Badrul beli Saham B sebanyak 200 lot dan ceritanya habis di situ. Esoknya, Badrul membuat transaksi jualan 100 lot. Dalam kes ini pula, Badrul akan dikenakan kadar biasa iaitu sebanyak 0.08% seperti boleh dilihat dalam kes 1 di bawah.

Tarikh Lot Transaksi Kadar Broker
5 Ogos 2021 100 Beli 0.08% (biasa)
5 Ogos 2021 100 Beli
6 Ogos 2021 100 Jual 0.08% (biasa) - hari tak sama

Kes yang selalu terjadi

Kami sering mendapat aduan bahawa M+ mengenakan dua kadar pada mereka iaitu kadar intraday dan juga internet. Namun, kes ini sememangnya boleh berlaku. Sebagai gambaran, boleh lihat situasi ini.

Situasi 1

Dalam situasi ini, suatu transaksi itu dimulakan dengan belian dan diikuti dengan jualan. Seterusnya, mungkin anda mahu membuat belian sahaja tanpa diikuti dengan jualan. Maka kes seperti inilah yang selalu akan menyebabkan dua kadar ini dikira dalam satu hari.

Contoh: Beli 100 lot, jual 100 lot dan beli 90 lot dalam hari yang sama

Tarikh Lot Transaksi Kadar Broker
5 Ogos 2021 100 Beli 0.05% (intraday)
5 Ogos 2021 100 Jual 0.05% (intraday)
5 Ogos 2021 90 Beli 0.08% (internet)

Penjelasan: Dalam situasi di atas, ianya agak jelas bahawa ada 90 lot yang telah dibeli tidak diselangkan dengan jualan pada jumlah lot yang sama. Oleh itu, baki 90 lot ini dikira dengan kadar internet.

Situasi 2

Dalam situasi ini pula, ia boleh terjadi semudah membeli dan menjual dengan bilangan yang tak sama. Oleh itu, M+ akan mencari bilangan saham yang boleh dipadankan antara belian dan jualan, bakinya dikira sebagai kadar internet.

Contoh: Beli 100 lot, jual 90 lot dalam hari yang sama

Tarikh Lot Transaksi Kadar Broker
31 Jan 2020 100 Beli 0.05% (intraday) dan 0.08% (internet)
31 Jan 2020 90 Jual 0.05% (intraday)

Penjelasan: Dalam situasi di atas, transaksi 90 lot dari 100 lot belian akan dikira sebagai intraday yang berpadanan dengan 90 lot jualan. Baki lagi 10 lot dari belian tadi akan dikira pada kadar internet.

Adakah kadar ini meningkatkan kos?

Mungkin ada yang merasakan kadar ini menjadikan kos broker lebih tinggi, mungkin juga ada yang tidak merasakan begitu. Sekiranya anda pertama kali mengalami kes dikenakan kadar intraday dan internet seperti contoh tadi, anda perlu tahu bahawa pengiraan ini wujud. Oleh itu, anda boleh menguruskan jualan dan belian mengikut pengiraan kadar yang diguna pakai oleh broker.

Sekiranya anda berdagang secara aktif dalam sehari pula, anda sebenarnya boleh dapatkan penjimatan dengan kaedah pengiraan ini. Sebagai contoh, sekiranya belian hari ni dijual pada hari pasaran lain, anda akan dikenakan kadar internet (0.08%) pada kedua-dua hari tersebut. Namun, sekiranya kedua-dua jualan dan belian dibuat pada hari yang sama, anda bayar pada kadar yang lebih rendah. Anda cuma perlu pastikan dagangan dibuat dengan jumlah belian dan jualan yang sama banyak.

Bolehkah anda deactivate kadar intraday?

Sekiranya anda melihat kadar intraday ini menambahkan kadar transaksi, anda boleh hubungi remisier anda untuk deactivate kadar ini. Namun, anda tidak lagi dapat menikmati kadar intraday sekiranya anda beli dan jual secara intraday. Anda boleh gunakan calculator dalam page ini untuk buat pengiraan intraday.


< kembali ke laman blog utama