UMUM

22-APR-2021

Pengenalan kepada ESG


 


Istilah ESG adalah akronim bagi Environment (alam sekitar), Social (sosial) dan Governance (tadbir urus). Ia merupakan piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat sebagai menunaikan tanggungjawab korporat sosial dan wajib dilaporkan dalam laporan tahunan syarikat. Melalui pematuhan piawaian ESG, ia akan menjadi nilai tambah bagi syarikat-syarikat tersenarai untuk menarik lebih ramai pelabur. Piawaian ESG juga dijadikan panduan pengurusan portfolio pelaburan bagi para pelabur yang cakna akan kebajikan sosial.

Setelah tercetusnya peperangan Vietnam, ia telah membuka mata banyak pihak akan kepentingan pelaburan yang lebih mampan untuk kesejahteraan sejagat. Hasil daripada itu, ESG mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada sekitar 1960-an. Kini, Bursa Malaysia juga mempunyai senarai syarikat patuh ESG. Senarai 200 syarikat teratas yang mengamalkan ESG yang baik boleh didapati dalam sektor F4GBM.

esg thumbnail

Environment (E)

Unsur alam sekitar yang terlibat adalah bagi menilai keupayaan sesebuah syarikat menguruskan kelestarian alam, antaranya dari sudut penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, kawalan sisa pembuatan, pengurusan sumber air, isu penebangan hutan, dan perubahan iklim. Syarikat yang mementingkan kemandirian alam sekitar akan memastikan segala operasi tidak akan menjejaskan alam sekitar dan menguruskan segala sumber asli dengan lebih cekap.

Kegagalan dalam mengawal kelestarian alam akan menyebabkan pencemaran dan kerosakan sumber bumi seterusnya memudaratkan kehidupan termasuk manusia. Syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Isu lain yang turut diperhatikan bagi unsur alam sekitar termasuklah sumber bahan mentah dan amalan biodiversiti sesebuah syarikat terhadap kawasan dan tanah yang dimiliki.

nature

Social (S)

Isu yang diberikan perhatian bagi unsur sosial adalah berkaitan kebajikan pekerja dan hubungan sosial dengan masyarakat. Isu kebajikan pekerja termasuklah keadilan gaji pekerja, polisi tempat kerja, latihan dan pendidikan pekerja. Hubungan sosial pula merangkumi hubungan syarikat bersama pembekal dan pengguna serta tanggungjawab sosial terhadap masyarakat sekitar tempat syarikat beroperasi.

Amalan seperti penyediaan bantuan kecemasan kepada pekerja yang mengalami kemalangan akan meringankan beban yang ditanggung dan menarik minat pekerja untuk lebih setia kepada syarikat. Pihak syarikat juga boleh menyumbang kepada masyarakat melalui amalan bersedekah dan bayaran zakat.

Governance (G)

Secara asasnya, unsur tadbir urus adalah berkisarkan keupayaan sesebuah syarikat menguruskan isu pentadbiran pada peringkat eksekutif. Antara isu yang diketengahkan adalah pembayaran gaji para eksekutif, pengurusan audit, ketelusan maklumat, prosedur audit dan perlantikan ahli lembaga pengarah. Tadbir urus yang mampan akan menarik minat lebih ramai pelabur kerana yakin akan keupayaan syarikat untuk lebih maju pada masa akan datang.

shake hand

Rujukan kajian ESG

Antara rujukan yang boleh dibaca oleh para pelabur untuk membuat kajian ESG terhadap sesuatu syarikat tersenarai adalah Sustainability Report dan Corporate Governance Report. Sustainability Report boleh didapati dalam Annual Report kerana ianya adalah perkara yang wajib dilaporkan berdasarkan ketetapan yang digariskan oleh Bursa Malaysia. Manakala, Corporate Governance Report selalunya akan dikeluarkan bersama Annual Report setiap tahun.

Kepentingan ESG

Pandemik Covid-19 telah mengetuk hati lebih ramai pihak akan kepentingan pelaburan ESG.

Pelaburan bertemakan ESG semakin mendapat perhatian oleh institusi-institusi pengurus dana dan pelabur jangka masa panjang. ESG dapat dijadikan indikator untuk menilai ketahanan sesebuah syarikat ketika menghadapi kemelesetan ekonomi dan keupayaan syarikat menghadapi ranjau pandemik serta kebolehan syarikat untuk kembali stabil selepas kejatuhan.

Antara institusi yang mula menunjukkan minat terhadap pelaburan ESG termasuklah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank Asset Management (Maybank AM).

news about esg

Kesimpulan

Pelaburan ESG seharuskan mendapat lebih perhatian dari pihak pengurus-pengurus dana dan para pelabur. Sebahagian para sarjana kewangan Islam juga berpendapat bahawa ESG adalah sebahagian daripada maqasid (tujuan) shariah dalam kegiatan ekonomi. Selain menjamin pulangan yang kompetitif, ia juga dapat memastikan kelestarian alam sekitar, kebajikan sosial dan kecekapan tadbir urus.


< kembali ke laman blog utama