UMUM

22-APR-2020

Pengenalan dan Kelebihan Exchange Traded Fund


 


Exchange Traded Fund, juga dikenali sebagai ETF adalah salah satu instrumen pelaburan yang boleh didagang di pasaran Bursa. Seperti nama yang diberi, ETF bermaksud Dana Dagangan Saham iaitu dana pelaburan yang boleh didagang melalui pasaran saham. Pengurus dana akan dimasukkan dana ini dalam pelbagai instrumen kewangan seperti bon, komoditi, dan ekuiti mengikut jenis ETF. Konsep ini sama seperti unit trust, tapi memiliki beberapa kelebihan berbanding unit trust itu sendiri.

Memahami ETF

Seperti yang disebut tadi, ETF adalah sama seperti unit trust di mana dana ETF ini digunakan untuk membeli pelbagai pegangan pelaburan yang lain. ETF selalunya difahami sebagai dana yang mengumpulkan beberapa saham di dalam satu bakul. Bakul ini mewakili sebuah unit ETF dan saham-saham di dalam bakul ini sebagai saham pendasar (underlying stock). Harga unit ETF ini akan bergerak mengikut pergerakan saham pendasar ini.

etf underlying stock

Kenapa pilih ETF?

ETF mempunyai beberapa kelebihan berbanding pelaburan unit trust dan saham. Antara kelebihan ETF ialah kepelbagaian portfolio, risiko rendah, boleh dijual beli seperti saham dan juga memberikan pendedahan kepada pasaran negara maju. ETF juga adalah unit pelaburan yang telus dan cekap kos pelaburan.

1. Kepelbagaian portfolio

Mempelbagaikan portfolio adalah mudah dengan ETF. Satu unit ETF boleh mengandungi sebuah bakul berisi dengan pelbagai saham sama ada mengikut sektor, seluruh pasaran, saham berprestasi tinggi dan sebagainya.

ETF portfilio diversified

2. Risiko rendah

Kelebihan ETF yang rendah dengan risiko berkait dengan cirinya yang mempunyai kepelbagaian pelaburan saham dalam satu unit ETF. Satu bakul ETF mempunyai pelbagai saham pendasar yang menjadikannya kurang volatile terhadap pasaran.

3. Boleh dijual beli seperti saham

ETF seperti namanya yang bermaksud Dana Dagangan Saham boleh didagang melalui pasaran saham, atau dalam konteks Malaysia, melalui Bursa Malaysia. ETF ini telah pun mula didagang di Bursa Malaysia mulai 1993 dan kini terdapat semakin banyak kepelbagaian jenis ETF termasuklah yang patuh syariah dan juga yang berdasarkan emas fizikal.

ETF bursa list

Tidak seperti unit trust yang hanya mengemas kini harga pada buka dan tutup pasaran, harga ETF sentiasa dikemas kini sepanjang hari. Kemasukan atau belian unit ETF juga boleh dibuat pada bila-bila masa pada waktu pasaran seperti belian saham.

4. Pendedahan kepada pasaran luar negara

Saham pendasar dalam ETF tidak terhad kepada saham yang tersenarai dalam Bursa sahaja. ETF juga boleh memasukkan saham-saham syariah di luar negara seperti Amerika dan Jepun dalam bakul mereka. Dengan ini, anda boleh mendapatkan kelebihan pergerakan saham-saham gergasi dunia di luar sana. Dalam masa yang sama, dana ini juga mematuhi garis panduan syariah oleh majlis penasihat syariah antarabangsa.

5. Telus

Saham pendasar dalam ETF akan diumumkan pada setiap hari dalam pengumuman kaunter ETF berkenaan. Dari sini, anda boleh lihat apa saham pendasar yang dilaburkan dalam ETF ini berserta nilai pegangan terkini. Laporan ini juga memaparkan Net Asset Value (NAV) atau Nilai Aset Bersih daripada dana pelaburan ETF ini.

ETF NAV anouncement

6. Kecekapan kos pelaburan

Untuk memiliki beberapa saham dalam Bursa, anda perlu melakukan beberapa transaksi dan ini akan memakan kos pada bayaran broker. Dengan membeli unit ETF, anda boleh mendapat akses kepada beberapa ekuiti saham yang lain dengan satu transaksi sahaja.

Bagaimana menjana keuntungan dengan ETF?

Sama sahaja dengan saham, anda boleh menjana keuntungan melalui ETF dengan pendapatan modal. Selain itu, sebagai pemegang unit ETF juga anda boleh mendapat agihan pendapatan yang mempunyai konsep yang sama dengan dividen.

Pelaburan dalam ETF biasanya lebih dilihat sebagai pelaburan yang pasif kerana ia adalah kurang terdedah kepada pasaran yang tak menentu. Pelaburan ETF juga biasanya bersifat jangka-masa lama.

Membeli ETF

Anda boleh cari senarai penuh ETF dari platform dagangan dengan carian sektor "ETF". Namun, tak banyak sekuriti ETF yang didagangkan di Bursa Malaysia. Antara yang didagangkan dan berstatus syariah adalah ETF berbentuk ekuiti patuh syariah dari MyETF dan emas dari TradePlus.

MyETF

TradePlus

Kesimpulan

ETF boleh dianggap sebagai dana unit trust yang didagangkan dalam pasaran Bursa. Seperti sekuriti-sekuriti lain, ianya juga dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk didagangkan dalam Bursa Malaysia. Terdapat ETF jenis ekuiti dan juga emas yang patuh syariah yang boleh anda lihat untuk berjinak-jinak dengan ETF. Ianya sesuai untuk pelaburan jangka-masa panjang dan mempunyai risiko pelaburan yang lebih rendah.


< kembali ke laman blog utama