UMUM

23-JUL-2021

Pelaburan Selamat yang Boleh Dicari Ketika Pasaran Tak Menentu


 


Istilah safe haven ialah salah satu sebutan yang digunakan untuk merujuk kepada pelaburan yang selamat. Ianya adalah sebuah pelaburan yang dijangka akan mengekalkan atau meningkatkan nilai modal walaupun dalam keadaan yang tidak menentu. Dalam erti kata lain, pelaburan berisiko rendah.

Namun, harus diingat bahawa pelaburan ini bukanlah sentiasa naik. Seperti saham atau mana-mana pelaburan lain, ia mempunyai fasa naik dan turun. Namun, jika dilihat dalam jangka masa panjang, ia dapat memberikan pulangan yang baik dengan risiko yang rendah.

Emas

Emas merupakan sejenis logam berharga yang mempunyai nilai tersendiri dalam ekonomi. Ia pernah digunakan sebagai alat jual beli, dan pernah juga nilai matawang disandarkan pada emas. Sebagai aset pula, emas mampu melindungi nilai kekayaan seseorang daripada kesan inflasi. Apabila keadaan ekonomi menunjukkan kebimbangan, emas menjadi semakin popular kerana sifatnya sebagai aset. Oleh itu, minat yang meningkat terhadap emas boleh menyebabkan nilainya meningkat dalam suasana yang tidak menentu.

jongkong emas dalam simpanan

Seseorang itu boleh beli emas secara fizikal atau atas talian. Kedua-dua cara ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Untuk emas fizikal, anda perlu menyediakan tempat simpanan yang selamat. Bagi emas atas talian pula, aspek ini tidak menjadi kerisauan kerana emas itu disimpan oleh pemegang amanah.

Treasury Bills

Amerika mempunyai sekuriti perbendaharaan negara yang berfungsi sebagai dana untuk bayaran hutang. Salah satu sekuriti ini adalah treasury bills atau bil perbendaharaan yang bersifat seperti bon. Sekuriti ini dijual dengan kadar diskaun, dan apabila mencapai tempoh matang, pembeli akan mendapat semula nilai pelaburan pada nilai muka (nilai sebenar). Disebabkan oleh mekanisme jual beli dan sandaran sekuriti ini pada kerajaan Amerika Syarikat, ia dianggap sebagai pelaburan yang selamat dan bebas risiko.

treasury bills thebalance
Gambar: The Balance

Pada awal tahun 2021, pulangan dari pelaburan treasury bills Amerika ini menunjukkan kenaikan yang mendadak dalam masa yang singkat. Oleh itu, ia menarik minat ramai pelabur untuk memasukkan dana ke pelaburan selamat ini dan secara langsung menyebabkan dana dari ekuiti beralih ke instrumen ini. Di Malaysia, mungkin tak ramai yang membeli sekuriti ini. Namun, sifat pelaburan ini boleh dibandingkan dengan dana-dana pelaburan yang diuruskan oleh badan berkanun kerajaan, seperti yang akan dibincangkan dalam poin seterusnya.

Dana persaraan

Secara umumnya, kategori ini adalah lebih kepada dana yang diuruskan badan berkanun kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji dan ASB. Dana ini dilaburkan dengan tujuan persaraan, namun ia boleh menjadi untuk apa-apa tujuan untuk masa depan. Walaupun pertumbuhan yang agak kecil, namun setakat ini, ia sentiasa dapat memberikan pulangan.

epf th asb pulangan dividen 2020
Kadar pulangan dividen KWSP, Tabung Haji dan ASB tahun 2020

Sekiranya pasaran saham terlalu berisiko untuk anda, anda boleh pertimbangkan untuk mencarumkan ke dalam akaun-akaun ini secara sendiri. Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa sebahagian dana yang dicarumkan itu akan dilaburkan ke dalam pasaran saham juga. Pihak pengendali dana ini mempunyai pegawai yang khusus untuk mengendalikan portfolio dana ini supaya tidak terdedah kepada risiko yang tinggi dan dapat memberikan pulangan yang terbaik kepada pencarum.

Matawang

Kedudukan matawang sebagai pelaburan selamat ini adalah agak subjektif kerana macam-macam perkara boleh berlaku dalam keadaan ekonomi dan politik antarabangsa. Namun, pertimbangan bahawa nilai matawang tempatan semakin menyusut boleh menjadi sebab untuk membeli matawang negara lain yang lebih stabil. Antara matawang negara yang selalu dilihat ialah Franc Switzerland, Yen Jepun dan Dolar Amerika.

matawang amerika dan pelbagai negara

Harus diketahui bahawa terdapat perbahasan dari segi kepatuhan syariah dalam bidang jual beli matawang ini. Transaksi matawang boleh menjadi haram atau harus bergantung kepada cara pelaksanaan jual beli tersebut. Oleh itu, tunaikan kewajipan anda untuk memastikan pelaburan mematuhi syariat.

Saham defensif

Saham defensif merujuk kepada saham yang dapat memberikan pulangan dividen dan mendapat pendapatan yang stabil tanpa mengira keadaan pasaran. Produk yang mereka tawarkan mempunyai permintaan yang berterusan, oleh itu lebih stabil merentasi pelbagai kitaran perniagaan. Rujukan terhadap sesebuah sektor boleh dibuat, namun saham dalam sektor dirujuk perlu disaring lagi untuk dapatkan syarikat terbaik di antara pesaing perniagaan.

ecommerce consumer

Antara sektor yang boleh diperhatikan ialah telekomunikasi, REIT, utiliti, kesihatan dan sebagainya. Sebagai kajian lanjutan, anda boleh perhatikan aspek pergerakan harga saham (terutamanya pergerakan jangka panjang), laporan kewangan suku tahunan, dan rekod dividen pada saham tertentu. Cari syarikat yang anda rasa boleh berikan anda ketenangan selepas modal anda dilaburkan ke atas mereka.

Kesimpulan

Walaupun disebut sebagai safe haven, tak semua pelaburan di atas ini sesuai untuk setiap keadaan ekonomi yang mencabar. Terdapat pelbagai faktor yang akan menyebabkan nilai aset di atas ini naik dan turun. Sebagai panduan asas, pelaburan yang dibuat untuk jangka masa panjang mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding pelaburan jangka pendek. Dalam keadaan ekonomi tertentu juga, sesetengah sektor berpotensi untuk mendapat kelebihan, seterusnya boleh dianggap sebagai pelaburan selamat selagi mana situasi menyebelahi sektor, syarikat atau perniagaan umumnya.


< kembali ke laman blog utama