UMUM

13-APR-2021

Momentum Automotif Memberi Harapan MCE Holdings


 


MCE Holdings merupakan syarikat yang menyediakan komponen elektronik dan mekatronik untuk kereta. Untuk memahami barangan jualan mereka ini, kita boleh lihat satu contoh produk terbesar mereka iaitu power window. Dalam satu modul power window, perlunya satu litar elektronik yang dilengkapi dengan mekanisme berstruktur untuk menggerakkan tingkap kereta. Terdapat juga butang suis yang diperbuat daripada plastik sebagai kawalan untuk melaraskan pergerakan tingkap ke atas atau ke bawah.

mce products window lifter
Gambar: MCE Holdings

Dari pengenalan tadi, kita boleh faham barangan yang dikeluarkan oleh MCE boleh terdiri daripada komponen plastik, struktur besi, sistem elektronik atau gabungan kesemuanya. Antara barangan keluaran mereka yang lain ialah sistem sensor yang pelbagai, suis fungsi, sistem lampu kereta dan pelbagai lagi yang boleh dilihat di website mereka. Mereka adalah antara pembekal terbesar untuk power window di Malaysia.

Cabaran industri automotif

Sebagai pengeluar komponen industri automotif, setiap produk memerlukan rekaan dan pengelesaian tersendiri. Sebagai contoh, modul power window untuk Bezza mungkin tak sama dengan Iriz kerana bentuk dan ketetapan yang berbeza untuk kereta yang berlainan ini. Oleh itu, setiap kereta yang berbeza memerlukan penyelesaian dari segi mekanisme, litar, mahupun program yang tersendiri. Dalam kes yang tertentu, sesebuah tender yang ingin dimenangi mungkin memerlukan pelaburan dari segi kelengkapan dan fasiliti yang berkaitan.

Apabila ia melibatkan pelaburan, jualan syarikat perlulah mencapai satu tahap tertentu untuk mendapatkan pulangan modal. Jika tidak, ia akan menyebabkan kerugian pada syarikat.

Prestasi terkini Proton memberi kelebihan

MCE telah pun mengedarkan barangan mereka dengan syarikat automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua sejak sekian lama. Kini, kedua-dua syarikat ini menjadi pelanggan terbesar mereka. Perodua dan Proton juga kini merupakan dua syarikat automotif dengan bahagian pasaran terbesar di Malaysia mengikut volume jualan.

Jika melihat pada prestasi kewangan MCE sejak 2018, syarikat menunjukkan kerugian yang semakin dalam. Kerugian ini dikaitkan dengan suasana industri yang mencabar dan ketidakstabilan Proton dalam fasa penyesuaian apabila Geely muncul sebagai rakan kerjasama baru mereka semenjak tahun 2017. Bermula September 2020, MCE mula menunjukkan keuntungan sejak sekian lama mencatatkan rugi. Perkembangan positif ini disumbangkan oleh prestasi Proton yang semakin kukuh dan kepesatan industri automotif baru-baru ini.

x70 proton
Gambar: Proton

Selain Proton, terdapat juga faktor luaran yang sememangnya telah memberikan insentif yang baik kepada industri. Pengecualian cukai yang diperkenalkan kerajaan telah memberi galakan baik kepada pengguna untuk membeli. Beberapa bulan yang lopong tanpa apa-apa belian kereta mewujudkan permintaan terpendam (pent up demand) dalam industri ini. Perubahan dunia akibat Covid-19 juga mempengaruhi masyarakat untuk memiliki kenderaan sendiri.

Kenaikan mendadak disoal

Pada September lalu, MCE ditampar dengan pertanyaan Unusual Market Activity (UMA) oleh Bursa. Ianya berkaitan dengan kenaikan saham mendadak dari 57 sen pada hujung Ogos sehingga RM 1.21 pada 21 September. Pertanyaan ini dijawab dengan kenyataan bahawa terdapat pelabur yang menyatakan minat terhadap saham syarikat.

Kini, saham syarikat telah pun berlegar sekitar RM 1.40 - RM 1.45 sesaham, dan belum ada lagi perkembangan tentang kerjasama baru yang boleh dijumpai. Pun begitu, CEO menyatakan pendirian bahawa kerjasama baru akan dapat membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.

Perancangan ke hadapan

Dalam perancangan ke hadapan, mereka ingin menambahkan sistem kamera automotif ke dalam senarai produk tawaran. Kerjasama telah pun ditandatangani bersama syarikat Taiwan pada tahun 2019. Namun perkembangan ini terbantut apabila dunia dilanda Covid-19. MCE menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan usaha ini. Mereka mempercayai produk ini akan mempunyai permintaan tinggi melihatkan perkembangan terkini dalam industri automotif.

Dalam laporan kewangan 2019, syarikat dilaporkan telah membeli tanah di Serendah dari UMW, dikenali dengan nama UMW HVM Park Serendah. Tanah ini akan membolehkan ruang yang mencukupi untuk fasiliti pengeluaran sedia ada bagi perkembangan yang dijangkakan buat masa akan datang. Pun begitu, tidak banyak perkembangan baru yang kita dapat dengar dari tanah ini.


< kembali ke laman blog utama