ASAS

19-JUL-2020

Membuat Catatan Jurnal Pelaburan Saham - Bahagian 2


 


Ini adalah sambungan kepada tulisan sebelum ini dalam perbincangan untuk membuat jurnal pelaburan. Ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk mencatat jurnal pelaburan. Ada yang ringkas dan mudah, ada yang lebih terperinci dan memerlukan disiplin. Ada juga yang lebih kompleks tapi dapat berikan gambaran keseluruhan.

1. Gambaran Ringkas

jurnal pelaburan ringkas

Dalam contoh di atas, kita boleh lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada pergerakan nilai portfolio berbanding transaksi saham. Ianya mudah untuk dicatat, dan dapat menterjemahkan prestasi pelaburan secara keseluruhan. Kekurangan catatan ini pula adalah tak dapat lihat pelaburan mana satu yang bagus dan tak bagus dari segi pegangan saham, strategi dan sebagainya. Namun, sekiranya anda menggunakan strategi yang sama, mungkin boleh juga catatkan strategi apa yang digunakan.

Untuk memahami contoh di atas, anda boleh bayangkan ia sebagai sebuah catatan berkala untuk setiap minggu. Sekiranya kitaran catatan anda adalah pada setiap minggu, gunakan satu column untuk satu minggu. Pada awal minggu, catat nilai pelaburan. Hujung minggu, catat nilai pasaran.

Sekiranya anda tak membuat apa-apa jualan dan pembelian yang baru, tiada perubahan yang berlaku pada nilai pelaburan. Sekiranya anda jual pegangan dan kemudian buat belian baru, barulah ada perubahan pada nilai pelaburan.

Anda boleh tambah lain-lain maklumat seperti Untung/Rugi atas kertas. Maklumat ini boleh didapati dengan perbezaan antara nilai pelaburan dan nilai pasaran semasa. Disebut atas kertas kerana ianya hanya menjadi kenyataan apabila pegangan itu didagangkan. Ia juga dapat membantu untuk tentukan sama ada anda ingin jual pegangan dan terus kunci keuntungan, atau biarkan pelaburan berjalan.

2. Gambaran Terperinci

jurnal pelaburan terperinci

Seperti yang anda boleh lihat, jurnal ini nampak lebih kompleks daripada contoh yang tadi. Sebenarnya ia juga agak susah untuk susun mengikut bulan kerana boleh jadi pelaburan akan dipegang untuk berbulan-bulan. Namun, beberapa perkara masih boleh dijadikan asas sekiranya anda ingin rangka jurnal anda sendiri.

Maklumat seperti nilai pelaburan dan nilai pasaran boleh dicatat pada gambaran keseluruhan. Pada paparan utama pula, kita akan tumpukan pada kaunter saham, strategi pelaburan, dan harga saham. Untuk setiap saham, ada bahagian untuk catatan maklumat harga beli dan harga jual. Sekiranya anda belum beli atau masih memegang saham, boleh tuliskan harga beli dan harga target jualan. Di column hujung, anda boleh lihat prestasi untung rugi bagi setiap kaunter yang dibeli atau yang nak dibeli.

Dari column untung rugi ini, anda boleh lihat pelaburan mana yang memberikan pulangan yang baik kepada anda. Dari sini, anda boleh nilai semula aspek pelaburan seperti strategi, jarak dengan support, jumlah modal dan sebagainya. Mungkin ada teknik pelaburan tertentu yang anda lebih selesa berbanding yang lain.

3. Aliran Transaksi

jurnal pelaburan bentuk aliran tunai dan pelaburan

Contoh di atas pula adalah catatan yang agak kompleks, namun dapat berikan gambaran yang lebih menyeluruh. Ia bersifat seperti aliran tunai atau kunci kira-kira dan dicatat mengikut kronologi masa.

Melihat pada contoh di atas, kita boleh lihat bahawa modal mula dimasukkan pada bulan Mei. Ada column yang khusus untuk mencatat transaksi tunai, lot saham dan nilai dalam bentuk pelaburan.

Dalam sesebuah transaksi belian, tunai akan ditolak dari akaun, tapi ia akan menjadi pegangan pelaburan. Apabila dijual, nilai pelaburan ditolak berdasarkan nilai ianya dibeli, dan tunai dimasukkan berdasarkan nilai sebenar jualan. Apabila masuk bulan baru, kita boleh catatkan pegangan yang masih dipegang dan tunai dalam akaun.

Baki pegangan terkini boleh dimasukkan pada ringkasan maklumat akaun seperti Tunai Semasa dan Nilai Pelaburan Semasa. Maklumat ini boleh dinilai dan dibandingkan dengan modal untuk menilai prestasi pelaburan.

Kesimpulan

Ada pelbagai cara untuk menyimpan jurnal pelaburan. Pilihlah yang mana satu yang anda selesa. Perkara yang paling penting untuk dijejak adalah prestasi untung rugi. Maka pastikan anda boleh catat sekurang-kurangnya modal pendahuluan dan nilai pulangan semasa.

Bonus: Kalau anda nak lihat cara-cara memasukkan formula ke dalam Excel atau Google Sheets, boleh lihat video youtube yang diajar oleh saudara Suddin Salleh di sini.


< kembali ke laman blog utama