ASAS

16-AUG-2021

Maksud di Sebalik Market Cap


 


Market capitalization atau juga dikenali sebagai permodalan pasaran merujuk kepada nilai pasaran saham bagi sesebuah syarikat. Ia boleh dikelaskan mengikut tiga kategori iaitu Blue Chip, Mid Cap dan Small Cap.

Untuk memahami lebih lanjut, market cap adalah harga syarikat seandainya pelabur berhasrat ingin beli keseluruhan syarikat tersebut. Misalnya, syarikat VITROX mempunyai market cap sebanyak RM 8.92 bilion. Pelabur tersebut perlu mempunyai jumlah duit sebanyak RM 8.92 bilion untuk membeli terus 100% saham syarikat VITROX.

Formula Market Cap

formula market cap

Berdasarkan formula di atas, jumlah syer merupakan bilangan saham yang boleh di dagangkan di pasaran saham bagi sesebuah syarikat. Manakala, harga saham merujuk kepada harga semasa. Semakin tinggi permintaan terhadap sesebuah saham syarikat, semakin tinggi nilai harga saham dijangka meningkat. Kesannya, ia juga akan mempengaruhi nilai semasa market cap sesebuah syarikat.

Saham Blue Chip

Blue Chip merupakan syarikat-syarikat besar dan terkemuka yang mempunyai permodalan pasaran yang melebihi RM 10 bilion yang didagangkan di pasaran Bursa Malaysia. Kebiasaannya, saham ini didagangkan di indeks utama seperti FBMKLCI yang mempunyai sekitar 30 syarikat yang dipilih melalui Bursa Malaysia. Syarikat besar ini kebiasaannya sudah lama bertapak dan pemain utama dalam sesuatu sektor industri perniagaan.

Ia mempunyai risiko yang rendah dari segi pulangan pelaburan dan sesetengah syarikat ini membayar dividen secara konsisten kepada pembeli saham. Faktor ini lah yang menyebabkan syarikat yang mempunyai market cap yang besar kebiasaannya digunakan sebagai pelaburan dalam jangka masa panjang bagi sesetengah pelabur.

syarikat blue chip
Antara syarikat blue chip yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Saham Mid Cap

Manakala mid cap pula merupakan syarikat yang mempunyai permodalan pasaran antara RM 1 bilion sehingga RM 10 bilion. Dalam segmen ini, syarikat mid cap yang terlibat berada dalam fasa keluk pertumbuhan prestasi mereka. Sekiranya, sesebuah syarikat dalam mid cap berjaya mengekalkan prestasi dari segi kekuatan pengurusan, aliran tunai yang positif dan lain-lain berkemungkinan syarikat ini akan beralih ke kategori blue chip.

Hal ini menyebabkan ia telah menjadi antara salah satu faktor yang menarik pelabur untuk melabur dalam segmen ini. Jika dibandingkan dari segi pergerakan, saham mid cap lebih kuat (volatile) berbanding saham blue chip.

syarikat mid cap
Antara syarikat mid cap yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Saham Small Cap

Small cap merupakan syarikat yang mempunyai permodalan pasaran antara RM 200 juta sehingga RM 1 bilion. Jika dilihat saham small cap boleh memberi keuntungan yang tinggi tetapi juga boleh menyebabkan kerugian yang besar. Bak kata pepatah "high risk, high reward". Ketika pasaran saham kurang menentu, saham-saham ini agak mendapat perhatian dalam kalangan pelabur. Hal ini disebabkan pergerakan sesetengah saham dalam kategori small cap lebih volatile berbanding mid cap dan blue chip.

Namun, para pelabur perlu mengetahui risiko dan mengikut trading plan masing-masing yang telah ditetapkan. Kebiasaannya syarikat small cap merupakan syarikat yang baru dalam sesuatu industri dan ingin mengembangkan serta meluaskan pasaran perniagaan.

syarikat small cap
Antara syarikat small cap yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Contoh pengiraan Syarikat Azman

Jika dilihat Syarikat Azman mempunyai harga saham semasa sebanyak RM 23.60 dan jumlah syer sebanyak 50 juta. Selepas didarabkan kedua-dua indikator ini, Syarikat Azman akan mempunyai market cap sebanyak RM 1.18 bilion.

Contoh pengiraan Syarikat Badrul

Manakala Syarikat Badrul, mempunyai harga saham semasa sebanyak RM 3.50 dan jumlah syer sebanyak 3679 juta. Selepas didarabkan kedua-dua indikator ini, Syarikat Badrul akan mempunyai market cap sebanyak RM 12.92 bilion.

Oleh itu, market cap Syarikat Azman merupakan saham yang berada dalam kategori mid cap dan manakala Syarikat Badrul tergolong dalam saham blue chip. Walaupun harga saham Syarikat Azman lebih mahal berbanding Syarikat Badrul, penilaian market cap bukan diambil kira berdasarkan harga saham semasa sesebuah syarikat. Tetapi, perlu terlebih dahulu menggunakan pengiraan formula market cap untuk menentukan saiz syarikat.

Contoh penilaian market cap
Permodalan pasaran dan bilangan saham syarikat Greatech

Kesimpulan

Kesimpulannya, setiap saiz syarikat mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jika dilihat ada sesetengah saham syarikat dinilai pada harga yang tinggi dan sememangnya merupakan syarikat blue chip. Misalnya, harga saham semasa Nestle adalah RM 133.30 dan market cap sebanyak RM 31.3 bilion.

Namun jika melihat pada market cap barulah kita tahu saiz sebenar sesebuah syarikat. Sebagai seorang pelabur yang bijak perlulah mengambil kira pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk melabur dalam saham mengikut saiz market cap.


< kembali ke laman blog utama