ASAS

10-JUN-2019

Kos yang Terlibat dalam Jual Beli Saham


 


Bagi setiap transaksi jualan atau belian saham yang berjaya, terdapat empat caj terlibat yang dikenakan kepada aktiviti perdagangan saham. Caj tersebut ialah bayaran broker, cukai kerajaan, pelepasan dan duti setem. Post kali ini akan menerangkan cara pengiraan setiap caj yang terlibat dalam transaksi saham. Untuk memudahkan penjelasan, kita akan gunakan RM 800 sebagai modal bercerita.

1. Bayaran Broker

 

 

Bayaran broker atau bahasa mudahnya brokerage fee adalah caj yang dikenakan oleh broker anda. Kadar bayarannya adalah berbeza mengikut broker. Sebagai contoh, boleh lihat di bawah:

Broker Kadar Broker (minimum)
Malacca Securities 0.08% atau RM 8
CGS-CIMB Securities 0.08% atau RM 8
RHB TradeSmart 0.42% atau RM 28

Secara umumnya, broker akan kenakan suatu kadar tetap sebagai minimum, namun akan mengikut kadar peratusan sekiranya melebihi kadar minimum tersebut. Sebagai contoh, mari kita lihat contoh di bawah:

RM 800 x 0.08%
= RM 0.64 (tak sampai harga minimum)
Bayaran broker RM 8 dikenakan

Berdasarkan contoh, disebabkan pengiraan kadar peratus adalah lebih kecil, harga minimum RM 8.00 akan dikenakan sebagai broker fee. Sebaliknya, sekiranya pengiraan kadar peratusan adalah lebih besar, maka jumlah itulah yang akan dikenakan sebagai broker fee.

2. Cukai Kerajaan

 

Sejak GST dimansuhkan, kini kerajaan mengenakan cukai SST. Dalam pengiraan jual beli saham, cukai ini hanya ditambah ke atas nilai broker fee tadi. Dari contoh di atas, kita lihat pengiraannya di bawah:

 

RM 8 x 6%
= RM 0.48

Jadi, RM 0.48 kadar SST akan dikenakan untuk transaksi ini.

3. Bayaran Pelepasan

Bayaran pelepasan atau bahasa Bursanya adalah clearance fee. Ya, perkataan Bursa tadi digunakan sebab bayaran ini akan disalurkan kepada Bursa Malaysia. Pelepasan ini akan dikenakan ke atas nilai jual beli saham dengan kadar 0.03%.

RM 800 x 0.03%
= RM 0.24

Bayaran pelepasan yang dikenakan untuk transaksi ini adalah sebanyak RM 0.24.

4. Duti Setem

 

Duti ini juga dikenakan oleh Bursa Malaysia. Kadar pengiraannya adalah RM 1.50 bagi setiap transaksi saham bagi setiap RM 1000 yang dijual beli. Dalam contoh kali ini, RM 800 akan dikenakan duti setem sebanyak RM 1.50. Contoh selanjutnya boleh dilihat di bawah:

 

RM 800 ~ RM 1.50
RM 1600 ~ RM 2.40
RM 4000 ~ RM 6.00

 

Pengiraan keseluruhan

 

Jadi pengiraan kos untuk contoh kali ini boleh dikira seperti di bawah:

 

RM 800 + (RM 8 + RM 0.48 + RM 0.24 + RM 1.50)
= RM 810.22

Sekiranya transaksi berbentuk belian, ini adalah jumlah yang anda perlu ada dalam Trading Limit. Secara rumusannya RM 8 dibayar ke broker, RM 0.48 kepada kerajaan dan RM 1.74 kepada Bursa dengan jumlah kos sebanyak RM 10.22. Sebenarnya pengiraan ini sudah pun dirumus oleh team iSaham dalam Buy Calculator kami mengikut kadar broker Malacca Securities. Boleh gunakan kalkulator saham kami di sini.

Kemaskini

Pada 29 Oktober 2021, pembentangan Belanjawan 2022 telah dibuat oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz. Terdapat beberapa perubahan terhadap kos pembelian saham telah diumumkan. Untuk bacaan lebih lanjut, boleh rujuk post ini.


< kembali ke laman blog utama