FUNDAMENTAL

10-SEP-2021

KGB - Pemain Industri Sistem Penghantaran Gas dan Khidmat Kejuruteraan


 


Kelington Group Berhad atau KGB mungkin suatu syarikat yang agak asing bagi sesetengah pelabur. Sekali pandang, sistem penghantaran gas tak memberikan bayangan yang cukup jelas dalam kepala. Namun, industri ini sebenarnya agak luas digunakan, dan seperti sifat gas, ianya tak kelihatan pada mata kasar.

Aktiviti perniagaan KGB

Aktiviti perniagaan utama KGB ialah sistem penghantaran gas berketulenan tinggi (Ultra High Purity). Perkhidmatan ini ditawarkan terutamanya untuk industri semikonduktor dan bioteknologi. Antara syarikat yang terlibat dalam industri ini adalah syarikat pembuatan wafer, LCD, farmaseutikal, bioteknologi, sel solar dan gas perindustrian.

kgb services
Gambar: KGB

Syarikat telah berkembang dan kini turut menawarkan kejuruteraan proses, kontrak umum dan juga jual beli bahan dan gas industri. Perkhidmatan kejuruteraan proses dan kontrak umum khususnya boleh berfungsi sebagai segmen tersendiri, namun ia juga boleh jadi pelengkap kepada perkhidmatan UHP tadi.

Pandangan lebih dekat

UHP

KGB menyediakan perkhidmatan UHP lengkap untuk keseluruhan sistem gas yang termasuk rekaan perpaipan, kabinet gas, sistem kawalan, sehinggalah pemasangan dan perkhidmatan sokongan lain. Dalam sistem ini, mereka akan menyambungkan sumber gas yang terletak di fasiliti ke equipment atau peralatan yang menggunakan gas ini. Oleh itu, kerja ini akan melibatkan pelan rekaan, pemasangan dan kepakaran peralatan untuk membuat sambungan ini.

lam research dsie
Proses penghasilan semikonduktor memerlukan gas bersih. Gambar: Lam Research

Antara pelanggan mereka adalah syarikat berprofail tinggi seperti SMIC, TSMC, Infineon, Seagate dan Micron. Syarikat yang berkedudukan upstream dalam rantaian nilai semikonduktor ini dikatakan memerlukan modal yang tinggi. Dalam proses pembuatan wafer, mereka memerlukan gas bersih dan berketulenan tinggi untuk dibawa ke mesin sepanjang proses pembuatan wafer berjalan.

Dalam keadaan kekurangan cip global, KGB berada di kedudukan yang penting untuk menyokong industri semikonduktor ini. Syarikat semikonduktor pula perlu sentiasa melabur pada kilang wafer baru, yang bermaksud lebih banyak peluang projek akan datang untuk KGB.

Selain semikonduktor, perkhidmatan UHP ini juga menyokong industri TFT LCD dan solar PV.

Process Engineering dan Kontrak Umum

KGB juga menawarkan kejuruteraan proses yang membolehkan sesebuah bahan diproses kepada barangan siap atau separuh siap. Dalam segmen ini, suatu sistem mekanikal atau elektrikal dibina dan perkhidmatan ini ditawarkan ke pelbagai sektor industri. Perkhidmatan ini juga bersifat dari hujung ke hujung, merangkumi fasa rekabentuk, pembuatan, dan juga penyelenggaraan rutin.

kgb cleanroom construction
Pembinaan bilik bersih semikonduktor. Gambar: KGB

Untuk kontrak umum, kita boleh lihat kerja-kerja seperti kontrak pembinaan awam dan juga pembinaan bilik bersih (clean room) yang merupakan fasiliti khas untuk pembuatan semikonduktor. Mereka juga bolehh membina loji berskala kecil dan besar untuk syarikat petrokimia dan oleokimia, berserta kerja awam dan pembinaan untuk mereka.

Secara umumnya, mereka juga mempunyai kepakaran kejuruteraan untuk membuat pelbagai pembinaan khusus, dilengkapi dengan sistem khusus yang diperlukan.

Gas perindustrian

Syarikat ini juga menjual beli gas perindustrian ke pelbagai syarikat yang menggunakan gas dalam operasi harian. Melangkah ke hadapan, segmen ini dikatakan akan menjadi pertumbuhan utama untuk KGB. Dalam laporan The Edge, CEO KGB, Gan menyebut bahagian mereka dalam pasaran ini akan berada pada RM 20 juta tahun ini. Angka ini adalah kecil berbanding saiz pasaran di Malaysia pada RM 1.4 bilion hingga RM 1.5 bilion. Namun, ia juga bermaksud ruang pertumbuhan yang besar ke hadapan.

linde group fresh chilled food
Gambar: Linde Group

Pesaing utama KGB dalam industri ini ialah The Linde Group, syarikat gas perindustrian terbesar global. Dalam segmen ini, KGB menumpukan tawaran produk cecair karbon dioksida (CO2) yang digunakan dalam industri F&B secara meluas. CO2 digunakan dalam industri ini untuk membantu penyejukan, pembekuan, pembungkusan makanan, penghasilan minuman ringan dan sebagainya. Produk ini juga digunakan untuk mengekalkan kesegaran makanan.

Selain industri makanan, CO2 juga digunakan di pelbagai industri lain, terutamanya untuk kerja kimpalan (welding). KGB menjual produk ini kepada pihak perantara yang juga mengisi dan menjual semula gas ini ke pengguna akhir. Mereka boleh menjual produk ini sama ada sebagai silinder ataupun dalam bentuk generator.

Mereka mempunyai loji pengeluaran di Kerteh, Terengganu yang boleh mengeluarkan 50,000 tan cecair CO2 setahun.

Pecahan pendapatan

Segmen UHP menyumbang sebahagian besar 70% pendapatan KGB pada RM 278 juta. Angka ini merupakan kenaikan 6% pendapatan berbanding tahun 2019 dipacu terutamanya oleh projek yang disiapkan di China dan Singapura. Process Engineering mengalami beberapa siri gangguan dalam pasaran seperti PKP di Malaysia dan circuit breaker di Singapura. Ini menjatuhkan pendapatan segmen ini dari RM 90.4 juta ke RM 46.5 juta.

annual report sectoral revenue
Pendapatan KGB mengikut segmen perniagaan

Satu perkara yang boleh diberikan perhatian adalah perkembangan dalam segmen jual beli gas perindustrian. Pembinaan loji pengeluaran CO2 mereka baru sahaja disiapkan pada suku keempat 2019. Tahun 2020 pula merupakan tahun pertama dengan operasi penuh. Pendapatan RM 22.1 juta yang dijana pula belum berada pada kapasiti penuh mereka, tapi hanya 40% kapasiti. Di sini kelihatan adanya lebih ruang untuk pertumbuhan pendapatan, namun, sama ada mereka mampu mencari lebih banyak pelanggan atau tidak adalah persoalan lain.

Kesimpulan

KGB merupakan sebuah syarikat kejuruteraan yang mempunyai pengkhususan untuk menawarkan gas perindustrian. Mereka mempunyai portfolio pelanggan yang kuat dalam industri semikonduktor dan komited dengan pelaburan loji pengeluaran gas di Kerteh. Kapasiti pengeluaran gas di Kerteh ini belum lagi berada pada tahap penuh, oleh itu ada lagi ruang untuk segmen ini membesar.

Perkhidmatan tawaran mereka iaitu segmen UHP adalah kritikal dalam keadaan sekarang di mana bekalan cip berada pada paras yang tidak mencukupi. Ini meletakkan KGB pada kedudukan yang agak penting dalam industri semikonduktor.

Penafian: Artikel ini bertujuan untuk berkongsi maklumat yang dikaji oleh team iSaham tentang syarikat ini. Sebarang penilaian positif atau negatif haruslah dipertimbangkan oleh pelabur sendiri untuk membuat keputusan pelaburan.


< kembali ke laman blog utama